Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 19 Disember 2015
TANGGUNGJAWAB seorang bapa tidak akan habis selagi anak-anak tidak mendirikan rumah tangga khasnya anak perempuan. Malah perceraian bukan tiket untuk melupakan tanggungjawab kerana ia akan dituntut di akhirat kelak.
Namun kebanyakan pasangan suami isteri menjadikan perpisahan dalam rumah tangga sebagai alasan untuk tidak memikul tanggungjawab khasnya suami yang kebanyakannya mengabaikan anak dan bekas isteri untuk meneruskan hidup mereka.
Lebih menyedihkan apabila suami tidak berubah dengan perangai lamanya dan asyik nikah
cerai sahaja tanpa matlamat hidup. Inilah cerita yang ingin dikongsi dengan pembaca ruangan ini minggu ini. Kisah benar yang diluahkan seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Tina (bukan nama sebenar).
Begini cerita Tina.
“Usia saya sudah mencecah awal 50-an, masih bekerja di sebuah jabatan kerajaan. Pernah berkahwin dengan seorang lelaki yang mencintai saya sepenuh jiwa sejak kami berada di universiti. Lelaki yang akhirnya menceraikan saya setelah kami hidup bersama hampir 15 tahun.
“Puncanya kerana dia kaki perempuan, suka menipu saya dan tidak jujur dalam rumah tangga kami. Walaupun kami berkahwin atas dasar cinta tetapi itu hanya sementara, sebab apabila dia kembali kepada perangai lama, rumah tangga kami tidak dapat diselamatkan lagi.
“Mana tidaknya, dalam masa anak-anak kami seramai tiga orang (dua lelaki dan seorang perempuan) sedang membesar, ayah mereka buat perangai. Balik lewat malam, hujung minggu tidak lekat di rumah dan silih berganti dengan perempuan entah dari mana, saya tidak tahu.
“Baju sentiasa ada gincu, dalam poket ada tiket wayang dan macam-macam lagi yang saya juga malu nak sebutkan di sini. Pendek kata saya memang makan hati berulam jantung bersuamikan lelaki ini yang saya panggil, Wan (bukan nama sebenar).
“Setiap kali saya tanya, alasannya sebab kerja dia kena pergi kelab malam, kelab dangdut, untuk layan klien. Memang betul, tugasnya sebagai eksekutif di sebuah firma iklan memerlukan dia berurusan sampai lewat malam tetapi bukan sampai lupa rumah tangga, anak dan isteri dan yang paling saya benci, kaki perempuan.
“Hampir lima tahun saya memendam perasaan dan akhirnya terpaksa akur dengan jodoh kami yang hanya setakat itu. Saya minta cerai kerana tidak tahan dengan perangainya, menipu saya tentang perempuan, berbohong dengan tindakannya dan duit sentiasa tidak cukup setiap bulan.
“Alhamdulillah dia menceraikan saya dengan baik walaupun penat juga saya naik turun mahkamah, yang penting saya tidak lagi pening dan sakit hati. Anak-anak bersama saya semuanya kerana ayah mereka tidak mahu menjaga mereka dan anak-anak juga memilih untuk tinggal dengan saya.
“Lima tahun saya berkorban untuk anak-anak. Bekas suami langsung tidak ambil kisah, duit sekolah, belanja anak-anak, tuisyen dan semua hal berkaitan kebajikan anak-anak, saya yang ambil alih. Perintah mahkamah dia abaikan. Saya malas naik turun pejabat agama minta bantuan mereka ingatkan bekas suami. Akhirnya saya diam.
“Syukur anak-anak semuanya menjadi masuk universiti dan dapat kerja yang elok untuk masa depan mereka. Pada masa yang sama, bekas suami semakin galak. Bertukar teman wanita dan rutin berkunjung ke kelab malam dan dangdut, konon atas urusan kerja diteruskan.
“Sepanjang tempoh itu, dia sudah dua kali bernikah lain, semuanya tidak kekal lama kerana dia tidak ikhlas bernikah tetapi untuk seronok sahaja. Hal anak-anak macam biasa, tidak pernah dia ambil peduli. Anak-anak juga semakin lupa kepada ayah mereka.
“Sehinggalah anak perempuan tunggal saya sampai jodoh. Saya mula risau sebab dia perlu ada walinya untuk menikah. Sedangkan bakal menantu saya tidak tahu tentang perangai bapa mentuanya.
“Disebabkan perkahwinan mereka untuk seumur hidup, saya mengambil keputusan menceritakan hal sebenar kepada bakal menantu. Alhamdulillah dia menerima baik penjelasan saya dan berjanji akan mencari bekas suami dengan anak saya untuk memudahkan urusan pernikahan mereka.
“Mereka akhirnya bertemu setelah adik ipar saya, (adik bekas suami) membawa anak saya berjumpa ayahnya. Bakal menantu saya ikut sama. Bekas suami menerima baik kedatangan anak dan bakal menantu tetapi memaklumkan yang pada tarikh anak saya akan menikah, dia tidak dapat hadir sebab dia juga nak bernikah, dengan orang jauh, nun di pantai Timur sana.
“Kalau anda berada di tempat anak saya, apa perasaan anda? Dia hanya mengisi dan menandatangani borang-borang yang perlu dan mewakilkan kepada jurunikah untuk menikahkan anak perempuan kami. Adiknya yang ikut sama disuruh hadir dalam majlis tersebut.
“Adiknya sangat marah dengan tindakan abangnya itu dan meminta dia menangguhkan pernikahannya dan datang ke majlis anaknya tetapi bekas suami menolak dengan alasan, pihak perempuan sudah membuat persiapan. Kononnya dia nak kahwin dengan anak dara sebaya anak kami.
“Anak saya menangis setelah gagal memujuk ayahnya hadir mewalikannya. Kalau saya ada sama, memang saya ‘bancuh’ dia puas-puas. Bila anak saya cerita hal itu, mendidih darah saya sebab dia hanya pentingkan dirinya dan tidak menjaga perasaan anak kami yang sangat sedih dengan keputusannya itu. Dia lupa akan amanah dan tanggungjawab yang dia pikul sebagai ayah dan ketua keluarga.
“Pada hal, perkahwinannya itu yang ketiga selepas berpisah dengan saya. Bila-bila boleh buat. Apa yang dia kalut sangat dengan perkahwinannya itu, saya tidak tahu, tetapi saya dan anak-anak sangat terkilan dengan sikapnya itu. Keluarga saya juga marah tetapi apa hendak buat, hak dia.
“Saya juga tidak mahu kecoh-kecoh sebab semua dokumen telah dia tandatangani, cuma dia sahaja yang tidak dapat hadir. Saya sangat malu kepada menantu saya dan keluarganya, tetapi saya yakin mereka akan faham.
“Majlis pernikahan anak saya berlangsung dengan meriah walaupun hati kami sakit dengan tindakan bekas suami. Saya cuba kawal perasaan. Keluarga bekas mentua pun datang, tapi kami hanya berpelukan sambil menangis. Saya tahu mereka faham dan tahu apa yang saya dan anak saya rasa.
“Akan tetapi saya tidak mahu fikir sangat yang penting majlis selesai dengan baik dan anak saya selamat menjadi isteri orang, sekurang-kurangnya tanggungjawab saya semakin reda. Dia sudah ada suami untuk menjaganya.
“Saya bagi tahu menantu dan anak saya supaya menghormati ayah mereka. Saya galakkan mereka berjumpa dengannya selepas bernikah dan menyayanginya sampai bila-bila. Apa yang berlaku antara ayah mereka dengan saya adalah masalah peribadi kami, bukan hal anak-anak.
“Kisah saya ini mungkin jarang berlaku atau pun memang ada berlaku tetapi tidak diketengahkan untuk bacaan umum. Saya tidak bermaksud untuk mengaibkan bekas suami tetapi saya ingin berkongsi cerita ini supaya orang lain dapat mengambil pengajaran daripadanya.
“Kepada para suami, janganlah lepas tangan apabila berlaku perceraian, anda masih ada tanggungjawab untuk dilaksanakan. Ingat satu perkara, anak-anak itu amanah Allah dan tidak boleh dipersia-siakan begitu sahaja. Berdosa dan akan dituntut di akhirat kelak.
“Anak-anak melihat perbuatan anda dan mereka akan ingat sampai bila-bila. Jangan sampai anak-anak hilang rasa hormat kepada anda sebagai bapa. Ubahlah perangai dan kembali ke pangkal jalan. Hidup kita sementara, bukan sampai menongkat langit. Bila-bila Allah boleh ambil semula.
“Kepada bekas suami, saya harap bertaubatlah. Cukup-cukuplah mengejar nikmat dunia, umur semakin lanjut, rumah kata pergi, kubur kata mari, ingat itu. Dekatilah anak-anak selagi mereka masih sayangkan kita dan usia kita masih ada.
“Dalam apa juga keadaan, saya tidak pernah berdendam dengan bekas suami. Saya doakan
dia akan kembali ke pangkal jalan dan berubah demi kebaikan dia juga. Saya sentiasa doakan yang terbaik untuk dia dalam mencari keredaan Ilahi di dunia dan akhirat.
“Kepada anak-anak, seperti yang mak beritahu, jangan sisih ayah kamu, sayangi dia dan cari dia bila perlu walaupun dia tidak mencari kamu. Buruk baik, dia tetap ayah yang perlu disayangi dan dihormati. Semoga Allah merahmati kami semua dan membimbing kami menjadi insan berguna di sisiNya,” Tina menamatkan cerita.
Saya kagum dengan ketabahan Tina menangani masalah ini. Saya tahu Tina seorang wanita yang cekal dan positif dalam hidupnya, sebab itu dia boleh menerima segala yang berlaku dengan baik walaupun bagi sesetengah wanita ia sangat pahit dan menyakitkan. Nasihat Tina kepada anak-anaknya juga harus dipuji.
Mudah-mudahan Tina dan anak-anaknya akan sentiasa di dalam rahmat Allah dan dijauhi dari musibah. Inilah sikap yang harus diteladani oleh wanita di luar sana dalam menangani isu rumah tangga tanpa membabitkan anak-anak. Semoga bahagia terus mewarnai hidup Tina.
Menamatkan catatan pesanan saya, masalah akan menjadi lebih mudah jika diambil secara positif dan tidak mengikut perasaan. Jaga hati, jaga iman, insya-Allah semuanya akan baik-baik sahaja dengan izin Allah Yang Esa.
Salam
malahamzah56@gmail.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan