Bukan niat mengaibkan sesiapa tetapi sampai bila harus bertahan apabila suami yang diharap menjadi tempat bergantung hidup tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa dan bergantung kepada ibu bapa untuk menyara anak isteri.

Mahu tidak mahu isteri terpaksa mencari jalan keluar dengan meminta cerai. Bukan tidak sayangkan suami tetapi mahu berdikari dan menyahut cabaran mentua yang tanpa suami dia tidak akan ke mana.

Inilah mukadimah kisah yang ingin saya kongsikan dengan pembaca minggu ini. Kisah yang sangat menarik untuk dijadikan teladan khasnya kepada para isteri yang bermasalah dengan suami.

Begini ceritanya seperti yang diceritakan kepada saya oleh Umi (bukan nama sebenar), ibu tunggal beranak empat yang kini berjuang untuk terus hidup tanpa suami dan anak-anak di sisi.

Kita ikuti kisah Umi.

“Saya berusia 32 tahun, bercerai setahun lalu setelah hampir 13 tahun hidup bersama suami yang dua tahun tua dari saya. Kami dikurniakan empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan berusia 12 hingga 7 tahun.

“Saya berkahwin di usia muda setelah setahun lebih berkenalan dengan suami. Dia anak orang berada, duit bukan masalah kepadanya. Saya pula bekerja di sebuah salon kecantikan dan sangat berminat dengan bidang tersebut.

“Bekas suami seorang yang sangat baik. Sayangnya dia tidak bekerja dan seorang penagih. Dia hanya mengharapkan duit orang tuanya untuk menyara kami anak beranak. Saya pula malu dengan keluarga kerana suami tidak bekerja.

“Walaupun anak orang kaya dan keluarganya mampu menjaga kami anak beranak tetapi saya malu dengan keluarga kerana suami tidak bekerja. Puas saya nasihat supaya mencari kerja, dia tetap tidak endahkan, malah memarahi saya kerana memaksanya bekerja.

“Pada masa yang sama saya risau dengan sikapnya yang tidak mahu berhenti mengambil dadah. Walaupun dia tidak melakukan apa apa yang memburukkan keadaan di dalam rumah, saya risau sebab anak-anak sedang membesar dan tahu apa yang bapa mereka buat.


“Soal duit saya tidak ada masalah sebab ibunya selalu bagi duit belanja untuk kami. Saya tidak rasa beban kewangan sebab setiap kali saya perlukan duit mentua akan bagi. Tapi sampai bila?

“Saya tidak dapat menyara keluarga dan perbelanjaan sekolah anak-anak dengan pendapatan yang saya dapat sebagai pekerja di salon kecantikan tersebut sebab berapalah sangat gaji kerja di salon, cukup cukup untuk belanja kami lima orang sahaja.

“Suami pula marah sebab saya keluar rumah bekerja. Dia meminta saya duduk di rumah sahaja sedangkan saya perlu duit untuk membeli keperluan kami anak beranak. Takkan nak bergantung kepada ihsan ibunya semata mata.

“Mentua saya juga melarang saya bekerja dengan alasan dia boleh membantu. Saya juga perlukan hak saya sebagai isteri. Saya teringin bersama suami keluar makan makan dengan anak-anak bila ada kelapangan tetapi suami tidak boleh bagi apa yang saya mahu.

“Disebabkan saya berkeras hendak kerja, suami dan mentua memberi kata dua kepada saya supaya memilih sama ada mendengar kata mereka atau saya boleh bebas untuk bekerja.

“Setelah berbincang dengan keluarga saya akhirnya memilih untuk bebas dan hidup sendiri. Saya terpaksa berbuat demikian kerana memikirkan sampai bila saya harus bergantung kepada mentua dengan keadaan suami yang semakin tidak stabil.

“Keputusan yang saya ambil telah menyebabkan saya diceraikan dengan talak satu dan kesemua empat orang anak saya dijaga oleh mentua. Ini syarat yang harus saya terima. Saya setuju walaupun hati sangat berat melepaskan anak-anak.

“Saya tidak mahu gaduh dengan keluarga mentua dan bekas suami sebab saya yakin bersama mereka anak-anak saya akan terbela, sebab mereka ada duit. Pelajaran anak-anak juga terjamin walaupun suami saya seorang penagih.

“Saya gembira kerana mentua membenarkan saya berjumpa anak-anak bila-bila masa yang saya suka. Anak anak juga boleh datang ke rumah saya untuk bermalam setiap kali cuti sekolah.

“Setelah berpisah saya meneruskan hidup dengan bekerja di salon kecantikan tersebut, saya belajar tambahan untuk mendalami tentang kecantikan secara serius dengan harapan satu hati nanti saya boleh membuka sebuah salon kecantikan saya sendiri.

“Buat sementara saya tinggal bersama ibu bapa dan kakak saya kerana merekalah semangat saya ketika ini. Siapa yang tidak rindukan anak-anak, malah saya selalu menangis kerana teringatkan mereka terutama di waktu malam.

“Mujur teknologi ada membolehkan saya untuk berhubung dengan anak-anak bila-bila saya suka mendengar suara mereka hilanglah rindu saya. Sebagai ibu saya selalu berdoa agar satu hari nanti, saya dapat tinggal semula bersama anak-anak saya.

“ Saya bukan tidak sayangkan anak tetapi di dalam keadaan tertentu kita sebagai ibu dan isteri ini harus membuat pertimbangan yang mana baik untuk masa depan kita dan anak-anak.

“Kadang-kadang Allah tidak bagi kita semua perkara dalam satu masa, dia bagi satu persatu untuk kita lalui ujiannya. Saya juga telah terima bahagian saya, di mana saya terpaksa ketepikan perasaan saya dengan anak-anak untuk mencari kehidupan yang lebih selesa.

“Bukan untuk saya seorang tetapi demi masa depan mereka juga. Selagi saya tidak berusaha selama itulah saya akan merasa bersalah kerana terpaksa hidup di bawah telunjuk mentua. Wang ringgit bukanlah segala-galanya.

“Saya percaya di dalam hidup ini kita harus mendahulukan yang penting. Dalam masalah saya, masa depan saya juga penting. Saya tidak boleh selamanya hidup dengan bergantung kepada keluarga mentua dan suami yang tidak ada hala tuju hidup.

“Apa jadi sekalipun saya harus berusaha untuk diri saya sendiri dan inilah yang sedang saya lakukan. Pada masa yang sama saya selalu berdoa supaya suami akan berubah dan sedar apa yang dia buat selama ini merugikan dirinya sendiri.

“Saya tidak mahu jadi isteri yang hanya menjadi pak turut dan takutkan suami. Pada saya kita kena tenguk juga suami macam mana, kalau suami yang memang memberi kita ruang untuk mengecap bahagia, saya tidak akan tolak, tetapi jika anda berada di tempat saya, apa yang akan anda buat?

“Saya berharap para isteri di luar sana jika menghadapi masalah seperti saya berfikirlah untuk kebaikan masa depan anda. Bukan kita tak sayang suami tetapi kita harus sayangkan diri kita dahulu, masa depan dan anak-anak.

“Saya juga selalu berdoa agar mentua juga akan sedar kesilapannya terlalu memanjakan anak bongsunya itu. Sepatutnya mereka mengubah perangai bekas suami dan membawa dia kembali ke pangkal jalan, ini tidak, saya pun tidak tahu apa hendak kata lagi. Hanya saya berdoa agar anak-anak sentiasa di dalam perlindungan Allah semasa bersama keluarga mentua.

“Dan saya akan berusaha keras mencari duit untuk membawa semula anak-anak tinggal bersama saya satu hari nanti. Saya akan buktikan kepada mentua yang tanpa duit dia pun saya boleh hidup dan berjaya. Semoga Allah makbulkan hajat saya ini,” pinta Umi penuh mengharap.

Saya kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh Umi. Dalam percakapannya wanita ini sangat tabah dan penyabar. Memang hatinya lembut tetapi dia punya jiwa yang besar untuk masa depannya.

Memang kita tidak boleh menolak ketentuan Allah. Sesungguhnya Allah menguji hambaNya yang dia tahu mampu memikul ujian yang diberiNya. Dan Umi salah seorang dari mereka.

Saya percaya Umi tahu apa yang dilakukan. Tidak bermakna Umi tidak sayangkan anak-anaknya apabila dia mengambil keputuan menyerahkan mereka kepada mentuanya dan bercerai dengan suami. Dia ada sebab dan alasan munasabah berbuat demikian.

Saya doakan Umi berjaya dalam pencariannya dan mudah mudahan hajatnya dimakbulkan Allah. Setiap usaha dan kerajinan pasti membawa kejayaan. Semoga anak-anak Umi juga sentiasa di dalam rahmat Allah dan suaminya juga kembali ke pangkal jalan.

Menamatkan catatan pesanan saya, setiap kepayahan perlukan pengorbanan dan pastinya pengorbanan itu pula akan membawa kepada kebahagiaan.


Salam.