Tarikh : 23 Januari 2016
SETIAP orang ada perasaan, mudah terguris dan terasa hati jika dirinya diperkecilkan terutama oleh orang yang disayangnya seperti suami atau isteri.
Sebaik-baiknya biarlah apa yang terbit daripada hati orang yang disayang, baik-baik belaka, tenang jiwa dan dapat membahagiakan silaturahim antara kedua-dua pasangan.
Ini tidak, yang didengar hanya kutukan dan kata-kata tidak baik yang menyakitkan hati, walaupun pada hakikatnya kebanyakannya tidak betul dan hanya mahu melihat kacau bilau dalam hubungan.
Apapun, kena reda dan sabar sebab bukan mudah hendak menutup mulut orang, tidak seperti tempayan boleh ditutup dan dibuka pada bila-bila masa walaupun orang yang dekat dengan kita.
Inilah mukadimah kisah yang ingin saya paparkan minggu ini, kisah sedih seorang isteri yang sering menjadi mangsa, kutukan dan hinaan suami sendiri.
Entah di mana silapnya, suami tidak mempunyai hati dan perasaan, mulut celupar dan mengata isteri ikut suka hatinya sahaja terutama di hadapan ibu bapa dan keluarganya.
Kepada saya, Ayu (bukan nama sebenar) bercerita mengenai sikap suami yang suka menghinanya. Walaupun sedih, dia terpaksa menelannya demi menjaga hubungan rumah tangga mereka.
Begini cerita Ayu.
“Saya berusia 34 tahun, baru lima tahun bernikah dengan seorang lelaki yang saya kenal sejak di universiti.
Kami bernikah atas cinta sama cinta dan direstui keluarga.
“Sebelum kahwin, memang saya akui suami, Aman (bukan nama sebenar) seorang yang celupar, percakapannya sangat kasar dan selalu mengguris hati saya.
“Namun kerana sayang, saya ketepikan semua itu dan menerimanya sebagai suami dengan harapan perangainya akan berubah setelah kami kahwin.
“Kami dikurniakan sepasang anak, berusia empat dan dua tahun. Saya bahagia dengan kehidupan yang kami lalui, makan minum cukup, masih mampu untuk pergi melancong di dalam dan luar negara, jika mahu.
“Aman juga seorang yang penyayang dan mengambil berat tentang anak-anak dan rumah tangga kami. Cuma saya tidak tahan dengan mulut celuparnya itu.
“Sehingga kini, setelah lima tahun berlalu, perangainya tidak juga berubah.
Saya selalu terguris hati dengan sikapnya. Dia selalu bercerita tentang keburukan saya kepada ibu bapanya dan juga di hadapan adik-beradiknya.
“Mujur saya jarang berjumpa kawan-kawan pejabatnya, jika tidak dia akan kutuk saya juga. Saya sangat malu dengan perangai dia. Dia selalu kata saya pengotor, tak pandai kemas rumah, tak pandai jaga diri.
“Yang paling saya sedih, dia selalu mengadu saya tak pandai masak, masak tak sedap. Pada hal, apa yang saya masak semua dibahamnya sampai habis.
“Jika dikatakan saya tidak pandai kemas rumah, hari-hari saya bersihkan, sapu sampah dan susun apa yang perlu supaya jangan nampak berselerak. Kalau hari kerja, mesti terbatas nak buat semua, tapi kalau hari cuti memang saya pulun habis bersihkan rumah.
“Tentang pakaian saya di rumah atau ke tempat kerja, saya rasa biasa-biasa sahaja, tidak terlalu elok dan tidak pula selekeh, kata orang sedap memandang. Lagipun, saya bukan jenis perempuan yang suka berfesyen, saya pakai apa yang saya rasa selesa.
“Memang sejak kami kenal, saya macam ini, saya mahu jadi diri saya sendiri, bukan jadi orang lain.
“Sebagai suami sepatutnya dia faham, bukan mengutuk saya. Paling tidak, dia boleh nasihat dan tegur saya, bukan mengutuk.
“Kalau pergi rumah mentua, banyaklah dia merungut, saya potong sayur tak kena, basuh pinggan tak bersih, pantang saya buat kerja sikit, mulalah dia buka mulut mengutuk.
“Saya hanya mampu bersabar dan beristigfar banyak-banyak dengan apa sahaja yang dia katakan, tidak ada satu yang elok di mata dia. Cuba anda bayangkan jika anda dikata begitu di hadapan mentua dan ipar duai, apa anda rasa?
