Ahad, 28 September 2014

Kanun Syariah: Taat suami berpandu syariat

Sumber : Harian Metro - Nuansa
Tarikh : 12/09/2014

Saya dan suami bernikah sejak empat tahun lalu. Dalam usia perkahwinan yang muda ini, kami pernah bercerai sekali dan kembali rujuk.
Punca perceraian ketika itu kerana salah faham selain wujud campur tangan ahli keluarga terutama ibu di kedua-dua pihak. 
Keputusan rujuk bagaimanapun diambil dengan persetujuan bahawa saya dan suami tidak akan mendengar cakap-cakap orang termasuk keluarga terdekat sebelum kami berbincang sesama sendiri. 
Persoalannya, kini suami seolah-olah cuba me­nyekat hubungan saya de­ngan keluarga.
Sejak kami rujuk lebih setahun lalu, saya diingat­kan supaya tidak berkongsi masalah dengan adik-beradik dan ibu.
Malah, dalam tempoh sama, saya dilarang pulang ke kampung sebagaimana awal pernikahan kami. 
Saya sedar perubahan ini banyak melukakan hati ibu, namun suami kerap mengingatkan saya dosa nusyuz. 
Apakah saya benar-benar nusyuz jika berbohong kepada suami, mengatakan terpaksa bekerja di luar daerah untuk pulang bertemu ibu di kampung? 

Menantu zaman sekarang

Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga

"TUJUAN saya hantar e-mel ke ruangan ini adalah untuk memberikan pandangan peribadi saya bukan bermaksud mengutuk apa lagi memalukan sesiapa, terutama ipar duai saya. Sebenarnya saya sekadar ingin melahirkan isi hati supaya perkara yang saya tidak berulang lagi, sebab saya malu dengan perangai mereka.

"Saya mempunyai empat orang adik-beradik, tiga lelaki termasuk saya dan seorang perempuan yang bongsu. Mereka semua sudah berkahwin kecuali saya. Emak beberapa kali mendesak supaya saya segera berkahwin, tetapi belum terbuka pintu hati saya, tambahan apabila melihat perangai dua orang ipar perempuan saya ini.'' Itu cerita M.Zailan dalam e-melnya.

"Saya berharap apa yang diluahkan ini dibaca oleh ipar saya itu, namun saya sedar mungkin apa yang ingin saya ceritakan ini tidak akan menyenangkan hati mereka termasuk juga golongan ibu muda zaman ini.

"Sebagai contoh perbuatan mereka layan suami tak ubah macam pembantu rumah. Suruh dukung anak, beri anak makan dan mandikan anak, sedangkan mereka berehat di dalam bilik, tak kurang juga layan telefon. Saya tak intai tetapi saya boleh agak itulah yang mereka lakukan.

"Apabila anak-anak hendak susu ataupun makan, mereka akan panggil suami suruh uruskan atau menyuruh si anak meminta daripada ayah mereka yang sedang berehat di luar. Apa yang saya ceritakan ini daripada apa yang saya lihat di rumah emak saya apabila mereka pulang bercuti raya atau balik kampung sekali-sekala.

Tunang tanpa sedar?

LEPAS belajar nanti, awak kahwin dengan saya ya?

Okey, saya nak kahwin dengan awak."

Pernahkah kita dengar perbualan sebegini atau kita sendiri mengungkapkan kata-kata seperti di atas?

Situasi tersebut sering berlaku dalam kalangan penuntut universiti atau sesiapa sahaja yang sedang hangat bercinta.

Percaya atau tidak, ikatan janji itu, sama ada secara serius atau sekadar ‘main-main’, tanpa sedar boleh meletakkan diri sebagai tunangan orang.

Mungkin ramai beranggapan, keadaan itu hanya perkara biasa masa kini.

Mengikut perspektif dan hukum fikah, pinang bermaksud apabila pihak lelaki menyatakan hasrat untuk berkahwin kepada pihak perempuan. Sekiranya pihak perempuan setuju kepada hasrat lelaki tersebut, maka jadilah perempuan itu tunang lelaki tersebut.

Peminangan boleh berlaku sama ada melalui panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS) atau apa-apa rangkaian teknologi sedia ada dalam kehidupan masyarakat kita pada hari ini.

Apabila seseorang wanita itu memberikan jawapan sebagai tanda dia suka dan bersetuju kepada hasrat tersebut, wanita itu telah menjadi tunang kepada lelaki tersebut.

Aeril, Wawa didenda nikah tanpa kebenaran

Sumber : Utusan Malaysia - Mahkamah

PETALING JAYA 25 Sept. - Pelakon Aeril Zafrel yang mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas tuduhan bernikah tanpa kebenaran dua tahun lalu, mengakui tidak pernah mengikuti kursus perkahwinan atau mengetahui prosedur sebelum melangsungkan pernikahan.

"Saya tidak tahu kena pergi pejabat agama untuk proses pernikahan dan tidak pernah pergi mana-mana kursus kahwin," ujarnya ketika ditanya Hakim Syarie, Saharuddin Selamat.

Bagaimanapun, Saharuddin menegaskan, alasan tersebut tidak sepatutnya ditimbulkan Aeril dalam suasana masyarakat sekarang yang mempunyai akses luas tentang maklumat.

