Balia Yusof Wahi
Balia Yusof Wahi
Ini bermakna, hanya Mahkamah Syariah berhak mendengar dan menentukan isu berhubung penukaran agama kerana perkara keagamaan bukan tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil.

Demikian alasan penghakiman Mahkamah Rayuan ketika memutuskan bahawa kesahan penukaran agama tiga kanak-kanak oleh bapa mualaf mereka, enam tahun lalu, hanya boleh ditentukan oleh Mahkamah Syariah.

Keputusan majoriti 2-1 itu dicapai oleh panel tiga hakim pada 30 Disember lalu ketika membenarkan rayuan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan Mohd. Ridhuan Abdullah serta empat yang lain. Penghakiman bertulis rayuan itu diperoleh pihak media hari ini.

Mereka merayu untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh, Perak yang membatalkan sijil penukaran agama tiga anak lelaki itu, Tevi Darsiny, 18, Karan Dinish, 17, dan Prasana Diksa, 7, yang dimohon oleh ibu mereka, M. Indira Gandhi.

Hakim Datuk Balia Yusof Wahi yang mengetuai panel bersidang membenarkan rayuan itu bersama Hakim Datuk Dr. Badariah Sahamid manakala Hakim Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer mencapai keputusan menentang.

Hakim Balia dalam penghakiman bertulisnya menyatakan, penentuan bagi kesahan penukaran agama kepada Islam merupakan isu agama sepenuhnya dan tidak boleh dikemukakan di hadapan mahkamah sivil.


Beliau menjelaskan, panel itu terikat dengan satu keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Raimi Abdullah melawan Siti Hasnah Vangarama Abdullah bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif bagi menentukan sama ada seseorang itu memeluk Islam atau sebaliknya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat, hakim Mahkamah Tinggi Sivil terkhilaf pada peringkat awal berhubung isu bidang kuasa ketika menolak bantahan awal dalam prosiding semakan kehakiman yang didengar di hadapannya.

Dalam penghakiman bertulis setebal 34 muka surat itu, Hakim Balia berpendirian, hakim bicara terkhilaf ketika mengambil pendekatan tertentu sewaktu berurusan dengan isu perlembagaan yang dibentangkan.

Pada hemat Hakim Balia, isu perlembagaan yang dibangkitkan dalam permohonan semakan kehakiman jelas di luar bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Beliau selanjutnya menyatakan, perintah Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan penukaran agama adalah tidak sah dan terbatal, mencabuli Seksyen 50(3(b)(x) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004.

Ini kerana tindakan Mahkamah Tinggi menyemak keputusan yang bidang kuasanya tertakluk secara eks­klusif di bawah Mahkamah Syariah, melanggar Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dan tidak selari dengan prinsip semakan kehakiman.
Mahkamah Rayuan juga menyatakan, Mahkamah Tinggi gagal menimbang Seksyen 101 enakmen berkenaan ketika memutuskan Perakuan Memeluk Islam milik ketiga-tiganya adalah tidak sah dan terbatal.

Hakim Balia menjelaskan, Seksyen 101(2) menyatakan, Perakuan Memeluk Islam yang dikeluarkan itu merupakan bukti konklusif berdasarkan kepada fakta yang dinyatakan dalam sijil berkenaan.

Beliau berpendapat, sijil tersebut yang didaftarkan oleh Pendaftar Mualaf, masih sah selagi kesahan dokumen itu tidak dicabar di Mahkamah Syariah.

Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan berpuas hati bahawa pengeluaran perakuan tersebut membuktikan isu penukaran agama telah dipatuhi manakala prosesnya diperakui oleh Pendaftar.

Hakim Hamid Sultan dalam penghakiman menentang pula berkata, Indira Gandhi boleh mengemukakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Sivil kerana pertikaian yang dibangkitkan melibatkan isu-isu pentadbiran, bukannya isu agama.

Penghakiman bertulis setebal 74 muka surat itu menyatakan, keputusan Pendaftar Mualaf tertakluk di bawah peruntukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004, membolehkan keputusan itu dicabar dalam tindakan sivil.

Selain Pengarah JAIP dan Mohd. Ridhuan yang dahulunya dikenali sebagai K. Pathmanathan, perayu-pe­rayu lain terdiri daripada Pendaftar Pertukaran Agama, kerajaan negeri Perak, Kementerian Pendidikan dan kerajaan Malaysia.