Apakah yang dimaksudkan dengan mendera? Mendera ialah semua jenis kezaliman, keganasan atau kesalahan sama ada fizikal, mental atau seksual atau apa-apa perbuatan curang. Penderaan berlaku kerana penyalahgunaan kuasa ke atas seseorang dengan niat mencederakan. Perbincangan bermula dengan statistik penderaan daripada polis yang mengakui bahawa jumlah kes semakin meningkat.

Polis mengakui bahawa hampir 80 peratus pendera adalah keluarga paling rapat dengan mangsa. Penderaan termasuk penderaan fizikal, mental (emosi) dan seksual. Mangsa penderaan dalam keluarga ini ialah isteri, kanak-kanak dan warga emas. Penderaan fizikal termasuk pukul, tumbuk, tikam, tendang, lempang, rotan dan apa-apa perbuatan yang mencederakan.

PERUNTUKAN 
UNDANG-UNDANG

Namun bukan semua kes penderaan yang dilaporkan diambil tindakan. Pihak polis biasanya menyiasat dahulu dengan memanggil pihak yang dikatakan mendera kerana tidak mahu mengambil tindakan berat sebelah dan dalam kebanyakan masa mangsa menarik balik laporan. Undang-undang juga diwujudkan bagi tujuan melindungi mangsa dan kes penderaan boleh disiasat mengikut Kanun Keseksaan, Akta Keganasan Rumahtangga 1994 dan Akta Kanak-kanak 2001.


Semua perundangan ini diwujudkan demi menjaga kepentingan mangsa. Majoriti yang mendera adalah lelaki dan yang didera adalah wanita dan kanak-kanak. Menurut polis ada juga kes suami didera isteri tetapi kesnya sangat sedikit. Dalam kes kanak-kanak, pendera utama mereka ialah ibunya, diikuti bapa dan pengasuh. Dalam perbincangan meja bulat ini faktor berlakunya penderaan juga turut dibincangkan. 

Antaranya ialah:
- Faktor ekonomi keluarga, kesempitan hidup menyebabkan perasaan tertekan hingga berlakunya penderaan. Dalam satu kes tahun lalu, seorang bapa menyembelih anaknya. Lelaki tersebut dikatakan mengalami kemurungan kerana kehilangan pekerjaan.

- Pendera ingin menunjuk kuasa dan hanya mendera yang lebih lemah daripadanya. Seorang suami merasakan dia ada hak mendera isterinya, mungkin dia mengalami tekanan di tempat kerja dan tidak berani memukul ketuanya, lalu melepaskan perasaan itu terhadap isteri dan anak.

- Sikap panas baran suami dan cemburu juga boleh menyebabkan isteri didera, malah terdapat juga yang berada dalam pengaruh dadah dan alkohol.

Paling terbaru ialah penderaan warga emas oleh anak-anak, menantu atau saudara mara. Ini kerana ada warga emas yang telah nyanyuk dan hilang ingatan serta berperangai seperti kanak-kanak. Keadaan itu menyebabkan individu yang menjaganya hilang kesabaran. Penderaan warga emas bagaimanapun sangat kurang dilaporkan.

Masyarakat Malaysia yang semakin moden kurang berminat ‘menjaga tepi kain orang lain’ sehinggakan jika berlaku kes penderaan, mereka enggan melaporkannya. Banyak kali polis meminta bantuan saksi iaitu jika ada mana-mana orang yang ternampak kejadian penderaan untuk tampil memberi keterangan namun ramai yang enggan berbuat demikian.

TERLALU SIBUK

Alasannya, pergaduhan kekeluargaan adalah hal peribadi yang tidak perlu dicampuri. 

Masyarakat Malaysia hari ini terlalu sibuk hingga tiada masa untuk berkenalan dengan jiran tetangga. Keluar rumah sebelum matahari keluar, dan pulangnya setelah matahari terbenam. Hujung minggunya dihabiskan sama ada berkemas rumah atau melayan keluarga dan bercuti. Jika bertemu di surau atau masjid pun hanya untuk mengucap salam.

Hari ini jika ada perayaan kita jarang menziarahi jiran tetapi menunggu dijemput untuk rumah terbuka. Ini semua menyebabkan penderaan sering berlaku tanpa sebarang laporan walaupun telah ada talian Nur yang diwujudkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi tujuan melaporkan sebarang kes penderaan.

Akhirnya kes penderaan terhadap wanita, kanak-kanak dan warga emas semakin meningkat. Meningkat kerana ia dilaporkan atau meningkat kerana sememangnya nilai kemanusiaan semakin menipis sehinggakan seorang manusia sanggup mencederakan insan lain?

Kenapa seorang lelaki yang sepatutnya menjadi pelindung dan penjaga kepada seorang wanita dan kanak-kanak tergamak mendera orang yang di bawah jagaannya sedangkan itulah orang yang disayanginya suatu masa dahulu.

Salah siapakah semua ini? Kita semua sebagai ahli masyarakat bertanggungjawab memastikan setiap ahli masyarakat berada dalam selamat dan sejahtera. Islam mengajar kita untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa, mengasihi orang tua dan kanak-kanak. Islam mengajar kita untuk berbuat baik dengan isteri dan hidup berkasih sayang.