“Saya memang terasa hati dan menangis. Tapi lama kelamaan saya lupakan dan beristigfar banyak-banyak kerana tidak mahu kami bergaduh kerana perkara tersebut.
“Saya jarang menjawab, hanya senyum walaupun hati sakit, sebab nak jaga air muka suami dan nak jaga hati mentua. Nak harap mentua bela kita janganlah, ditambahnya lagi ada.
“Sebab di matanya, anak lelakinya itu sangat sempurna. Perangai elok, jaga anak isteri pun elok. Pada hal kita yang hidup dengan anak dia yang tahu. Tapi malas nak cerita sebab tidak mahu panjang-panjang cerita, takut lain pula yang jadi.
“Mak saya juga pesan jangan menjawab kalau mentua kata apa-apa, simpan dalam hati. Terima dengan reda jika mahu pertahankan rumah tangga. Pada masa yang sama, berdoa banyak-banyak minta Allah lembutkan hati mereka.
“Betul seperti mak selalu kata, rumah tangga ini bagai sebuah kapal di tengah lautan, bila-bila masa akan dipukul ombak. Kalau tidak pandai menggemudinya, kapal akan karam.
“Maknanya sangat mendalam, saya akan ingat itu dan akan cuba pertahankan rumah tangga saya. Ada ketikanya apabila saya sudah tidak tahan lagi dengan kata-kata Aman, saya akan menjawab.
“Saya bagi tahu dia, saya malu apabila dia selalu kutuk dan perlekeh saya di hadapan ibu bapa dan adik-beradiknya.
“Saya katakan kepadanya yang saya juga ada maruah, sepatutnya dia jaga maruah saya, bukan hina dan kutuk saya di hadapan mereka.
“Biasanya dia diam dan tidak menjawab. Saya tanya dia, sepanjang berkahwin lima tahun ini, tidakkah dia nampak sedikit pun kebaikan saya kepada dia dan anak-anak dan seterusnya rumah tangga kami.
“Penat macam mana pun saya akan masak bila balik dari kerja sebab tidak mahu anak-anak makan tidak menentu. Saya memang jaga bab kebajikan anak dan rumah tangga kami.
“Saya berdoa agar mentua saya dapat menasihatkan anaknya supaya berubah. Saya tahu, mana ada ibu yang mengaku keburukan anaknya.
“Tapi biarlah bertempat, kalau sampai hendak memecah-belahkan rumah tangga anak-anak, elok hentikan.
“Sepatutnya sebagai orang tua mereka menyokong saya, menegur dan menasihati anaknya supaya berubah dan menjadi suami yang menghargai anak isteri, bukan yang menyakitkan hati mereka.
“Bukanlah niat saya untuk mengajar mentua tetapi saya mohon pertimbangan supaya saya juga mendapat hak sebagai menantu. Saya rela ditegur dan dinasihati tetapi bukan dengan menyindir dan mengutuk.
“Apa yang saya ceritakan ini bukan niat untuk mengaibkan suami dan mentua tetapi untuk dijadikan pengajaran kepada isteri-isteri di luar sana yang menghadapi masalah seperti saya.
“Saya bertahan kerana sayangkan suami, anak dan rumah tangga dengan doa dan harapan, suami dan mentua akan berubah.
Saya juga teringin menikmati hidup seperti pasangan suami isteri lain, bahagia dan harmoni.
“Semoga Allah makbulkan doa saya, dan kekalkan saya dalam kebahagiaan di dunia dan akhirat,” begitu Ayu menamatkan ceritanya.
Hidup ini ada pelbagai. Suka duka semuanya perlu dilalui sebelum dapat bahagianya. Kisah Ayu mungkin sebahagian daripada ujian dan cabaran yang dicarinya untuk mengecap kebahagiaan abadi.
Saya harap Ayu akan bersabar dan tabah menghadapi dugaan ini. Saya percaya satu hari nanti Aman akan berubah, begitu juga dengan mentua Ayu.
Jangan putus berdoa dan ingat selalu, Allah sentiasa mendengar doa hambaNya yang ingin berubah.
Lima tahun adalah permulaan dalam rumah tangga. Sedangkan perjalanan hidup Ayu masih lagi jauh. Semoga Allah lindungi dan pelihara rumah tangga Ayu hingga ke syurga!
Menutup catatan, pesanan ikhlas saya, jangan putus berdoa untuk kebaikan dan masa depan.
Doa tanpa usaha dan tindakan adalah sia-sia, kerana Allah sentiasa makbulkan doa hambaNya yang berusaha tanpa jemu.
Salam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan