Begitulah perasaan Siti Aminah Mohd. Sabri, 36, dari Felda Padang Piol, di sini yang merindui dua anak­nya, Siti Auni Zaharah Mohd. Zaid, 7, dan Muhammad Aisy Zafran, 5.

Menurut ibu muda ini, kedua-dua kanak-kanak itu telah dibawa untuk tinggal dengan suaminya ekoran masalah peribadi yang me­landa pasangan itu.

Siti Aminah berkata, kerinduan yang tidak tertanggung menyebabkannya menjadi tidak keruan setiap kali teringatkan Siti Auni Zaharah dan Muhammad Aisy Zafran sejak ‘kehilangan’ mereka pada 10 Julai lalu.

Katanya, situasi berkenaan turut memberi kesan kepada anak bongsunya, Muhammad Azad Zaquan, 3, yang kerap menangis selepas ke­tiadaan kakak dan abangnya itu.

Sehingga kini, dia yang dalam proses penceraian belum dapat menghubungi suaminya dan me­ngenal pasti kedudukan kedua-dua anaknya itu.

“Mereka sepatutnya bersekolah awal Januari lalu yang mana saya sudah pun mendaftarkan Siti Auni Zaharah dan Muhammad Aisy Zafran di sekolah rendah serta taman didikan kanak-kanak berdekatan rumah.

“Saya juga pernah ke Pejabat Pendidikan daerah (PPD) di sini untuk mengetahui status Siti Auni Zaharah, namun dimaklumkan belum didaftarkan memasuki tahun satu,” katanya di sini hari ini.

Siti Aminah memberitahu, kali terakhir dia berjumpa suaminya adalah di Ampang, Kuala Lumpur kira-kira lapan bulan lalu dan tidak mengetahui di mana dia berpindah dengan membawa Siti Auni Zaharah dan Muhammad Aisy Zafran.

Katanya, dia gagal menghubungi mereka kerana nombor telefon bimbit yang asal sudah tidak digunakan manakala keluarga di sebe­lah pihak suaminya mendakwa ti­dak mengetahui lokasi dan nasib ketiga-tiga mereka.

“Pelbagai ikhtiar saya lakukan antaranya membuat aduan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Putrajaya, tetapi pihak ber­kenaan tidak dapat berbuat apa-apa kerana saya belum mendapat hak penjagaan anak.

“Saya telah membuat tuntutan hak penjagaan anak di Mahkamah Bentong, namun sehingga kini belum diproses. Jika masalah hak penjagaan selesai akan memudahkan saya membuat laporan polis dan mengambil tindakan tertentu,” katanya.

Tambahnya, dia yang kini sudah tidak tahu bagaimana untuk memohon bantuan terpaksa menggunakan media kerana rindu dan bimbang memikirkan nasib kedua-dua anaknya itu.

“Saya merayu kepada suami supaya dapat datang berjumpa saya dan keluarga di sini untuk berbincang secara baik bagi merungkai masalah ini.

“Ibu mana yang tidak sedih apabila sudah lama tidak berjumpa dengan anak, malah saya bimbang mereka akan tercicir dalam pelajaran. Sepatutnya dalam usia berke­naan, mereka belajar bersama rakan-rakan sebaya,” katanya.

Dia berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara tersebut boleh membantu dengan menghubunginya menerusi talian 019-9969148.