Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 17 Februari 2016
Dalam satu majlis pertemuan tidak formal yang dianjurkan oleh seorang rakan tidak semena-mena menjadi satu tempat sesi luahan hati berdasarkan pengalaman masing-masing. Pada kali ini seorang rakan bernama Ali (bukan nama sebenar), 49, menceritakan mengenai bagaimana sekarang bekas isterinya gila talak terhadapnya selepas setahun bercerai.
Ali memberitahu, pada mulanya dia memang enggan menceraikan isterinya, kerana masih sayangkan wanita yang berusia 40 tahun itu. Namun, atas desakan bertalu-talu daripada pihak isteri yang tidak bekerja itu, Ali akhirnya melafazkan talak.
“Sebenarnya, kalau ikutkan aku tidak bersalah pun, malah aku adalah seorang suami yang bertanggungjawab, tidak pernah curang dan sentiasa membahagiakan isteri dan keluarga. Aku sendiri tidak tahu apa yang dia mahu.
“Kemewahan aku dah beri, malah dia tidak perlu melakukan apa-apa pun kerana aku sudah sediakan seorang pembantu rumah buatnya. Dua orang anak aku pun sudah remaja.
“Jadi dia sebenarnya tidak perlu bersusah-payah. Dia boleh keluar membeli-belah sesuka hati dan kad kredit sentiasa ada bersamanya.
“Kalau ada kekurangan pun, mungkin sedikit. Sebenarnya aku yang bekerja di luar negara dalam urusan minyak, menyebabkan masa tidak banyak terluang bersama isteri dan dalam setahun hanya setengah tahun sahaja kami bersama.
“Jadi, tiada apa yang aku harapkan, selain secebis kesetiaan kerana aku mencari rezeki untuk dia dan anak-anak di tempat jauh. Hendak dibawa ke tempat kerja dia tidak mahu kerana sukar untuk bergerak,” katanya.
Ali menambah, disebabkan kebebasan yang diberikan, isterinya mengambil peluang bertemu dengan lelaki lain tanpa pengetahuannya. Lelaki itu berusia jauh lebih muda, seorang duda dan mempunyai pekerjaan tetap.
Malah Ali menambah, isterinya sendiri pernah menunjukkan gambar lelaki tersebut melalui telefon bimbit kepadanya. Pada mulanya dia hanya menyangka lelaki itu sekadar kawan biasa dan dia tidaklah mahu menegur sebaliknya, hanya membiarkan sahaja.
“Aku rasa apalah salah berkawan dengan sesiapa pun selagi dia pandai menjaga batas-batasnya sebagai seorang isteri, namun apakan daya kebebasan yang aku beri tidak dihargai. Akhirnya akibat pertemuan demi pertemuan yang berlangsung tidak disangka dia telah jatuh cinta dengan lelaki itu.
“Mula-mula keluar ramai-ramai, tapi akhirnya keluar berdua-duaan sehingga menimbulkan bibit cinta. Pada mulanya, isteri aku hanya mendiamkan sahaja, namun apabila hubungan bertambah mesra dan seolah-olah tidak dapat dipisahkan lagi, dia mengambil keputusan untuk berpisah dengan ku.
“Setiap hari dia ‘menyalak’ kepada aku minta cerai. Waktu aku berada di tempat kerja yang jauh pun, dia asyik menelefon meminta aku menceraikannya. Aku memintanya bersabar, fikirkan masak-masak dan kenangkan anak-anak yang sudah remaja. Aku tidak mahu perceraian menyebabkan anak-anak dan diriku rasa terumbang-ambing.
“Anak-anak pun marah-marah dengan isteriku ini dan meminta dia berfikir dengan waras apa yang menyebabkan dia mahu berpisah dengan aku.
“Aku juga minta dia fikirkan apa layanan aku yang kurang menyebabkan dia terpesong jauh daripada kasih sayang aku selama ini. Namun, dia berkeras juga mahu berpisah. Dia kata memang tiada apa yang tidak kena dengan aku, tetapi dia terlalu cintakan lelaki itu yang mahu berkahwin dengannya.
“Memandangkan aku tidak melayan permintaannya dia membayangkan sanggup keluar rumah dan tidak akan meminta satu sen pun asalkan dia dilepaskan dan akan membuatnya berasa bahagia,” katanya.
Memandangkan itu yang dimahukan oleh isterinya, Ali pun pasrah untuk menceraikan isterinya. Selepas itu isterinya pun keluar dari rumah dengan hanya membawa beg bajunya.
Ali menambah, sebaik isterinya itu keluar, dia sendiri tidak ingin mengambil tahu apa yang terjadi kepadanya.
Begitu juga dengan anak-anak yang turut rasa marah dengan apa yang dibuat oleh ibunya, biarpun terpalit rasa rindu yang amat sangat terhadap wanita itu.
Selepas lapan bulan bercerai, tiba-tiba Ali dikejutkan dengan panggilan telefon bertanyakan khabar daripada bekas isterinya.
Ali membalas pertanyaan dengan baik. Selepas itu hampir setiap hari dia menelefon Ali bercerita dan bertanyakan khabar dirinya dan anak-anak.
“Aku pun balas dengan baik, kerana aku juga mahu berbaik dengan dia. Yalah, bekas isteri bukannya orang lain. Lama-lama dia pun mula menyatakan hasratnya untuk kembali bersama aku.
“Dia berkata, lelaki yang dicintainya itu sudah tinggalkan dia dan sekarang bekas isteri aku itu tinggal bersama ibu bapanya. Dia juga hampir dipulaukan oleh keluarganya yang kesal dengan tindakannya meninggalkan suami dan anak-anak kerana rasa cinta kepada orang lain.
“Tapi aku rasa seriklah, cukup-cukuplah dia ‘menyalak’ untuk berpisah, kini dia pula terhegeh-hegeh untuk kembali semula,” katanya.
Apabila ditanya mungkinkah sebab sudah ada pengganti yang menyebabkan dia tidak mahu kembali semula bersama bekas isterinya, Ali menjawab, belum ada pengganti kerana setakat ini dia sibuk dengan kerja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan