“Kerana kita diingatkan jika engkar cakap suami tak cium bau syurga. Maka kita ketepikan ibu kita, ibu yang bersusah payah melahirkan dan besarkan kita. Sedangkan Nabi Muhamad SAW pernah bersabda, sebagai anak kita mesti dengar cakap ibu. Kerana syurga di bawah tapak kaki ibu?” Itu cerita Norjehan dalam e-melnya.

“Setelah saya fikirkan dan semakin saya amati, nasib wanita memang sulit. Cakap suami tak boleh dibantah, sedangkan kita ada ibu mesti dihormati. Pernah saya beritahu pada suami, bahawa saya juga mesti dengar cakap ibu. Tetapi kata Ikram, suami saya, apabila seorang wanita itu berkahwin, maka terputus hubungannya dengan ibunya. Dan dia mesti dengar cakap suami. Bukan ibunya lagi.

“Sebenarnya masalah yang saya lalui ini sudah lapan tahun berlaku. Saya abdikan diri seratus peratus kepada suami. Sebab sejak mula kahwin, malah sedang bercinta, saya diberitahu saya mesti hormat dan ikut perintah suami. Melihatkan bakal suami ketika itu elok perangai, ada didikan agama dan elok kelakuannya, maka saya ikut. Lagipun bila bercakap bab agama memang dia pandai, jadi saya fikir betullah. Maka setiap katanya menjadi pegangan setelah kahwin. Tetapi sebelum berkahwin, emak nasihatkan saya, bila saya habis belajar, sudah bekerja maka saya hendaklah bantu emak ringankan bebannya kerana di bawah saya ada tiga orang adik yang masih belajar. Saya belajar sampai IPTA maka emak harap saya membantunya.

“Masa belajar memang emak bantu, sebab abang tak belajar tinggi habis SPM abang tak layak naik tingkatan enam dan emak tak mampu hantar abang belajar tempat lain, dan peluang belajar ketika itu tidaklah macam sekarang, banyak kolej swasta dan ada bantuan PTPTN. Jadi abang bekerja di bengkel membaiki motor. Pendapatannya kata emak asalkan cukup makan pakai sudah memadai, asalkan abang tidak menyusahkan emak minta duit setiap hari. Jadi harapan emak banyak bertumpu pada saya.

“Emak bekerja di hospital bukan jadi doktor atau jururawat, tetapi bertaraf kuli saja. Jadi untuk cukupkan belanja membesarkan kami lima beradik yang masih bersekolah emak terpaksa jual kuih dan buat nasi lemak bungkus, yang emak letak di gerai-gerai dekat hospital. Kami adik-beradiklah bantu emak. Masa ayah ada dulu, bebanan emak ringan jugak, ayah bawa teksi tauke, walaupun pendapatan kecil tapi emak dapat simpan duit untuk belanja sekolah kami. Ayah juga bantu letak nasi lemak di tempat ayah bekerja, dekat stesen bas.

“Tetapi bila ayah meninggal dunia lebih 12 tahun lalu hidup kami agak tersepit sikit, sebab emak seorang bekerja. Ketika itulah emak banyak nasihatkan kami supaya rajin belajar kerana hanya dengan pelajaran boleh mengubah hidup kami. Agaknya kerana nasihat dan kesedaran yang emak berikan itulah saya dan adik-adik berjaya dalam pelajaran.

“Malangnya, nasihat emak tak banyak tertanam dalam kepala saya, masa belajar dah jumpa pakwe, dah mula bercinta, saya jadi terlupa dengan nasihat emak. Malah saya jadi taksub dengan nasihat kekasih dan kemudiannya menjadi suami. Tak sampai enam bulan bekerja, saya dah heboh nak kahwin. Mak suruh saya sabar dulu, sebab nak kumpul duit belanja kahwin. Tetapi saya ketika itu macam tak sempat-sempat nak kahwin. Kata Ikram dia hantar belanja RM5,000 bolehlah buat belanja kahwin nanti. Saya pun fikir duit RM5,000 itu besar sangat. Tapi kata emak tak cukup.


“Lepas kahwin saya terus duduk rumah mentua. Sebab saya lihat majlis di rumah mentua memang meriah, dan hidup mereka lebih baik daripada saya. Kata Ikram, sepatutnya duit hantaran RM5,000 itu bukan untuk belanja kahwin, sepatutnya diberikan kepada saya untuk bina hidup baru. Seperti mencari rumah sewa, beli perabut rumah dan lain-lain barang keperluan untuk orang baru kahwin. Saya fikir betul juga, jadi saya diam, fikir saya emak memang salah. Hati saya mula terdetik “sampai hati emak gunakan duit hantaran kahwin saya?’’

“Nak dijadikan cerita saya memang kurang bergaul dengan kawan dan saudara mara, minda saya memang tak pernah terbuka dan terfikir bab duit belanja hantaran kahwin ini. Sejak duduk di rumah mentua saya semakin jarang pulang ke rumah emak. Lebih teruk saya beri duit gaji saya pada Iklam, kerana yakin dan percaya inilah cara suami uruskan rumah tangga kami.

“Lebih malang saya lupa beri duit pada emak seperti janji saya sebelum kahwin dahulu, kerana terlalu patuh kata suami. Kami pindah rumah sewa bila adik Ikram hendak kahwin dan setelah mempunyai seorang anak.

