MENJADI kewajipan setiap orang Islam di negara ini yang berhasrat mendirikan rumah tangga sama ada lelaki atau wanita mengikuti kursus praperkahwinan dengan harapan setiap daripada mereka faham mengenai tanggungjawab masing-masing.
Dalam kursus tersebut bakal suami dan isteri didedahkan dengan pelbagai ilmu rumah tangga dari sudut syarak serta tanggungjawab yang perlu dipikul oleh mereka selepas berkahwin. Antara perkara penting yang diberikan penekanan oleh ustaz atau ustazah dalam kursus berkenaan adalah kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri memandangkan isteri adalah tanggungan buat suami.
Saya sengaja timbulkan isu ini kerana ada sesetengah suami yang mengabaikan pemberian nafkah kepada isteri. Nafkah batin mungkin tiada masalah selagi si suami sihat dari segi fizikal dan mental tetapi isu nafkah yang hendak disentuh di sini berkaitan dengan pemberian dalam bentuk wang tunai.
Di zaman moden ini, boleh dikatakan sebahagian besar isteri bekerja selepas mereka berhempas pulas belajar dan ada di antaranya hingga ke peringkat universiti sama ada berkelulusan ijazah sarjana muda, sarjana mahupun doktor falsafah (PhD). Oleh itu tidak hairanlah sebagai lulusan universiti mereka (para isteri) akan menerima gaji yang lumayan sama ada di sektor awam mahupun swasta sesuai dengan kelulusan yang dimiliki.
Malah saya percaya dalam kalangan isteri itu ada antaranya gaji bulanan mereka adalah lebih tinggi daripada suami ataupun sama tahap dengan pendapatan suami. Isunya sekarang apabila melihat si isteri mempunyai pendapatan sendiri, suami pula terlupa untuk memberikan nafkah perbelanjaan kepada isteri.
Isteri pula tidak meminta kerana tidak peka tentang haknya di sisi syarak. Nafkah ini seumpama mahar perkahwinan yang wajib ditanggung oleh suami. Sama ada terlupa atau sengaja lupa si suami tidak sewajarnya mengabaikan tanggungjawab memberikan nafkah perbelanjaan kepada isteri.
Ini satu kewajipan dan akan dipersoalkan di hari akhirat kelak jika tanggungjawab itu sengaja diabaikan. Dalam soal memberi nafkah perbelanjaan ini tidak timbul isu isteri itu bekerja atau tidak ataupun pendapatan isteri itu lebih daripada suami atau tidak. Yang penting suami wajib memberi nafkah kepada isterinya dalam apa keadaan sekalipun.
Walaupun isterinya itu bergaji besar sebagai contoh RM7,000 atau RM10,000 sebulan, tanggungjawab memberi nafkah perbelanjaan tidak akan terlepas sebaliknya wajib ditunaikan oleh suami mengikut kadar kemampuannya. Lihat kemampuan suami. Jika mampu beri sebanyak RM500 berilah. Sekiranya sekadar mampu RM300 atau RM200 berilah juga. Sekiranya mampu beri RM1,000 alangkah baiknya.
Dalam surah at-Talaq ayat 7, Allah berfirman dengan maksudnya: “Hendaklah orang yang mempunyai kemampuan memberi nafkah menurut kemampuannya.”
Hakikatnya, kita tidak boleh bebankan isteri dengan tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh si suami, namun begitu sekiranya isteri reda untuk berkongsi dengan suami berbelanja demi kesejahteraan rumah tangga mereka, hanya Allah sahaja yang akan membalas atas segala kebaikan itu.
Saya kira tiada salahnya pada hari pertama gaji, suami menghulurkan nafkah perbelanjaan kepada isteri dengan kadar yang mereka mampu dan begitu juga kepada ibu bapa. Moga-moga pendapatan kita pada bulan tersebut mendapat keberkatan daripada Allah SWT dan inilah keindahan Islam. Islam telah menyusun satu kaedah berumahtangga yang boleh memberikan kebahagiaan kepada suami isteri. Saya juga percaya kegagalan suami memberi nafkah adalah salah satu punca berlakunya kes perceraian di negara kita.
Seperkara lagi mengenai kewajipan memberi nafkah kepada anak-anak oleh bapa meskipun telah bercerai. Jangan diremehkan soal pemberian nafkah ini kerana akibatnya buruk. Ingat, bukan setakat isteri sahaja nusyuz (derhaka), para suami juga tergolong dalam golongan nusyuz jika mereka gagal menunaikan hak isteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan