Pelakon yang popular menerusi drama Memori Cinta Suraya itu berkata, keruntuhan rumah tangga mereka berdua memberi kesan yang besar terhadap dirinya jus­teru dia memohon ruang untuk berfikir agar tidak mengeruhkan lagi keadaan.

Walau bagaimanapun Marissa Yasmin, 39, dan Muhzir, 50, yang ditemui pemberita secara berasi­ngan selepas prosiding perceraian itu, melahirkan rasa syukur kerana kes itu telah selesai.

Muhzir berkata, beliau merasa lega kes itu selesai setelah Marissa Yasmin tidak hadir pada sebutan kali pertama kes berkenaan pada 2 Disember lalu dan tidak berhubu­ngan sejak bulan Ramadan tahun lalu.

Marissa Yasmin pula memberi­tahu, kedua-dua pihak kini boleh membina hidup baharu dan membawa hala tuju kehidupan masing-masing.


Muhzir yang bertugas sebagai Pengurus Jualan Teknologi Maklumat sebuah syarikat swasta pada prosiding lalu memberitahu, antara alasan untuk menceraikan isteri­nya itu adalah kerana wanita itu berlaku curang selain mempunyai bukti tentang kecurangan itu.

Terdahulu Muhzir melafazkan talak tersebut dengan tegas pada pukul 10.40 pagi ini di hadapan Hakim Syarie, Muhamad Hisyam Zakaria yang kemudian mengesahkan perceraian berkenaan.

Marissa Yasmin atau nama sebenarnya Mariam Yaacob yang hadir memakai jubah serba hitam dilihat tenang semasa suaminya melafazkan talak tersebut.

Dia dilihat hadir dengan ditemani beberapa anggota keluarganya manakala Muhzir dilihat hadir berseorangan.

Sebelum itu, peguam syarie, Musa Awang yang mewakili Marissa memohon mahkamah menggugurkan alasan Marissa berlaku curang yang terdapat dalam surat akuan yang difailkan Muhzir.

Namun permohonan itu dibantah oleh peguam syarie, Jamal Mohd. Lokman Sulaiman yang mewakili Muhzir kerana perkara itu merupakan alasan utama anak guamnya menceraikan isterinya.

Pasangan tersebut bernikah di Majlis Agama Islam Songkhla, Thailand dan telah mendaftar­kan perkahwinan mereka di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 19 Ja­nuari 2011.

Pasangan itu tidak dikurniakan cahaya mata sepanjang tempoh lima tahun perkahwinan mereka.