Sabtu, 27 September 2014

Pulih hubungan suami isteri

Sumber : Kosmo - Rencana Utama
Tarikh : 27/09/2014


BERJALAN sambil berpimpin tangan, bertemu, menikmati makan malam romantik dan menonton wayang bersama adalah antara aktiviti yang sering dilakukan ketika sepasang kekasih sedang hangat dilamun cinta.
Namun, hakikatnya aktiviti sedemikian jarang diamalkan oleh pasangan yang berkahwin terutamanya jika sudah lama mendirikan rumah tangga.
Jika diamati, aktiviti tersebut harus dilakukan oleh mereka yang sudah berkahwin untuk memupuk perasaan sayang.
Mungkin ada yang malu untuk berjalan berpegangan tangan dengan lelaki atau wanita yang pernah mengharungi susah senang bersama selama bertahun-tahun.
Bagi pengusaha salon, Azlina Mat Arif, 39, perkara tersebut dipandang enteng selama sedekad dia melayari perkahwinan.
Hubungan wanita yang berasal dari Kemaman, Terengganu itu dan suaminya, Zainudin Abdullah, 38, seorang kakitangan swasta semakin renggang kerana mereka jarang berkomunikasi di rumah. Kekangan masa kerana lebih menumpukan perhatian terhadap perniagaan secara tidak langsung menjarakkan hubungan mereka.
Ibu kepada dua anak itu menjelaskan, keselesaan yang dinikmati hasil titik peluhnya sendiri menyebabkan dia merasakan berdiri sendiri tanpa berharap kepada suami.
"Apabila kita mempunyai segala-galanya, ego kita makin tinggi. Kita sukar melihat kesilapan sendiri sebaliknya mudah nampak kekurangan orang lain.
"Perasaan sedemikian menyebabkan wujud pertelingkahan antara saya dan suami sehingga kami hampir mengambil keputusan untuk berpisah," luah Azlina kesal.
Dia yang memberi lebih tumpuan kepada salon menyebabkan komunikasi antara dia dan suami semakin hambar. Menurut Azlina, untuk mengatasi kemelut rumah tangga tersebut, dia dan suami pergi ke pejabat agama untuk mendapatkan khidmat nasihat, malangnya usaha tersebut gagal.

Khamis, 25 September 2014

Wanita perlu tahu hak perundangan

Oleh : NURSYAMIMI SAIDI
Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga
Tarikh : 23/09/2014

Wanita di Malaysia sama seperti di negara-negara lain, mempunyai pelbagai halangan dan rintangan sepanjang perjalanan kehidupan berumah tangga. Penderaan fizikal dan mental, penganiayaan seksual, suami berkahwin lain, suami tidak memberi nafkah zahir, dan sebagainya, adalah antara situasi yang biasa kita dengar berlaku yang akhirnya perceraian menjadi penyelesaian kepada segala masalah.

Baik suami mahupun isteri, tiada siapa yang suka berlakunya perceraian meskipun mungkin hanya dengan itu sahaja masing-masing dapat menjalani kehidupan yang lebih baik.

Apabila sudah diputuskan oleh mahkamah pasangan berhak bercerai, ia sebenarnya turut memberi kesan yang mendalam terutamanya tentang hal yang melibatkan penjagaan anak, pembahagian harta, malah status kewarganegaraan anak sekiranya bekas pasangan adalah bukan warganegara.

Ramai yang tidak menyedari bahawa selepas bercerai mereka sebenarnya telah diputuskan hak masing-masing dalam undang-undang Malaysia.

Namun, kejadian yang berlaku di sekeliling kita menunjukkan masih ramai yang tidak tahu tentang hak mereka.

Bagi yang berfikiran bahawa mereka telah arif tentang selok belok sistem perundangan, mereka akan mendapati terdapat aspek-aspek tersembunyi yang agak sukar untuk difahami.
Lebih malang, apabila sesetengah pengamal undang-undang sendiri turut mengalami perkara yang sama.

Terdapat tambahan kepada satu lagi dimensi kepada hak-hak wanita dalam undang-undang di negara ini, iaitu sejarah undang-undang yang kompleks di Malaysia menyebabkan wujudnya dwi sistem terutamanya dalam kes undang-undang keluarga, di mana terdapat satu set undang-undang untuk orang Islam dan satu lagi untuk bukan Islam.

Walaupun peranan wanita dalam masyarakat kita cukup terserlah dan amat penting dalam rancangan pembangunan jangka panjang negara, masih terdapat beberapa isu yang membimbangkan.

Malaysia telah mengiktiraf undang-undang yang lebih menyeluruh mengenai gangguan seksual, status kewarganegaraan anak-anak wanita Malaysia dengan pasangan asing serta isu-isu lain melalui sistem perundangan sivil dan perundangan syariah.

Lebih prihatin selepas cerai

Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga
Tarikh : 24/09/2014

RAGAM rumah tangga ini bermacam-macam. Memang tidak pernah habis. Setiap hari ada sahaja kisah yang berlaku. Jika hendak mengetahui lebih banyak kisah, duduk sahaja di Mahkamah Syariah dan anda akan dengar 1,001 kisah. Ada yang biasa, ada yang pelik, ada yang kedengaran tidak munasabah dan macam-macam lagi.

Satu kisah rumah tangga yang ingin dikongsi ialah mengenai kisah Rafiza (bukan nama sebenar).

Walaupun telah lama bercerai, iaitu kira-kira 20 tahun, dia masih berbaik dengan bekas suaminya, Yasir (juga bukan nama sebenar). Perceraian yang berlaku juga bukan atas kehendaknya.

Memang biasa sangat berlaku perceraian akibat gangguan orang ketiga. Begitu juga dengan rumah tangga mereka berdua.

Sedang rumah tangga mereka bahagia dan dikurniakan dengan empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan, suami bermain kayu tiga dan mempunyai kekasih.

Kahwin cina buta

Oleh : DR. ARIEFF SALLEH ROSMAN
Sumber : Utusan Malaysia - Bicara Agama
Tarikh : 24/09/2014

PERUNDANGAN Islam menjelaskan, jika suami menceraikan isterinya dengan talak tiga, maka mereka tidak boleh kembali menjadi suami isteri kecuali memenuhi syarat yang ditetapkan. 

Talak tiga boleh berlaku dalam beberapa keadaan iaitu;
Pertama, suami menceraikan isteri pada kali yang ketiga.
Kedua, suami melafazkan ‘saya ceraikan kamu dengan talak tiga’.

Jika suami sudah menceraikan isterinya dengan talak tiga, kemudian jika suami itu mahu kembali semula kepada isterinya, maka Islam meletakkan beberapa syarat:
1) Bekas isteri mestilah berkahwin dengan lelaki lain dengan akad nikah yang sempurna, selepas selesai tempoh iddahnya.
2) Bekas isteri sudah disetubuhi oleh suami baharunya.
3) Bekas isteri itu diceraikan oleh suami baharunya, sama ada suaminya itu meninggal dunia atau suaminya itu menceraikan wanita tersebut.

Cabaran hidup berkeluarga

Sumber : Utusan Malaysia - Bicara Agama
Tarikh : 24/09/2014

INI adalah dua contoh yang ekstrim. Dalam kebanyakan masa, kita semua dibesarkan dalam sebuah kehidupan yang sederhana. Dalam kehidupan yang serba sederhana, kita tidak pernah terlupa bersyukur kepada Allah SWT dengan apa yang telah dikurniakan dan kita tidak pernah berhenti berdoa kepada-Nya supaya Dia terus memberkati kehidupan kita dengan anugerah kebahagiaan dan kesejahteraan.

Sebenarnya, apa yang kita impikan ialah sebuah kehidupan yang mawaddah warahmah dan sakinah. Sebagai manusia, sikap suka membanding-bandingkan kehidupan kita dengan orang lain adalah perkara biasa. Namun, perbandingan hanya bertujuan untuk menyerlahkan sikap suka bersaing dan keinginan kepada yang lebih baik tanpa melupakan hakikat bahawa segala sesuatu yang diingini atau dihajati itu hanya boleh menjadi kenyataan dengan izin-Nya. Jika Allah SWT tidak mengizinkan ia tidak akan berlaku.

Dalam kebahagiaan yang kita kecapi ini, hanya Allah SWT yang tahu apakah dugaan yang bakal tiba kepada kita. Seorang sahabat saya kehilangan dua daripada empat orang anaknya serentak dalam satu kemalangan jalan raya. Ketika kejadian itu, saya percaya sebagai manusia biasa, dia juga tertanya apakah hikmah di sebalik dugaan itu?

Apabila anak sulungnya berkahwin, Allah SWT takdirkan dia mendapat sepasang cucu kembar seiras. Siapalah yang akan dapat menjangka, jika Allah ambil sesuatu daripada kita, Allah SWT akan kembalikan dalam bentuk yang lain kerana daripada Allah kita datang dan kepada-Nya kita akan kembali.

Hidup ini penuh cabaran dan kekuatan seseorang itu ialah kekuatannya menerima dugaan Allah SWT dengan bersabar dan bersyukur kerana pada ketika kita diduga, kita tidak akan dapat merasa hikmahnya sehingga kita mendapat hikmah tersebut.

Lantaran itu, seorang Islam itu perlu yakin kepada ketentuan Allah SWT. Kita yakin dan beriman kepada Allah, Pencipta alam semesta, Allah yang Esa. Kita sentiasa berusaha memperbaiki diri dan keluarga supaya berada di dalam keberkatan-Nya sentiasa. Tiada siapa yang boleh mengubah hidup kita selain diri kita sendiri berusaha mengubahnya dan berdoa kepada-Nya supaya usaha kita beroleh kejayaan. Jika sudah ada usaha selainnya adalah hak-Nya.

Kehidupan kita ini penuh dengan cabaran. Tiada seorang manusia pun yang dalam kehidupannya tidak diduga atau melalui cabaran dalam kehidupan, walau bagaimana kaya atau berilmu pun mereka. Dugaan Allah SWT datang dalam pelbagai bentuk. Tabiat manusia, apabila berada dalam kemewahan dan kesenangan, mereka jarang mengingati-Nya. Apabila jarang mengingati Allah SWT, maka hati akan keras. Ia akan sering melakukan kemungkaran kerana ia senang dihasut syaitan.

Mengingati Allah SWT bukan sahaja melalui solat, ia adalah tiang segala amalan. Mengingati-Nya melalui solat adalah kewajipan namun mengingati Allah dalam semua urusan kehidupan dan sentiasa mensyukuri segala anugerah-Nya.

Setiap orang tanpa mengira kedudukan akan melalui cabaran daripada Allah SWT dalam bentuk yang berbeza. Setiap dugaan Allah SWT datang dengan hikmahnya yang tersendiri dan kekuatan seseorang yang diduga ialah sejauh mana ia bersabar dan bersyukur dengan ketentuan-Nya.

Isnin, 22 September 2014

Bekas isteri selalu ambil kesempatan

Oleh : Ustaz Haslin Baharim
Sumber : Harian Metro 
Ruangan : Zikir Zindagi
Tarikh : 21/09/2014

Saya wanita berkerjaya yang mempunyai seorang cahaya mata hasil perkahwinan dengan duda dua anak.
Masalah saya bermula dengan perbuatan bekas isteri suami yang kerap mengganggu hubungan rumah tangga kami menggunakan alasan anaknya.
Sikap penyayang suami membuatkan bekas isteri mengambil kesempatan. Memang suami tidak pernah gagal melunaskan nafkah bulanan tetapi setiap minggu bekas isteri meminta suami me­ngambil anaknya dan saya menjaga mereka. 
Setiap kali anak tiri bersama, suami langsung tidak melayan saya. Selain itu, bekas isteri sering meminta wang lebih dan suami kerap melebihkan anak tiri berbanding saya dan anak saya.
Suami sering kesempitan wang dan membuatkan saya menanggung lebih banyak hutang. Apabila­ saya suarakan perkara ini, kami bergaduh. Perkara ini membuatkan saya membenci anak tiri.
Saya tidak mahu menjadi isteri derhaka, apakah harus saya lakukan? Bagaimanakah harus saya menerima kehadiran anak tiri dan haruskah saya terus memendam rasa? 

Idah 
Petaling Jaya, Selangor
 

Talak melalui SMS selepas bertengkar

Oleh : Dr. Abdul Salam Muhammad Shukri
Sumber : Harian Metro 
Ruangan : Fikrah Dr. Salam
Tarikh : 19/09/2014

Saya ingin tahu mengenai lafaz talak. Baru-baru ini, saya dan suami bertengkar hampir seminggu dan kami tidak bertemu sehingga saya menetap di rumah ibu.
Pada hari terakhir kami bertengkar, suami ada berkata: “Kalau nak bercerai, OK cerai la.” Ia dibuat melalui SMS dan mengatakan selesai semua. 
Pada malam itu, suami datang dan menyatakan lafaz berkenaan tidak sah. Kami berbaik semula dan bersama. 
Adakah betul lafaz itu tidak sah? Jika ia sah, perlukah kami ke pejabat agama atau mahkamah untuk rujuk semula?
Jika keadaan itu berulang lagi, adakah dikira sebagai talak yang kedua dan seterusnya talak yang ketiga? Mohon penjelasan Dr.
Niela 
Kuala Lumpur
 

Sabtu, 20 September 2014

Cerai fasakh tak boleh rujuk

Oleh : Prof Dr Najibah bt Mohd Zin
Sumber : Kosmo - Pesona (Wanita & Undang-undang)
Tarikh : 19/09/2014

KEGAGALAN memberi nafkah, memudaratkan tubuh badan, penderaan seksual dan pengabaian tanggungjawab merupakan aduan biasa yang sering didengar terutama dalam kalangan wanita yang tidak mempunyai kerjaya profesional.
Pensyariatan fasakh adalah satu keharusan yang dibenarkan oleh hukum Islam untuk suami dan isteri bagi menamatkan perkahwinan melalui perintah hakim Mahkamah Syariah.
Hukum ini telah dikembangkan oleh ulama Islam berdasarkan kepada konsep umum mudarat (dharar) walaupun mereka berbeza pendapat tentang perincian alasan untuk fasakh.
Bagaimanapun, anjuran al-Quran yang menyebut bahawa 'pasangan perlu menahan dengan baik atau melepaskan dengan baik' (Surah al-Baqarah ayat 229) merupakan rujukan utama bagi hukum ini.
Undang-undang syariah di Malaysia menyediakan perincian alasan untuk perceraian melalui fasakh dengan mengambil kebanyakan alasan tersebut daripada mazhab Maliki.
Alasan-alasan tersebut adalah seperti tidak mengetahui tempat di mana suaminya berada selama tempoh lebih daripada satu tahun, suami cuai atau tidak mengadakan peruntukan nafkah selama tempoh tiga bulan.

Lantang bela nasib wanita

Oleh : Kusyi Hirdan
Sumber : Harian Metro - Majalah M
Tarikh : 19/09/2014


Lima hari penulis diberi peluang mengenali lelaki tinggi lampai ini. Dia bertindak sebagai penceramah pada satu kursus berkaitan gender dan keganasan terhadap wanita yang penulis hadiri.
Semangatnya tinggi dalam memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai keganasan terhadap wanita dan salah faham mengenai gender.
Disebabkan semangat dan kerja kerasnya itu, dia antara penerima Anugerah Respek Wanita daripada Perdana Menteri sempena Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2013 yang lalu. Anugerah ini diberikan kepada individu yang memberi sumbangan dalam pembangunan wanita. 

Dr Tengku Naufal Tengku Mansor, seorang peguam yang berasa terkesan setiap kali bergelumang dengan kes yang membabitkan wanita. Dia tidak dapat membiarkan segalanya berlalu begitu saja. Dia tahu seseorang perlu membantu dengan lebih mendalam.

Musykil syarat suami jatuh talak

Oleh : Dr.Abdul Salam Muhammad Shukri
Sumber : Harian Metro 
Ruangan : Fikrah Dr. Salam
Tarikh : 18/07/2014

Saya mahu penjelasan mengenai kesahihan lafaz talak yang dilakukan suami. Baru-baru ini suami saya menyatakan, sekiranya saya tidak menandatangani borang yang diberi sebelum jam 12 tengah malam, jatuh talak satu.
Pada masa sama suami memberitahu kepada kakak dan adik saya perkara ini. Saya sudah menandatangani borang itu sebelum jaml 12 malam dan menghantar gambar borang yang ditandatangani kepada suami. 
Pada keesokannya suami memberitahu saya menandatangani pada tempat yang salah. Jadi, adakah talak berkenaan jatuh? 

Noraini
Selangor 

Mengapa sikap suami berubah?

Sumber : Sinar Harian - Famili
Tarikh : 23/10/2012

Soalan: “Saya dah tak larat hidup macam ni, ustaz. Tiap-tiap hari saya jadi mangsa sepak terajang suami. Dulu dia lain, caring, romantik dan sangat sayangkan saya. Sekarang perkara kecil pun selalu jadi masalah besar. Pantang silap sikit, walaupun tak disengajakan, teruk saya ditengking disumpah seranahnya. Dulu kalau nak buat apa-apa keputusan, adalah juga dia tanya pendapat saya. Tapi sekarang, apa saja pendapat saya, semuanya bodoh dan tak masuk akal baginya. Tak apalah ustaz. Kalau dah bukan jodoh saya, biarlah dia lepaskan saya. Mungkin dia boleh jumpa dengan perempuan lain yang lebih sesuai.”

Jawapan:  Ada beberapa persoalan penting untuk kita fikirkan apabila situasi begini terjadi. Pertama, kenapa pasangan kita berubah? Kedua, adakah apabila berlaku perubahan, penyelesaiannya adalah berpisah dan cari ganti lebih sesuai? Adakah bercerai itu satu penyelesaian?

Kita adalah manusia normal yang akan berubah dari semasa ke semasa. Ketika zaman kanak-kanak, kita mungkin suka coklat dan gula-gula tetapi tidak lagi pada usia dewasa. Ketika remaja kita mungkin suka pakaian berwarna pink terang, tetapi agak jarang dipakai pada usia 50. Inilah namanya perubahan; akan berlaku sepanjang perjalanan usia.

Jangan semata-mata lihat perubahan berlaku pada pasangan lantas kita terburuburu ambil keputusan bercerai sebagai jalan penyelesaian. Sehingga ke saat buku ini ditulis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mendedahkan sekitar 77 pasangan bercerai setiap hari di Malaysia. Dalam laporan yang lain, didedahkan hampir setiap 17 minit, satu pasangan bercerai di Malaysia.

Jumaat, 19 September 2014

Bantahan ditolak, Awie diperintah bayar Rozana RM900

Sumber : Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Walaupun masih awal, namun keputusan Mahkamah Tinggi Syariah di sini yang menolak bantahan awal suaminya yang juga pelakon dan penya-nyi, Awie terhadap permohonannya untuk mengetepikan perintah hak penjagaan (hadanah) sementara bagi ketiga-tiga anak mereka sudah cukup menggembirakan Rozana Misbun.

Malah sudah terbayang di benak fikirannya, seolah-olah keputusan hari ini membuka ruang baginya untuk berjumpa dengan anak-anak-nya, Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4, yang sudah tidak ditemui sejak beberapa bulan yang lalu.

"Saya sungguh gembira. Tak sabar nak jumpa anak-anak," kata Rozana.

Keputusan tersebut turut disambut dengan sorakan gembira rakan-rakannya dan kakaknya yang juga penerbit dan pelakon, Haliza Misbun.

Dalam keputusan Hakim Syarie, Mohd. Amran Mat Zain yang dibacakan oleh Timbalan Pendaftar, Muhammad Fateh Saleh, mahkamah turut mengarahkan Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 46, membayar kos sebanyak RM900.

Mahkamah turut mengarahkan pelakon utama filem Hantu Kak Limah Balik Rumah itu memasukkan jawapan terhadap permohonan Rozana, 36, untuk mengetepikan perintah hadanah sementara itu.

Menurut peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain yang mewakili Awie, pihaknya diarahkan untuk memasukkan jawapan tersebut dalam tempoh tiga minggu.

Apabila kepercayaan dikhianati

Sumber : Utusan Malaysia - Bicara Agama
Tarikh 19/09/2014

BERITA yang diterima Zara sebentar tadi, benar-benar membuatkan Zara cuak dan kecewa. Dia sama sekali tidak menyangka Liyana begitu berani melakukan perkara sedemikian. Baginya, anak tunggal perempuannya itu telah dididik sesempurna mungkin. Segala kemahuannya dituruti. Segala kehendaknya dipenuhi. Cakap apa sahaja, Zara pasti tidak akan mengecewakan anak-anaknya jika anak-anaknya berjanji akan cemerlang dalam pelajaran mereka. Ternyata, anak-anaknya membuktikannya.

Siapa tidak kenal dengan Liyana, pelajar pintar di sekolah tersebut. Bahkan, menjadi pelajar harapan sekolah untuk mengharumkan nama sekolah. Liyana memang budak yang pandai. Zara turut berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh anak-anaknya dalam bidang akademik. Lantas apa sahaja kemahuan anak-anak, seboleh-bolehnya Zara tidak mahu menghalangnya.

Bagi Zara, anaknya telah melakukan apa yang dia mahukan - cemerlang dalam pelajaran. Apa lagi yang perlu dikongkong kerana anak-anaknya selama ini mendengar kata. Duit? Bukan menjadi penghalang. Cakaplah berapa sahaja yang dikehendaki, asalkan diberitahu untuk apa duit tersebut. Setakat untuk berseronok dengan teman-teman di luar pada hujung minggu, Zara tidak pernah menghalang. Baginya, hujung minggu adalah masa untuk anak-anaknya melepaskan lelah dan minda yang serabut dengan menghadap buku.

Zara cukup yakin, anak-anaknya tidak akan melakukan sesuatu yang boleh memalukan maruah diri dan keluarga. Zara cukup yakin, anak-anaknya juga pandai menilai buruk dan baik. “Dah besar panjang, biarlah mereka. Bukan hari-hari, di hujung minggu sahaja," pujuk Zara apabila suaminya bertanyakan banyak soalan kepada anak-anaknya apabila si anak meminta izin untuk berseronok bersama teman-teman. Si suami akhirnya akur dengan harapan si isteri tidak lepas tangan tentang aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak di belakang mereka.

Namun panggilan yang diterima sebentar tadi mengejutkan Zara. Liyana baginya tidak akan melakukan perkara sedemikian. “Tidak, tuan salah orang agaknya," soal Zara untuk mendapatkan kepastian. Sebaik meletakkan telefon, Zara bergegas ke pejabat agama. Sampai di pejabat tersebut, kelihatan Liyana menangis teresak-esak. Di sisinya seorang remaja lelaki yang lebih kurang sebaya Liyana. Zara dipeluk oleh Liyana sambil mulut meminta maaf berkali-kali.

Khamis, 18 September 2014

Peguam Awie Pertikai Kelewatan Rozana Hantar Afidavit

Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI
qayumazizi@thestar.com.my

Sumber : MStar Online
Tarikh 17/09/2014

KUALA LUMPUR: Peguam Syarie kepada vokalis kumpulan Wings, Awie mempertikaikan tindakan isteri penyanyi itu, Rozana Misbun ekoran kelewatan menghantar afidavit pembelaan untuk mengetepikan perintah injunksi (tegahan) secara ex-parte (sebelah pihak) yang dibenarkan mahkamah terhadap Awie sebelum ini terhadap tiga anak mereka.

Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain dalam hujahannya berkata, pihak Rozana selaku responden kes berkenaan gagal menyerahkan jawapan berkenaan dalam masa 14 hari seperti mana diperintahkan mahkamah pada 21 Julai lalu.

Jelas Mohd Zaidi, Rozana menerusi peguamnya Majdah Muda hanya memfailkan sehari selepas tempoh itu tamat dan ia jelas melanggar perintah yang dikeluarkan.

Hujahan kes berkenaan didengar dihadapan Hakim Syarie, Mohd Amran Mat Zain di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu.

Berpura-pura berbaik demi anak

Oleh : MERAN ABU BAKAR
Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga
Tarikh : 17/09/2014

ALIA (bukan nama sebenar) merupakan ibu kepada seorang anak lelaki yang sedang meningkat remaja. Dia bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital swasta. Berperwatakan periang dan peramah, tiada siapa mengetahui rahsia yang disimpan oleh Alia selama bertahun-tahun.

Mengenali Alia sejak lima tahun yang lalu, dia amat selesa didekati dan mudah menjadi kawan. Sesekali dia akan menelefon saya dan bertanyakan khabar. Apabila bertemu, dia tampak begitu riang dan tidak berhenti-henti bercakap. Dia begitu terbuka dengan saya dan berceritakan mengenai ‘rahsianya’ itu.

Mungkin dia mempercayai dan tahu saya tidak akan menjajakan ceritanya. Namun, untuk disiarkan di ruangan ini, Alia membenarkan tetapi meminta supaya saya tidak mendedahkan nama sebenarnya.

Cerita Alia, dia berkahwin dengan suaminya, Hisham yang 10 tahun lebih muda dari usianya atas dasar suka sama suka. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki. Bagaimanapun langit tidak selalunya cerah. Mega mendung mula kelihatan.

Apabila anaknya berumur 10 tahun, dia mengetahui Hisham mempunyai kekasih yang bekerja satu pejabat dengannya.

Dia bertanya kepada Hisham dan suaminya mengaku mempunyai kekasih. Alia meminta Hisham supaya berterus-terang sama ada dia ingin berkahwin dengan kekasihnya itu. Ini kerana Alia mengetahui dia mungkin tidak dapat menghalang jika suaminya benar-benar ingin berkahwin dengan kekasihnya.

Cuma apa yang dipinta oleh Alia ialah supaya Hisham tidak mengabaikan anak tunggal mereka yang sangat rapat dengan ayahnya.

Demi anak, mereka meneruskan kehidupan rumah tangga mereka seperti biasa. Alia merupakan seorang wanita yang amat tenang. Mungkin kematangan usianya membuatkan dia begitu. Dia tidak suka bergaduh atau meraung mengenangkan suami yang mempunyai wanita lain.

Isnin, 15 September 2014

Kerana isteri orang kaya

Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga
Tarikh : 14/09/2014

"TERPANGGIL dengan kisah hidup Shazlina minggu lepas membuat saya ingin menceritakan pengalaman hidup yang pernah saya lalui sebelum ini. Sebab rasanya nasib kami serupa. Tetapi saya tamatkan penderitaan saya dengan cara mungkin kejam kerana saya tidak sanggup lihat suami tanggung banyak dosa.

"Kita tahu setiap perkahwinan memerlukan pengorbanan kedua-dua belah pihak, kerana tanpanya, perjalanan pasangan itu akan pincang mungkin juga menyebabkan salah satu pihak jatuh tersungkur.'' Itu cerita Norjuliana dalam e-melnya.

"Tidak ada wanita mahu perkahwinan mereka hancur. Kerana mereka tidak mahu bergelar janda. Tetapi mengapa seseorang wanita itu terpaksa menempuhinya? Macam saya, setelah terbongkar kisah suami saya ada kekasih lain, saya cuba sedaya upaya untuk mengelakkannya. Suami sanggup bersumpah menafikan perbuatannya, walaupun memang dia sedang bercinta. Kemudian saya cuba selidik mengapa suami berbohong?

Ahad, 14 September 2014

Bandingan Undang-undang keluarga Islam dan sivil

Oleh : ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
PENULIS ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 04/09/2014

DI Malaysia terdapat dua set undang-undang keluarga Islam yang terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam. Undang-Undang Keluarga Islam yang digubal dan diluluskan di negeri-negeri di dalam Malaysia merupakan undang-undang yang bertujuan untuk menyatukan peruntukan-peruntukan Undang-Undang keluarga Islam mengenai perkahwinan, nafkah, penjagaan dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kehidupan berkeluarga. Undang-Undang tersebut hanya terpakai bagi semua orang Islam yang bermastautin di dalam sesuatu negeri itu.


Sementara itu, Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 pula adalah suatu akta bagi membuat peruntukan berkenaan dengan perkahwinan monogami dan pengupacaraan dan pendaftaran perkahwinan itu dan menyatukan undang-undang berhubungan dengan perceraian. Akta ini hanya terpakai kepada orang bukan Islam mengikut syarat-syarat yang tertentu. Ia juga tidak boleh dipakai bagi seseorang Islam atau seseorang yang berkahwin mengikut hukum syarak. Perkahwinan di bawah akta ini juga tidak boleh diupacarakan, sekiranya salah satu pihak kepada perkahwinan tersebut beragama Islam.


Walaupun kedua-dua undang-undang ini berkisar di dalam tajuk kekeluargaan ataupun hubungan di dalam institusi kekeluargaan, namun pada pandangan penulis terdapat banyak perbezaan antara kedua-dua undang-undang ini. 


Jumaat, 12 September 2014

Jimmy boleh bermalam jika anak tidak menangis

Sumber : Utusan Malaysia - Mahkamah

SHAH ALAM 11 Sept. - Bekas ibu mentua pengacara dan pelakon, Jimmy Shanley tidak membenarkan bekas menantunya itu bermalam dengan cucunya yang juga anak tunggal Jimmy kecuali jika kanak-kanak itu tidak menangis.

Datin Muniroh Kassim, 53, berkata, cucunya, Zahra Rania yang berusia tiga tahun tiga bulan sering menangis apabila hendak bermalam dengan bekas menantunya.

"Bukan tidak bagi bermalam tetapi kalau anak itu tidak menangis bolehlah bermalam," katanya semasa disoal oleh peguam syarie, Mohd. Noor Aizan Md. Idrus yang mewakili Jimmy yang bertanya sama ada anak guamnya itu boleh mengambil Zahra Rania untuk bermalam dengannya.

Tuntutan mutaah RM300,000 Rita Rudaini melampau

Sumber : Utusan Malaysia - Mahkamah

SHAH ALAM 11 Sept. - Ketua pasukan Harimau Malaya, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak menyifatkan nilai mutaah sebanyak RM300,000 yang dituntut oleh bekas isterinya, pelakon Rita Rudaini adalah melampau.

Berikutan itu, Mohd. Aidil Zafuan, 27, dalam pembelaannya terhadap permohonan Rita itu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, tidak bersetuju dengan jumlah tuntutan tersebut.

Peguam syarie, Rushdan Sujak Rafie yang mewakili Mohd. Aidil Zafuan mengemukakan pembelaan itu hari ini tanpa kehadiran anak guamnya itu.

Kes itu disebut dalam kamar di hadapan pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Atrasina Mohd. Zahrullail.

Beliau menetapkan 9 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Rabu, 10 September 2014

Suami suka maki hamun

Oleh : Ustaz Haslin Baharim
Sumber : Harian Metro 
Ruangan : Zikir Zindagi

Tarikh : 07/09/2014

Saya hamba Allah yang daif. Dulu, saya balu yang mempunyai dua anak lelaki comel. Tahun lalu, saya berkahwin dengan jejaka yang membuka hati saya.

Malangnya, suami panas baran dan suka memaki hamun jika berlaku perselisihan faham. Suami selalu mengatakan saya isteri derhaka dan hidup tak diberkati jika saya pulang ke rumah dan mendiamkan diri kerana terlalu penat.

Suami sangat baik tetapi kadangkala panas baran dan sangat sensitif jika saya tidak melayaninya sangat. Saya pernah difitnahnya melayan baik kawan sekerja, terutama lelaki. Suami jenis enggan mengalah dan sentiasa berasakan dirinya betul.

Setiap kali bergaduh, saya tidak mahu menjawab dan berdiam diri saja tetapi dia mendesak saya menjawab, dan akhirnya dia yang panas hati.

Saya pernah mengalami alam berumahtangga sebelum ini. Sepanjang itu saya tiada masalah dengan arwah suami dan hidup kami sangat bahagia. Persoalannya, adakah saya yang bersalah?

MAMA
Kuala Lumpur

Selasa, 9 September 2014

"Tuntutan Setengah Bilion Tidak Munasabah Dan Untuk Menghukum Saya..."- Mahmud Abu Bekir

Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI
qayumazizi@thestar.com.my
Diterbitkan: Isnin, 8 September 2014


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib Mahmud pada Isnin memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini bahawa bekas isterinya, Shahnaz Abdul Majid telah dipergunakan oleh pihak tertentu sehingga membuat tuntutan tidak munasabah iaitu sebanyak RM521 juta terhadapnya.

Mahmud mendedahkan Shahnaz yang juga plaintif dalam kes berkenaan percaya beliau mempunyai nilai harta yang banyak untuk membayar tuntutan yang dibuat wanita berkenaan.

"Saya yakin dia mendapat nasihat yang salah daripada pihak-pihak tertentu selain saya difitnah mempunyai harta yang banyak sehingga membuatkan dia percaya saya mampu membayar tuntutan tersebut.

"Ternyata dia telah ditipu kerana apa yang cuba dibuktikan tidak wujud," katanya lagi.

Mahmud berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes tuntutan mutaah sebanyak RM100 juta dan tuntutan harta sepencarian bernilai RM300 juta yang difailkan Shahnaz, 51.

Selain mutaah dan harta sepencarian, Shahnaz turut memfailkan nafkah terhadap anak lelaki tunggal mereka yang kini berusia 20 tahun sebanyak RM121 juta.

Kes berkenaan didengar dihadapan Hakim Syarie, Abdul Karim Wahab dan Mahmud selaku defendan diwakili oleh peguam syarie, Saadiah Din.

Dalam pada itu, Mahmud memberitahu tuntutan tidak munasabah itu dibuat bekas isterinya kerana perasaan marah ekoran beliau menceraikan wanita berkenaan pada Mei 2011.

"Sepanjang 12 tahun kami tinggal berasingan dia sentiasa mengelak apabila saya mengutarakan soal perceraian dan dia jadi marah apabila perkara itu berlaku. Tuntutan yang dibuat itu seolah-olah ingin menghukum saya," katanya.

Tambah Mahmud yang juga anak kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, dia menceraikan Shahnaz hanya selepas 12 tahun tinggal berasingan kerana berasa kasihan terhadap wanita tersebut.

Sementara itu, Mahmud turut mempertikaikan tindakan Shahnaz yang mengambil gambar kereta, tapak tanah dan rumah miliknya yang sedang dibina di Bukit Tunku di sini tanpa kebenarannya untuk dijadikan bukti kepada mahkamah.

Jelas Mahmud, tindakan tersebut nyata telah melanggar hak peribadinya dan Shahnaz sepatutnya meminta kebenaran terlebih dahulu.

Mahmud dan Shahnaz yang juga kakak kepada penyanyi popular Datuk Sheila Majid berkahwin pada Januari 1992.

Pelajar IPT didenda

Sumber : Harian Metro
Tarikh : 08/09/2014

Kuala Terengganu: “Sebagai seorang yang terpelajar, perbuatan tidak bermoral itu tidak sepatutnya dilakukan tertuduh yang sudah bijak berfikir dan membezakan baik buruk sesuatu perkara,” kata Hakim Tinggi Syarie Rosdi Harun dalam penghakiman sebelum menjatuhkan hukuman denda RM2,300 terhadap seorang remaja perempuan yang didapati bersalah terhadap pertuduhan cuba melakukan persetubuhan luar nikah pada Jun tahun lalu.
Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman itu terhadap seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) berusia 18 tahun selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.

Ahad, 7 September 2014

Cerai melalui tebus talak

Oleh : Prof Dr Najibah bt Mohd Zin
Sumber : Kosmo - Varia
Tarikh : 05/09/2014


ABIDAH berasa tidak senang dengan sikap suaminya, Ahmad yang suka berhutang walaupun mempunyai pendapatan yang mencukupi sebagai seorang pegawai kerajaan.

Malah, akhir-akhir ini Ahmad suka pulang jauh malam kerana terikut dengan beberapa kumpulan tarikat. Selain itu, Abidah selalu menerima panggilan daripada pihak bank dan ah long yang menuntut bayaran pinjaman suaminya.

Lantaran bimbang dengan ugutan yang diberikan pihak berkenaan, Abidah bercadang untuk membuat tuntutan cerai.

Situasi di atas merupakan beberapa keadaan yang biasa berlaku antara suami isteri. Masalah ini sukar untuk diceritakan dan dibuktikan di mahkamah jika pihak isteri berhasrat untuk mendapatkan tuntutan cerai.

Disebabkan itu, kesabaran mempunyai hadnya, hukum syarak memberi jalan keluar jika masalah dalaman yang berlaku sukar untuk dirungkai dan diselesaikan.

Isteri boleh membuat tuntutan perceraian melalui khuluk yang juga dikenali dalam masyarakat Islam sebagai tebus talak.

Sabtu, 6 September 2014

Lewat Daftar Nikah: Ramli MS & Alyah Boleh Dipenjara

Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI
qayumazizi@thestar.com.my
Diterbitkan: Jumaat, 5 September 2014
Sumber : MStar Online


PETALING JAYA: Pengarah muzik Datuk Ramli MS sepatutnya mendaftarkan perkahwinannya dengan penyanyi Alyah dalam masa enam bulan selepas tarikh mereka bernikah mengikut Seksyen 31 Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Penolong Pengarah Unit Dasar, Penyelewengan dan Doktrinisasi, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shahrom Maarof, berkata, kegagalan pasangan itu berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan boleh disabitkan sebagai kesalahan selain dikenakan penalti.

"Secara dasarnya pasangan yang berkahwin di luar negara perlu mendaftarkan perkahwinan tersebut dalam masa enam bulan selepas tarikh perkahwinan itu dengan hadir di hadapan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk di bawah enakmen tersebut.

"Sebaik-baiknya sejurus kembali ke Malaysia pasangan yang menetap di negeri Selangor terus hadir di hadapan mana-mana Pendaftar di negeri ini dengan mengemukakan surat perakuan nikah dan dokumen berkaitan untuk mengesahkan perkahwinan itu telah berlaku," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis.

Khamis, 4 September 2014

Isteri pelakon Ezany diberi notis amaran

Sumber : Utusan Malaysia - Mahkamah

PETALING JAYA 3 Sept. - Mahkamah Rendah Syariah Petaling dekat sini hari ini mengeluarkan dua notis amaran kehadiran terhadap isteri pelakon Ezany Nizariff setelah Lizda Nuryanti Abidin gagal hadir untuk sebutan kes penceraian dan nusyuz pasangan itu.

Hakim Syarie, Mohd. Nurulazhar Mohd. Tohar mengeluarkan notis amaran tersebut bagi kes permohonan cerai yang difailkan Lizda Nuryanti dan kes nusyuz yang dikemukakan oleh Ezany, 41.

Pada prosiding tersebut, Ezany juga tidak hadir tetapi diwakili peguam syarie, Fatiatun Nadiah Mat Radi namun tiada sesiapa yang hadir mewakili Lizda Nuryanti, 32.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Oktober ini untuk sebutan semula kes itu.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Fatiatun Nadiah memberitahu, beliau hadir bagi pihak peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang dilantik mewakili Ezany.

Pada 4 Ogos lalu, Ezany atau nama sebenarnya Mohd. Zani @ Mohd. Zohri Mohd. Nizariff, tidak bersetuju terhadap permohonan cerai secara baik yang dimohon isterinya ketika sebutan kes cerai pasangan tersebut di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Ini kerana dia telah mengemukakan permohonan nusyuz terhadap isterinya di mahkamah sama pada 22 Julai lalu.

Permohonan nusyuz itu difailkan oleh pelakon tersebut mengikut Seksyen 60(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 setelah Lizda Nuryanti keluar daripada rumah kelamin mereka di Seri Kembangan pada 17 Julai lalu.

Selain kes penceraian dan nusyuz itu, Ezany telah memfailkan permohonan hadanah iaitu hak penjagaan sementara dan kekal ke atas dua anak mereka di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 27 Ogos lalu.

Ezany dan Lizda Nuryanti berkahwin pada 1 Julai 2007 dan telah dikurniakan dua anak lelaki berusia tiga tahun dan 16 bulan.

Pada 17 Julai lalu, Ezany telah membuat laporan di Balai Polis Kinrara, Serdang setelah mendakwa isterinya dilarikan seorang lelaki.

Menurut Ezany , dia menyedari kehilangan isterinya setelah bangun daripada tidur kira-kira pukul 4.30 pagi untuk bersahur dan mendapati pintu utama rumahnya di Seri Kembangan, Selangor tidak berkunci.

Lewat: Rozana diperintah bayar kos RM500

Sumber : Utusan Malaysia - Mahkamah

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Isteri vokalis kumpulan Wings, Rozana Misbun hari ini diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini membayar kos RM500 kepada Awie selepas 'tidak hadir' prosiding bantahan awal berhubung hak penjagaan (hadanah) sementara ketiga-tiga anak mereka yang diperoleh penyanyi tersebut.

Hakim Syarie, Mohd. Amran Mat Zain memutuskan demikian selepas adik kepada kepada pelakon dan penerbit, Haliza Misbun itu dan peguam syarie, Majdah Musa yang mewakilinya tidak kelihatan di mahkamah sewaktu kes itu bermula sehingga dianggap tidak hadir.

Namun, kira-kira 20 minit selepas mahkamah bersidang dan perintah itu dikeluarkan, Rozana dan Majdah dilihat tergesa-gesa memasuki dewan mahkamah dan memaklumkan bahawa mereka terlewat tiba ekoran sibuk di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah bagi tujuan memasukkan wakalah (pelantikan peguam) dan memfailkan beberapa afidavit jawapan dalam kes itu.

Majdah turut memberitahu, anak guamnya telah memasukkan dua permohonan interlokutari (permohonan dalam permohonan) iaitu berhubung bidang kuasa mahkamah dan permohonan untuk mengubah perintah sementara berkaitan isu hadanah.

Rozana, 36, pada prosiding sebelum ini menyatakan hasratnya secara lisan kepada mahkamah berhubung kedua-dua permohonan tersebut namun perkara itu baru difailkan secara rasmi hari ini.

Ibu kepada tiga anak itu sebelum ini menyatakan bahawa Mahkamah Syariah Kuala Lumpur tidak mempunyai bidang kuasa atas dakwaan Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, telah sengaja memanipulasi fakta tentang alamat kediamannya untuk mengelak daripada permohonan itu didengar di bawah bidang kuasa mahkamah negeri Selangor.

Rozana turut memohon mahkamah meminda perintah hak lawatannya terhadap anak-anaknya, Putra Ahmad Merrah, 7; Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4, selama dua jam dan sebanyak dua kali sebulan iaitu pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan serta terhad di bekas rumah kelamin pasangan itu di Taman Ukay Bistari dipindahkan ke rumah ibu bapanya di Pantai Murni, Jalan Pantai Dalam di sini.

Rabu, 3 September 2014

Suami mempermainkan talak

Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga
Tarikh : 28/08/2014


HUBUNGAN suami isteri ada bermacam-macam ragam. Sama ada di pihak suami atau isteri ada sahaja perkara yang diucapkan dan dilakukan yang boleh menggugat keharmonian rumah tangga. Kita juga tentunya biasa mendengar dialog seperti di bawah ini:

Suami: Jika engkau keluar dari rumah ini maka jatuhlah talak.

Isteri: Jika saya keluar buang sampah?

Suami: Boleh keluar buang sampah

Isteri: Pergi kerja?

Suami: Kerja tentulah boleh! Jika tidak, kita nak makan apa? Tapi lepas kerja balik rumah terus.

Isteri: Keluar bayar bil-bil?

Suami: Itu boleh! Mesti bayar sebelum air dan elektrik kita kena potong.

Kedengarannya agak lucu. Tetapi daripada kata-kata atau lafaz seperti ini sebenarnya akan memberi kesan kepada kedudukan pasangan terbabit sebagai suami isteri. Talak tidak harus dipersendakan antara suami isteri.

Isnin, 1 September 2014

Cerai melalui talak taklik

Oleh : Prof Dr Najibah bt Mohd Zin
Sumber : Kosmo - Varia
Tarikh : 29/08/2014

Amalan ini tidak mempunyai sebarang rujukan dalam sumber utama undang-undang syariah tetapi telah digubal melalui ijtihad agar memberi lebih perlindungan kepada golongan wanita.

Hampir semua negeri di Malaysia mewajibkan seorang suami melakukan lafaz tersebut. 

Contoh lafaz taklik (bagi Wilayah Persekutuan) adalah seperti berikut:
"Bahawa adalah saya mengaku apabila tinggalkan isteri saya (nama) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan dan saya atau wakil saya tidak memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut pada hal dia taat kepada saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya kemudian ia mengadu kepada Mahkamah Syariah dan memberi kepada Mahkamah Syariah yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khuluk."

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman