Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 21 Januari 2016
KUALA LUMPUR 20 Jan. - Perkahwinan pelakon Fasha Sandha dan suaminya Rizal Ashram Ramli yang turut dikenali sebagai Jejai berakhir di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini apabila pasangan tersebut keluar dari kamar hakim dengan air mata yang berlinangan selepas talak dilafazkan oleh Jejai.
Jejai, 40, terlebih dahulu keluar dari kamar hakim tersebut sambil mengesat air mata dan gagal mengawal perasaannya apabila kedengaran tangisan sedu-sedannya semasa melalui galeri awam, manakala Fasha Sandha, 32, keluar beberapa minit kemudian juga dengan esak tangisnya.
Jejai melafazkan talak satu terhadap Fasha Sandha di hadapan Hakim Syarie, Muhamad Abdul Karim Wahab serta turut dihadiri peguam syarie, Zulkifli Che Yong yang mewakili Fasha Sandha selepas mereka berada di kamar hakim itu hampir sejam.
Permohonan cerai tersebut difailkan oleh Fasha Sandha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan dua hari lalu mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur) 1984.
Lafaz talak itu turut mengakhiri teka-teki tentang kemelut rumah tangga pasangan tersebut yang heboh diperkatakan melalui laman sosial sejak tahun lalu.
Pasangan itu bernikah pada 27 April 2012 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Putra Rayfal, 3, dan Putri Raysha Jemyma yang berusia dua tahun.
Selepas selesai prosiding berkenaan, Jejai terus meninggalkan mahkamah manakala Fasha Sandha yang ditemui para pemberita di lobi mahkamah tidak mahu memberi sebarang komen namun dilihat sentiasa mengalirkan air mata.
Walau bagaimanapun pembantu peribadi Fasha Sandha telah mengedarkan kenyataan bertulis pelakon itu yang menyebut bahawa penceraian berkenaan adalah jalan yang terbaik untuk kedua-dua belah keluarga dan dia telah berusaha untuk menyelamatkan perkahwinan itu.
“Saya reda dan akan meneruskan kehidupan bersama-sama kedua-dua anak saya, Putra Rayfal dan Putri Raysha,” ujarnya.
Zulkifli pula ketika ditanya para pemberita memberitahu, mahkamah telah memberi kebenaran untuk pasangan itu bercerai dan defendan (Jejai) telah pun melafazkan talak berkenaan di kamar hakim.
Namun apabila ditanya tentang hak penjagaan anak, Fasha Sandha yang berdiri di sebelah Zulkifli pantas memintas dan berkata: “Itu sahaja.”
Terdahulu Fasha Sandha yang berjubah ungu tiba di mahkamah pada pukul 2.20 petang dengan ditemani ahli keluarga dan rakan-rakannya termasuk penyanyi dan pelakon Farahdhiya, manakala Jejai tiba kira-kira 10 minit kemudian.
Mereka kemudian memasuki kamar hakim kira-kira pukul 2.30 petang.
Perceraian tersebut merupakan kali kedua buat Jejai yang sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Nora Danish pada 20 Jun 2006 namun bercerai pada 10 Julai 2008.
Melalui perkahwinan itu pasangan berkenaan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Putra Rayqal yang berusia tujuh tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan