NANCY SHUKRI
Beliau berkata akta berkenaan ialah Akta Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

“Pindaan akta itu sedang diperhalusi dan diambil kira untuk pindaan. Prinsip asas pertimbangan termasuklah faktor kebajikan dan kepentingan kanak-kanak,” katanya ketika merasmikan Seminar Me­ngenai Hak dan Isu-Isu Wanita dan Kanak-Kanak anjuran Majlis Penasihat Wanita Sabah di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau telah mengadakan perjumpaan dengan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bagi membincangkan isu-isu yang timbul dalam kes-kes penukaran agama.

Katanya, harmonisasi undang-undang syariah dan sivil perlu diberi perhatian penting terutama dalam kes melibatkan hak penjagaan anak dan hak kepada harta dalam kejadian penukaran agama oleh suami atau isteri sahaja.

Mengulas lanjut perkara itu ketika ditemui pemberita kemudian, Nancy berkata, proses pindaan terhadap tiga akta itu sedang dilakukan dan akan dibawa ke Parlimen pada Jun ini.

Draf pindaan akta itu sudah dibuat dan sedang diperhalusi oleh pihak Peguam Negara, katanya.

Buat permulaan, pindaan tiga akta itu ditumpukan untuk Wilayah Persekutuan.


“Kalau negeri lain akan ikut sama, ia lebih baik,” katanya.

Nancy berkata, pindaan akta tersebut dilakukan berikutan kes pasangan berkahwin ketika bukan beragama Islam dan apabila bercerai, seorang daripada mereka memeluk Islam dan membawa sekali anak mereka tanpa mendapat kelulusan bekas isteri atau suami.

“Yang beragama Islam tidak dapat ke Mahkamah Sivil, manakala yang bukan beragama Islam tidak dapat ke Mahkamah Syariah.

“Jadi kita usahakan supaya urusan penceraian dibawa ke Mahkamah Sivil disebabkan ketika mereka kahwin dibuat di Mahkamah Sivil,” jelasnya.

Menurutnya walaupun suami memeluk Islam dan bekas isteri bukan beragama Islam, suami harus menanggung anak walaupun anak itu tidak beragama Islam. – BERNAMA