Perubahan

“Tapi saya lihat adik ikram tidak pulak dibawa pindah oleh suaminya, sebaliknya duduk di rumah emak Ikram dan adik perempuannya urus semua belanja rumah, dia pegang semua gaji suaminya. Saya mula ternampak kelainan, tapi saya masih patuh pada Ikram. Masa berlalu semakin pantas, bila adik saya kahwin Ikram datang pada hari majlis saja, sementara saya dibenarkan pulang ke rumah dua hari sahaja, alasan Ikram saya sedang hamil, tak boleh kerja berat dan tak perlu duduk lama di rumah emak. Saya patuh.

“Saya lihat memang banyak perbezaan ketika adik saya kahwin, kenduri bukan sahaja meriah, ramai tetamu dan persiapannya istimewa. Saya lihat hantaran adik RM10,000 dan adik bantu emak buat semua persiapan dengan duit dia sendiri, selain dibantu oleh dua orang adik lain yang ketika itu sudah bekerja. Saya tanya mana emak dapat banyak duit buat kenduri kahwin. Mak pun bercerita, adik beri emak duit setiap bulan, semua emak kumpul, pertama untuk bantu dua lagi adik yang masih belajar. Bakinya untuk belanja kahwin mereka. Semua hantaran kahwin emak gunakan untuk belanja kahwin, bab urusan pakaian pengantin adik sendiri keluar duit sementara adik yang sudah bekerja turut bantu. Saya terkedu.

“Saya mula rasa amat bersalah kerana selama berkahwin, saya tidak pernah beri duit pada emak seperti saya janjikan. Adik ada banyak duit sebab dia kahwin lambat dan sempat simpan duit. Malah saya lihat rumah emak sudah banyak perubahan walaupun saya balik rumah emak dua kali setahun. Bukan sahaja rumah bertambah luas, perabut juga bertambah cantik. Kata emak semua benda itu adik-adik yang beli.

“Diam-diam saya mula rasa bersalah, kerana tidak pernah ada perasaan belas kasihan kepada emak sejak bekerja dan berkahwin, saya lebih pentingkan teman lelaki yang ajak saya kahwin cepat, setelah kahwin, saya lebih pentingkan suami daripada emak sendiri.

“Memang jodoh urusan Allah tetapi saya tidak gunakan akal fikirkan masalah emak, sedangkan emak pernah nasihatkan saya bantu emak setelah bekerja. Ya Allah! berdosanya saya pada emak! Bila saya bincang dengan Ikram beri emak sedikit sumbangan daripada gaji saya. Ikram bantah. Katanya untuk apa? Sebagai isteri saya mesti patuh pada suami bukan emak!

“Setelah ada dua orang anak, dan umur semakin meningkat, maka saya bertanya pandangan teman-teman pejabat. Lebih banyak bertanya, semakin banyak rasa bersalah tertanam di hati saya. Saya rasa kesal dan berdosa dengan perbuatan saya selama ini, kerana lebih pentingkan suami daripada emak sendiri.

“Seorang teman wanita berkata, memang kita diberi tahu syurga isteri di bawah tapak kaki suami, tetapi tidak bermakna sebagai anak kita harus abaikan emak sendiri yang banyak berjasa kepada kita. Kerana pengorbanan ibu kitalah, kita jadi orang berpelajaran dan berkerjaya. Jika ditakdirkan ibu tidak membanting tulang, kita tidak berpelajaran dan tidak bekerja, apakah suami kita mahu ambil kita sebagai isterinya?

“Lebih penting, isteri harus tanya kepada suami, bukankah sebagai seorang Islam menantu itu wajib menghormati ibu bapa mentuanya dan menganggap mereka seperti ibu bapanya sendiri? Suami janganlah terlalu ghairah beri syarahan, nasihat dan mengingatkan isteri syurga bawah tapak kaki suami, kerana jika tersalah nasihat, suami boleh menjerumuskan isteri mereka ke dalam neraka kerana menderhaka kepada ibunya sendiri.

“Kata-kata mereka membuka minda saya, saya berusaha mentaati emak saya, dengan meminta suami berikan duit pada emak dan izinkan saya menziarahi emak bersama anak-anak lebih daripada dua kali setahun. Jika tidak dihantar pulang, saya akan pulang sendiri walaupun dengan bas mahupun kereta api.

“Tetapi bukan mudah. Hidup saya umpama “meluruskan benang bersimpul”. Ikram nasihatkan saya jangan derhaka, tetapi saya juga tidak mahu masuk neraka kerana tidak mentaati emak sendiri. Saya berusaha baiki kesilapan saya pada emak dengan apa cara sekalipun.

“Saya sedar, saya di tangga keempat kepada suami, sebab tanggungjawab pertama suami adalah kepada ibu dan bapanya, kedua anak-anaknya, ketiga adik-beradiknya terakhir barulah saya isterinya. Jadi setelah berfikir saya perlu jaga diri sendiri. Kerana ditakdirkan sesuatu buruk berlaku pada perkahwinan saya, emak tempat saya kembali.

“Kini saya sedar tahap saya di mata suami. Ikatan saya dengan suami semata-mata kerana ikatan jodoh, tetapi ikatan saya dengan ibu tidak akan putus hingga ke akhir hayat. Jadi saya mesti pulihkan hubungan saya dengan emak saya walau apa pun terjadi.”

Itu cerita Norjehan walaupun terasa amat berat untuk dia laksanakan. Tetapi dia nekad dan sudah bersedia.