Dalam pada itu, statistik terbaru yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan bahawa lebih kurang 300 kes pembuangan bayi dikesan beberapa bulan selepas sambutan Hari Kekasih. Jelas sekali sambutan Hari Kekasih setiap kali tiba 14 Februari ini banyak menyumbang kepada masalah sosial ini.

Bayi yang dibuang dan berjaya diselamatkan pula akan diserahkan kepada JKM untuk penjagaan. Agak malang bagi bayi yang dibuang di merata-rata tempat kerana selain faktor keselamatan nyawa, mereka turut terdedah dengan pelbagai kemungkinan termasuklah dihurung semut malah ada yang digigit anjing.

Bayi yang tidak berdosa ini selalunya dibuang untuk menutup kesalahan yang dilakukan oleh pasangan terlanjur. Dengan cara ini, pasangan tersebut beranggapan ia dapat mengelak daripada dikesan keluarga dan mendapat malu.


Dari sudut lain pula, aspek kemanusiaan tidak boleh diketepikan kerana bayi yang tidak mengetahui apa-apa itu berhak untuk meneruskan hidup dan amat malang apabila bayi itu dibunuh dengan kejam kemudian dibuang.

Dalam kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim baru-baru ini, beliau meminta agar bayi yang dilahirkan luar nikah dihantar ke Rumah Kanak-Kanak yang terdapat di seluruh negara agar bayi berkenaan mendapat penja-gaan dan perlindungan.

Walaupun tentunya terdapat pro dan kontra mengenai tindakan ini, aspek kemanusiaan sebenarnya lebih dipen-tingkan kerana ia berkait rapat dengan nasib bayi malang ini. Ada kes bayi yang dibuang ditemui masih bernyawa, tidak kurang juga banyak kes ditemukan sudah meninggal dunia dalam keadaan tragis.

Untuk menangani masalah ini, kempen Life is Previous 1Malaysia 1Jiwa 1Cinta dilancarkan pada 2010 malah Baby Hatch juga dilancarkan pada tahun yang sama dengan harapan bayi yang tidak dikehendaki boleh dihantar ke tempat tersebut. Pun begitu, kes-kes pembuangan bayi masih berlaku. Ini sebenarnya menjadi satu tanggungjawab besar yang harus dipikul oleh ibu bapa dalam mengekang hubungan bebas anak-anak mereka supaya tidak sampai terjebak ke lembah seperti ini. Didikan awal dari segi agama dan moral sangat penting sebagai benteng kepada anak-anak supaya dapat membezakan mana halal dan haram.

Pemantauan secara berterusan terhadap anak-anak juga sangat penting supaya apabila mereka berjauhan dengan ibu bapa, mereka tidak akan melakukan perkara-perkara yang tidak baik ini di luar pengetahuan keluarga.

Pihak berkuasa tempatan pula, perlu memperkemas jentera mengekang hubungan bebas muda-mudi ini. Biasanya, Hari Kekasih diterjemahkan oleh kebanyakan muda-mudi sebagai tiket untuk meraikannya dengan melakukan hubungan seks. Agak menyedihkan kerana budaya Barat ini seakan-akan sudah menjadi trend kebanyakan muda-mudi di negara kita.

Dalam pada itu, pemilik hotel, calet dan sebagainya mesti peka terhadap masalah yang berlaku di negara kita berkaitan kelahiran bayi tanya nikah dan kes-kes pembuangan bayi. 

Soal keuntungan mestilah ditolak ke tepi. Apa yang pen-ting adalah kerjasama untuk memastikan status penyewa di premis mereka agar kes-kes buang bayi ini dapat dibanteras.
Mengekang kelahiran anak tanpa nikah ini adalah pen-ting kerana pepatah ada mengatakan mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Oleh itu, usaha bersepadu antara pelbagai pihak mesti ditingkatkan agar masalah kelahiran anak tanpa nikah dan kes pembuangan bayi dapat dikurangkan.