Janji suami untuk sehidup semati akan diingat sampai bila-bila kerana itulah tempat bergantung harap. Tapi tidak semua yang dicitakan akan menjadi kenyataan, bahagia yang diharap hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari.

Setelah semuanya dikorbankan, tinggalkan keluarga dan agama kerana kasihkan suami, inilah habuan yang diterima. Suami beralih kasih kepada perempuan lain, cinta dan kasihnya hanya sementara, tidak seindah yang diucapnya.

Inilah kisah pilihan saya minggu ini yang diceritakan sendiri oleh Syifa (bukan nama sebenar) untuk dikongsi dengan pembaca.

Begini kisah Syifa.

“Saya berusia awal 30-an, seorang pegawai di sebuah bank. Saya telah memeluk agama Islam dua tahun sebelum berkahwin. Bukan kerana ingin berkahwin tetapi ia lahir dari hati saya sendiri.

“Memang sejak kecil, saya sangat meminati Islam. Kawan-kawan saya semuanya orang Melayu yang beragama Islam. Saya selalu ikut kawan baik saya, Maria (bukan nama sebenar) balik ke kampungnya sebab saya suka cara hidup di kampung. Saya juga selalu ikut mak Maria pergi surau dan belajar mengaji dengan seorang ustazah di kampungnya.

“Memang saya telah membuat persediaan rapi untuk menjadi muslimah sejati, malah bertekad akan menjadi isteri dan ibu yang soleh. Kuasa Allah telah menemukan saya dengan seorang lelaki yang dua tahun lebih tua daripada saya, namanya Yamin (bukan nama sebenar).

“Dia seorang pegawai pemasaran di sebuah syarikat ternama di ibu kota. Orangnya kacak, berpelajaran tinggi dan tentunya ada pangkat. Dia menjadi pujaan ramai wanita di tempat kerjanya tetapi jodoh memihak kepada saya.

“Kami berkenalan secara tidak sengaja semasa menghadiri majlis makan malam tahunan syarikat Yamin. Saya dijemput kerana syarikatnya adalah klien saya. Tidak sangka pula kami akan bertemu di situ.

“Selepas majlis ini, Yamin selalu menghubungi saya. Dia tahu semua latar belakang saya dan ingin mengenali saya lebih dekat. Saya terima dengan ikhlas hajatnya dengan harapan, seandainya ada jodoh di antara kami, saya akan terima.

“Dialah lelaki yang pertama ber­ke­nalan dengan saya setelah saya me­meluk Islam. Dia juga banyak me­ngajar saya tentang hukum ha­kam agama dan memberi tunjuk ajar dan nasihat. Saya gembira dan bersyukur kerana ditemukan dengan Yamin.

“Setelah enam bulan berkenalan dan mengenal hati budi masing-masing, akhirnya saya dilamar oleh Yamin. Keluarga Maria bertindak sebagai keluarga angkat saya menerima lamaran Yamin mengikut adat orang Melayu.


“Majlis pertunangan kami diadakan di kampung Maria dengan izin keluarga saya, diikuti dengan majlis perkahwinan dua bulan kemudian. Meriah dan saya merasa sangat di hargai oleh Yamin.

“Kini, dua tahun sudah berlalu, saya mula perasan perubahan Yamin. Kasih sayangnya tidak seperti dahulu lagi. Dia banyak menghabiskan masa di luar. Balik rumah pun jauh malam. Saya tertanya-tanya, apakah kesalahan saya sehingga dia berubah?

“Saya pernah tanya dan jawapannya adalah dia inginkan kedamaian dan ketenangan jiwa. Maksudnya dengan saya, dia tidak bahagia dan tenang? Katanya, dia mahu cari isteri yang boleh memberinya ketenangan.

“Daripada percakapannya, saya faham maksudnya dia mahu kahwin lagi, kali ini dengan wanita Melayu. Saya tidak terkejut kerana sudah menyangka perkara ini akan berlaku. Saya telah bersedia menghadapi apa sahaja tindakan Yamin.

“Saya terima dan reda andai jodoh kami hanya sampai di situ. Saya tahu lelaki Islam boleh kahwin empat, jadi tidak mustahil kalau Yamin juga ada keinginan yang sama.

“Saya bercerita hal ini dengan Maria dan juga keluarganya. Mereka sangat terkejut dan ayah Maria ingin membantu saya tetapi saya kata jangan, biar Yamin buat keputusan sendiri, itu hak dia. Saya masih baru lagi dalam Islam, saya perlu belajar banyak perkara lagi.

“Saya tidak mahu jadi isteri derhaka, saya mahu masuk syurga. Saya akan terima apa sahaja keputusan Yamin walaupun saya menderita zahir dan batin. Mujur Maria ada untuk menenangkan saya bila saya dalam keadaan tidak tenteram.

“Saya tidak ambil kisah Yamin nak balik ke tidak, saya tidak bertanya sebab saya tidak mahu keadaan akan menjadi lebih keruh bila terlalu banyak soalan diajukan kepadanya. Orang lelaki, biasanya tidak suka isterinya jadi macam polis atau peguam, terlalu banyak soalan. Jadi, saya diamkan sahaja.

“Saya melayannya seperti biasa, makan minumnya saya jaga dengan baik, saya buat macam tidak ada apa -apa berlaku di antara kami. Sebagai isteri, saya harus bagi peluang kedua kepada Yamin. Saya harap tindakan saya ini betul. Lambat-laun dia akan berubah dan kembali kepada saya.

“Dalam hidup ini, kata ustaz kena banyak sabar dan reda, tetapi jangan berhenti berdoa, sebab Allah mendengar doa hambaNya terutama orang macam saya. Itu yang saya buat. Setiap kali solat, saya habiskan masa dengan berdoa minta yang baik-baik untuk rumah tangga dan hidup saya.

“Saya habiskan masa saya dengan menghadiri kelas mengaji dan mendengar ceramah agama. Dengan izin Yamin, setiap bulan saya ikut Maria balik kampung untuk mendalami Islam dengan ibunya dan mendengar ceramah di surau.

“Saya tenang dengan cara itu dan berharap saya akan lebih tenang dan yakin apabila berdepan dengan Yamin. Tambahan pula saya mendengar khabar dia ada teman wanita baru di tempat kerjanya.

“Sejauh mana hubungan mereka saya tidak pasti, tapi katanya memang sangat rapat, dan saya tidak sedikit pun rasa cemburu atau marah kepada Yamin. Mungkin Allah nak uji saya. Saya reda.

“Saya mendapat makluman ini dari beberapa orang kawannya yang saya kenal. Kata mereka perempuan itu yang hari-hari telefon dan cari Yamin, sedangkan Yamin macam biasa sahaja.

“Walau apa pun kata mereka, saya kena bersedia fizikal dan mental. Saya perlu kuat dan tabah untuk menghadapi keadaan ini. Saya berdoa agar Yamin akan sedar dan kembali kepada saya dalam keadaan masih sayangkan saya dan rumah tangga kami.

“Saya ingin dia menjadi seperti dirinya yang dahulu, yang kenal dan sayang saya sebagai isteri dan bakal ibu kepada anak-anaknya. Saya sayang kepadanya dan akan tetap menyayanginya sampai bila-bila.

“Ramai kawan saya yang beragama Islam bimbang saya akan kembali kepada agama asal jika tidak tahan dengan ujian Allah ini, tapi saya hanya senyum dan berkata, insya-Allah, doakan yang terbaik untuk saya.

“Saya percaya, ini ujian Allah kepada saya sebagai hambaNya yang baru memeluk Islam. Saya akan sabar dan tabah dan tidak akan putus berdoa untuk mencari balik kebahagiaan saya ini.

“Saya juga berharap Yamin akan ingat janjinya sewaktu menerima ijab kabulnya dengan saya dahulu. Itu amanah yang harus dia pikul sepanjang hayatnya. Jika dia terbaca catatan ini, saya harap dia faham dan sedar.

“Maaf, bukan saya mahu mengaibkannya. Tidak sama sekali, tetapi saya berkongsi cerita ini kerana ingin ia dimanfaatkan oleh wanita lain yang memeluk Islam dan menghadapi masalah seperti saya.

“Saya ada dengar banyak cerita tentang isteri-isteri yang kembali ke agama asal setelah suami mereka buat hal. Itu sebab saya kongsi pengalaman saya dengan harapan mereka juga boleh sabar dan bertindak seperti saya demi untuk menyelamatkan rumah tangga mereka.

“Saya juga tidak akan ­menganggu dan menyusahkan keluarga mentua saya buat masa ini, sebab saya tahu mereka juga tidak tahu Yamin akan berperangai begini. Mereka terima saya dengan baik, selagi boleh bertahan, saya akan bertahan.

“Saya berdoa supaya Allah bagi petunjuk dan hidayahNya kepada saya untuk mengharungi ujian ini dengan tabah. Mudah-mudahan rumah tangga saya dapat bertahan, dan kembali seperti sedia kali, ” doa Syifa sebak.

Insya-Allah Syifa, mudah-mudahan Allah makbulkan doa anda. Saya juga mengharapkan perkara yang sama. Saya bangga dengan sikap Syifa yang tidak mudah ­mengaku kalah.

Pesanan saya Syifa, dalam keadaan kusut fikiran, janganlah teragak- agak untuk bertemu keluarga angkat anda bagi mendapatkan nasihat supaya anda tidak merasa keseorangan. Berkatalah dengan hati dan befikirlah dengan akal.

Ingat, Allah mendengar doa anda. Semoga suami anda akan lembut hatinya untuk kembali ke pangkuan anda. Besar tanggungjawab dan amanah yang dipikulnya sebagai suami untuk membimbing isteri mualaf seperti anda.

Menamatkan catatan pesanan saya, bahagia itu perlu dicari jika kita inginkannya, bukan dinanti. Begitu juga derita, perlu dihindari bukan dituruti. Cari Allah, dapatlah bahagia, lupa Allah, selamanya sengsara!.

Salam