Iblis sudah lama bersumpah mahu rosakkan manusia
Oleh : ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 09 Februari 2016
CINTA yang semata-mata atas gelora nafsu adalah produk Iblis yang sudah lama bersumpah mahu merosakkan manusia. - GAMBAR HIASAN
APABILA menjelang 14 Februari setiap tahun, Aaron tidak pernah lupa membelikan bunga ros kepada isterinya. Itu tanda cintanya yang tulus: “Saya cintakan awak sepenuh hati dan rela hidup mati bersama awak.”
Sedar atau tidak, cinta sejati di dunia antara suami isteri tidak semestinya menjadi cinta abadi sehingga ke syurga. Cinta seorang suami kepada isterinya tidak hanya terbatas kepada kilauan berlian, emas atau haruman kuntum bunga, tetapi yang jauh lebih penting adalah penjagaan keluarga daripada sambaran api neraka.
Firman Allah: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh para malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan,” (al-Tahrim[66:6])
Malang sekali bagi suami isteri yang romantik di dunia tetapi terpisah jauh menjadi musuh di akhirat kelak. Firman Allah: “Pada hari itu sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh),” (al-Zukhruf [43:67]).
Juga amaran Allah dalam ayat ini: “Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri dan anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani,” (al-Taghabun [64:14]).
DIDIK DAN TARBIAH
Jika benar mencintai pasangan anda, maka sentiasalah mendidik atau mengingatkan antara satu sama lain dengan kehendak Allah. Belajarlah daripada kisah Abdullah bin Mas’ud dan isterinya Zaynab r.a.:
“(Zainab isteri kepada Abdullah bin Mas’ud menceritakan): “Pada suatu hari Abdullah bin Mas’ud masuk bertemuku lalu duduk di sebelahku. Beliau mendapati di leherku terikat seutas benang (azimat).”
Beliau bertanya: “Benang apa yang terikat di lehermu?” Zainab menjawab: “Ini adalah benang jampi untuk mengubati sakitku.” Abdullah bin Mas’ud kemudiannya mencabut dan memotong benang itu sambil berkata: “Sesungguhnya keluarga Abdullah ibn Mas’ud tidak memerlukan syirik” kerana aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya jampi (yang syirik), tangkal dan azimat tergolong daripada amalan syirik kepada Allah,” (Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad).
Jika boleh, kekalkan cinta suami isteri dan anak-anak sehingga ke syurga dengan menepati piawaian cinta yang digariskan Allah melalui agama. Firman Allah:
“Dan orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikit pun daripada pahala amalan mereka; setiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya,” (al-Tur[52:21]).
CINTA TIDAK LULUS SYARIAH
Itu bicara cinta halal hasil ikatan yang diiktiraf agama. Jika cinta halal pun masih belum menjamin bahagia di dunia dan akhirat, bayangkan bagaimana pula halnya cinta gelap tidak lulus syariah yang banyak berlaku dalam masyarakat. Tambah parah jika cinta hitam sebegini membawa kepada ketelanjuran yang dimurkai Allah. Pun begitu, pintu pulang sentiasa terbuka luas untuk manusia yang bersalah.
Rasa cinta lelaki perempuan memang sukar dibendung kerana ia adalah tuntutan fitrah. Apa yang penting adalah bagaimana Islam melorongkan cinta ini menuju laluan yang tepat iaitu perkahwinan. Islam tidak membenarkan rasa fitrah ini dibiarkan bertenggek pada dahan rapuh yang tidak mampu menanggung si monyet bagi masa yang lama. Itulah hakikat percintaan tidak lulus syariah.
Jika rasa ini begitu kuat mendorong seseorang Muslim, Islam mengajar kita agar memagarnya dengan pagar puasa:
“Sesiapa yang mampu berkahwin, maka hendaklah dia segera berkahwin kerana ia mampu menundukkan pandangan (daripada memandang yang haram) dan menjaga kemaluan (daripada melakukan zina). Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana ia mampu menjinakkan nafsu,” - Sahih Bukhari.
Selain itu, Allah juga mengajar kita agar menjauhi dosa zina yang biasanya berputik daripada kosmetik cinta terlarang sebegini: “Dan janganlah kamu dekati zina sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan),” (al-Isra’[17:32]).
Dalam bahasa Arab, tegahan mendekati sesuatu perkara membawa maksud larangan berganda daripada melakukannya (Tafsir al-Alusi). Allah memang mengetahui kelemahan manusia dalam berhadapan dengan medan magnetik ujian cinta tidak lulus syariah. Oleh itu Dia mengingatkan kita agar langsung menjauhi semua laluan yang membawa kepada zina. Sesiapa yang masuk ke dalam lingkungan medan magnetik godaannya sukar bolos dan mudah tewas.
Jika orang jahil bersungguh meraikan cinta pada hari Valentine sama ada dalam hubungan halal suami isteri atau cinta tidak lulus syariah atas nama kekasih, usahlah kita turut sama terpalit dengan musibah kejahilan mereka. Allah sudah lama mewartakan cinta sejati dalam kerangka Islam. Bahkan Allah yang bernama al-Rahim iaitu Yang Maha Penyayang lebih mengetahui cinta yang bagaimana diperlukan oleh makhluk ciptaan-Nya ini.
Cinta yang semata-mata atas gelora nafsu adalah produk Iblis yang sudah lama bersumpah mahu merosakkan manusia. Berapa ramai bayi tidak sah taraf lahir hasil daripada cinta songsang ini. Berapa ramai bayi dicampak ke dalam tong sampah kerana ketelanjuran mangsa produk Iblis ini?
Berapa banyak kes kita dengar lelaki membunuh wanita kerana amarah cemburu. Tidak kurang juga rumah tangga yang runtuh kerana usikan cinta terlarang orang ketiga dan sebagainya. Oleh itu, jadilah manusia yang bijak dengan meraikan cinta anjuran Allah dalam kerangka Islam. Bercintalah dalam batasan Allah nescaya cinta kita berbalas dengan reda-Nya di dunia dan di akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan