Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 10 Februari 2016
UMUM mengetahui bahawa Tekad Keempat Pelan Integriti Nasional (PIN) yang dilancarkan pada 23 April 2004 ialah “Memantapkan Institusi Keluarga Dan Komuniti”.
Keluarga adalah komponen terpenting dalam PIN dan lantaran itu seorang ahli falsafah Cina yang terkenal iaitu Confucious mengatakan bahawa “integriti itu bermula dari rumah”.
Walau bagaimanapun, suatu realiti yang amat menyedihkan bila mana kita mendapati kadar penceraian dalam kalangan masyarakat di Malaysia khususnya masyarakat Islam berada pada tahap yang membimbangkan.
Pengalaman penulis mengendalikan beberapa ceramah kursus pra perkahwinan menunjukkan kefahaman pasangan muda terhadap hukum hakam perkahwinan berada pada tahap yang sangat rendah. Kehadiran ke kursus perkahwinan hanyalah sebagai tiket memboleh-kan mereka menyempurnakan hasrat hidup berumahtangga.
Dengan ilmu yang terbatas, apabila rumahtangga mereka dipukul gelombang, mereka kurang memahami ketetapan hukum hakam agama. Justeru, berlakulah perkara-perkara yang mendukacitakan seperti cerai melalui SMS, aplikasi WhatsApp dan sebagainya. Malah jika ditanya kepada golongan muda, majoriti langsung tidak memahami bahawa lafaz talak itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu Talak Sarih dan Talak Kinayah.
Talak Sarih membawa maksud terang dan jelas iaitu talak yang diucapkan oleh suami kepada isterinya dengan kalimah yang jelas dan terang. Menurut fuqaha Islam,lafaz seperti kalimah “Talak” atau” Cerai” membawa makna Talak Sarih. Antara contohnya adalah apabila suami berkata:
* Aku ceraikan kau dengan talak satu;
* Aku telah melepaskan (menjatuhkan) talak untuk engkau; atau
* Hari ini aku ceraikan engkau.
Apabila ungkapan seumpama ini dilafazkan maka talak itu adalah sah dan ikatan perkahwinannya itu serta merta berakhir.
Sementara itu, talak Kinayah pula bermaksud penceraian dengan menggunakan kalimah yang secara tidak langsung atau sindiran yang boleh difahami lebih dari satu maknanya.
Sebagai contohnya, apabila suami mengucapkan kepada isterinya ungkapan-ungkapan berikut:
* Aku tak ingin kau lagi,kau boleh pulang ke rumah orang tuamu;
* Berambus engkau dari rumahku ini. Pergilah kau ke mana-mana yang kau suka; atau
* Hubungan antara kita berdua sudah berakhir di sini.
Penghakiman ke atas talak Kinayah adalah berdasarkan niat suami.
Jika suami ketika melafazkan ungkapan di atas tidak disertai niat menceraikan isterinya, maka perkahwinan itu masih sah. Walau bagaimanapun, jika suami mempunyai niat menceraikan isterinya ketika melafazkan talak Kinayah ini maka terjadilah perceraian antara mereka.
Dalam konteks inilah tahap integriti suami amat penting untuk secara jujur mengesahkan apa yang terkandung di hatinya ketika memberi keterangan di Mahkamah Syariah.
Apabila berlaku perceraian, maka bagi seseorang perempuan yang telah diceraikan berhak untuk membuat tuntutan terhadap bekas suaminya. Pemberian mutaah adalah wajib diberikan oleh seorang suami sekiranya perceraian yang berlaku berpunca dengan kehendak suami dan bukan atas kemahuan isteri. Kadar pemberian itu adalah berdasarkan kepada persetujuan kedua-dua pihak berdasarkan kedudukan kewangan kedua-dua pihak.
Allah berfirman dalam Al Quran yang bermaksud “Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) mutaah menurut yang makruf sebagai satu kewajipan bagi orang-orang yang bertakwa” (al-Baqarah: 241).
Kesemua empat mazhab sependapat bahawa wajib bagi seseorang suami bagi menyediakan nafkah dan tempat tinggal kepada bekas isteri-nya sewaktu dalam tempoh iddah.
Seseorang isteri itu juga berhak mendapat nafkah iddah dengan syarat:
* Isteri itu diceraikan dengan Talak Raj’i (talak yang boleh dirujuk).
Ini berdasarkan hadis Nabi SAW di mana baginda bersabda: “Hanya nafkah dan tempat kediaman untuk perempuan yang boleh dirujuk oleh suaminya”. (Hadis Riwayat Imam Ahmad)
* Isteri yang hamil yang diceraikan dengan talak Bain (talak yang tidak boleh dirujuk), berhak juga mendapat nafkah sehingga anak dalam kandungannya dilahirkan.
Ini adalah berdasarkan Firman Allah yang bermaksud: “Kalau mereka itu hamil, maka berilah nafkah kepada mereka hingga mereka melahirkan anaknya”. (al-Talaq: 6).
Kelayakan mendapatkan nafkah iddah ini tidak terpakai kepada isteri yang telah dihakimi melakukan perbuatan yang nyusuz terhadap suaminya.
Soal integriti dalam menangani konflik rumahtangga ini lebih kronik lagi dalam soal perebutan hak penjagaan anak atau hadhanah. Seringkali berlaku insiden, pasangan yang bercerai berebutkan hak penjagaan hingga membawa kepada kejadian membawa lari dan menyorokkan anak-anak hingga membawa kesan emosi yang teruk kepada anak-anak berkenaan.
Pada dasarnya Islam meletakkan kewajipan mendidik anak-anak ini kepada kedua ibu bapa kerana ibu bapalah yang bertanggungjawab terhadap mereka. Walau bagaimanapun sekiranya berlaku perceraian siapakah yang lebih layak untuk menjaga anak-anak ini?
Menurut Islam ibu adalah orang yang paling layak untuk menjaga kerana ibu adalah orang yang paling hampir dan lebih menyayangi anak-anak berbanding ayah.
Hak penjagaan anak akan diberikan keutamaan kepada ibu selagi dia masih belum berkahwin lain dan anak tersebut belum mencapai umur mumaiyyiz (sekitar usia tujuh tahun).
Selepas usia tersebut, maka anak akan diberikan pilihan dengan siapa dia mahu tinggal bersama. Ini diperkuatkan dengan hadis Nabi SAW di mana baginda telah menyuruh seorang anak yang sudah mumaiyyiz supaya memilih sama ada dia lebih suka tinggal bersama ibu atau bapanya. (Hadis Riwayat Ibnu Majah).
Begitulah indahnya Islam menetapkan jalan penyelesaian bagi ibu bapa menangani konflik rumah tangga secara berintegriti tanpa ada perasaan tamak dan meletakkan kepentingan kebajikan anak-anak mengatasi kepentingan diri bagi menentukan agar anak-anak mendapat yang terbaik agar mereka dapat dibentuk menjadi generasi yang berakhlak mulia.
PENULIS ialah Timbalan Pengarah di Institut Integriti Malaysia. Beliau mengikuti pendidikan dalam Pengajian Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan