Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 27/12/2015
MEMANG sukar untuk percaya bahawa rasa cinta dan sayang yang dimiliki oleh kaum wanita sukar ditandingi. Sekali bercinta dia akan percaya separuh mati, sekali sayang dia tetap yakin walaupun nyawanya melayang. Tetapi apabila cintanya dinodai dia reda berputus arang. Begitulah hebatnya cinta dan kebencian wanita.
Itulah juga perasaan Anie Zahirah, cinta telah membutakan matanya. Namun akhirnya dia mengaku kalah, setelah merasa selama berkahwin dirinya bukan sahaja ditipu malah diperbodohkan untuk kepentingan diri suaminya. Itu pengakuan Anie Zahirah dalam e-mel pendeknya dan ketika kami bersua empat mata baru-baru ini.
“Saya tak pernah menduga begini akhirnya perkahwinan saya. Dulu saya mimpikan bahawa perkahwinan akan membawa saya ke sebuah mahligai indah yang kami sama-sama bina. Rupanya sepanjang 13 tahun berkahwin cuma saya saja yang bertungkus lumus membina mahligai ini, sedangkan suami saya Hizam macam mandor mengerah supaya saya segera siapkan kerja. Setelah siap saya dipinggirkan kerana sudah ada pengganti.
“Sebenarnya saya lupa saya sahaja sayangkan dia, sedangkan dia tak pernah cintai apa lagi sayangkan saya selain mengharap saya mengadakan apa juga kehendaknya.
“Sepanjang perkahwinan kami, Hizam tidak pernah berusaha mahu membawa saya pindah. Sebaliknya kekal duduk menumpang di rumah ibu bapanya. Di situlah kami tinggal hingga melahirkan tiga orang anak. Bila saya ajak pindah, katanya dia lebih selesa duduk di rumah emak sendiri. Mengapa perlu buang duit sewa rumah kalau emak beri tinggal percuma. Itu alasan Hizam. Sedangkan di rumah itu tinggal bersama adik perempuannya. Tentu dia tidak suka dengan kehadiran anak-anak saya. Tapi Hizam tak peduli.
“Masalahnya jika menantu perempuan duduk di rumah mentua, kita yang selalu duduk dapur setiap hari, bukan suami. Beripar duai bukannya mudah terutama kalau dah ramai tentu banyak ragam, dan bukan semua ringan tulang. Sebaliknya mengharapkan siapa yang duduk di rumah itulah yang mesti bereskan rumah. Sikap adiknya bila ramai tetamu, dia masuk bilik tak mahu keluar, jadi tentulah saya sendirian di dapur.
“Bagaimana pun semua masalah itu boleh saya atasi kerana kesabaran dan rasa sayang pada suami masih bertakhta di hati. Tetapi satu masalah besar yang saya tak boleh terima tetapi terpaksa bersabar ialah perangai Hizam menagih dadah. Itu yang saya rasa, dan saya teka ganja, kalau ada lebih daripada itu saya tak tahu dan tak nampak.
“Saya tak tahu Hizam menagih ganja, hingga melahirkan anak pertama. Saya nasihatkan tapi dia tak ambil pusing. Selepas ayahnya meninggal dunia, dia jadi lebih berani hisap ganja dalam bilik ayahnya. Emaknya tahu, tetapi tak berani bersuara apa lagi menasihatinya.
“Saya perhatikan sejak kahwin emaknya memang kurang berbual apa lagi berbincang dengan Hizam. Sebaliknya emaknya ikut apa sahaja kehendak Hizam. Malah abang dan kakaknya pun tak suka balik ke rumah emaknya kerana Hizam. Malah Hizam sendiri tak suka abangnya datang ke rumah apalagi jika mereka berbual dengan emaknya.
“Itu perangai Hizam dengan adik-beradiknya. Dengan saya lebih teruk lagi. Saya dapati dia tak mahu pindah rumah sebab tak mahu keluar duit belanja. Duduk dengan emak semua sudah tersedia. Tak payah beli pinggan mangkuk, periok kuali, peti sejuk atau mesin cuci baju, dan macam-macam lagi. Semua benda tu dah tersedia. Jadi duit gajinya dia boleh enjoy.
“Untuk makan minum kami sekeluarga di rumah emaknya, dia suruh saya beri emaknya duit setiap bulan, katanya upah jaga anak dan makan minum kami. Bila susu habis barulah dia beli setin dua. Semasa dalam pantang saya duduk di rumah emak saya, sekalipun Hizam tak datang jenguk kami. Apa lagi nak beri emak saya duit walaupun sekampit beras. Dia hantar saya selepas keluar hospital bersalin. Dan dia datang ketika nak bawa saya balik ke rumah emakya setelah habis pantang. Dia buat emak saya macam musuh.
“Alasan dia tak datang jenguk saya semasa pantang, konon kerjanya tak tentu masa, sedangkan saya tahu dia banyak habiskan masa tidur di rumah. Perkataannya yang menyakitkan hati saya, konon saya bertuah duduk di rumah emaknya. Anak kami, emaknya boleh jaga.
“Apa yang menghairankan saya, saya boleh sabar semata-mata kerana sayangkan suami. Saya banyak berdiam dan ikut kerenahnya walaupun saya tahu dia penagih. Saya dah nasihat tetapi dia tak makan nasihat. Dalam pada itu anak bertambah lagi. Mahligai yang saya impikan tak pernah tercapai. Sebaliknya dia terus menagih. Lebih menyakitkan hati dia kedekut semua perbelanjaan rumah harapkan saya bayar. Dan saya ikut perintahnya.
“Oleh kerana anak bertambah saya cadangkan beli kereta. Tetapi dia tolak alasannya dia ada motor tak perlu kereta. Saya teringin bawa anak jalan-jalan jika ada kereta, tapi katanya dia tak ada duit. Kalau saya nak beli jugak, sayalah yang kena cari duit pinjam bank.
“Pelik bunyinya. Tetapi kerana masih sayangkan suami, saya ikut kehendaknya. Kenalah pinjam bank. Bila beli kereta kena letak nama dia, katanya gajinya lebih besar daripada saya. Peliknya dulu kata gajinya kecil, tak ada duit. Sampai kedai kereta, kenalah bubuh nama dia. Takkan nak bergaduh depan orang. Saya ikut kehendaknya. Dia pilih kereta berjenama. Tak mahu kereta Proton atau Perodua, mahu yang import.
“Malu nak bertelagah, saya ikut aja. Setiap bulan sayalah kena bayar ansuran kereta dan pinjaman bank. Tak cukup penganiayaan itu, saya juga terpaksa bayar hutang kad kredit Hizam, katanya semua hutang kad kredit saya yang guna. Sedangkan saya tak beli bag tangan berjenama, baju lace, dan kasut mahal. Tetapi kerana malu bergaduh dalam rumah mentua, saya cuma menangis, sambil berharap, satu hari nanti Hizam akan insaf. Dan setiap kali lepas solat, saya berdoa dia akan berubah tidak menagih dan membuli saya lagi.
“Peliknya saya ikut telunjuknya di suruh bayar, saya bayar, di suruh pergi saya ikut. Sebenarnya duduk rumah mentua bukan mudah, tambahan ada ipar yang mulut laser suka menghina saya. Tetapi dia lupa dirinya juga wanita. Saya harap dia tak jadi seperti saya.
“Tetapi kesabaran pun ada hadnya, setelah berbelas tahun tunduk kepada semua arahan, perintah dan kehendak Hizam, akhirnya saya tidak boleh bersabar lagi, terutama bila hidup saya semakin tertekan, semuanya berpunca kerana duit. Hutang keliling pinggang. Saya tak ada duit jangan kata nak simpanan setiap bulan, nak makan pun susah. Nasib tak sewa rumah kalau tidak dah lama kami duduk bawah jambatan. Tetapi semua itu kerana Hizam tak beri kerjasama, dia harapkan duit gaji saya buat belanja, sedangkan gajinya untuk diri sendiri.
“Akhirnya saya minta dilepaskan, saya tak boleh bersabar dengan perangai menagihnya semakin teruk hingga dia sanggup hisap ganja depan anak-anaknya. Selepas ayahnya meninggal dia jadi raja, sebab tidak ada siapa nak takut. Emak tak berani bersuara takut ditengking dan malu jika pergaduhan mereka diketahui jiran tetangga.
“Perceraian saya memang tak banyak masalah sebab Hizam beri syarat, nak cerai jangan mintak nafkah edah, mutaah dan nafkah anak-anak. Alasannya ketika itu dia sudah berhenti kerja dan tak ada pendapatan tetap. Dia kena buang kerja oleh syarikat. Tapi dia buat part time dengan syarikat yang sama untuk dapat gaji lebih. Dia tak mahu terikat dengan peraturan.
“Saya terpaksa terima syaratnya kerana sudah tak tahan lagi dengan perangainya menyiksa saya. Sudahlah kita dibuli sejak berkahwin, dalam waktu yang sama bila duit banyak dia ada kekasih, dan si kekasih sentiasa telefon maki-hamun saya. Dunia memang sudah terbalik, patutnya saya maki dia, tapi saya pulak dimaki. Tapi saya diam biarlah dia pulak tanggung penyeksaan yang selama ini terpaksa saya pikul.
“Lebih menyakitkan hati, Hizam dengan kami anak beranak terlalu kedekut, tetapi dengan kekasihnya dia jadi dermawan. Siapa tak marah. Kini sudah tiga tahun bercerai, dia masih tak kahwin lagi, hanya kekasih bertukar ganti.
“Apa yang menyedihkan pengorbanan saya tak pernah dibalas. Saya sanggup berhutang keliling pinggang dengan koperasi dan bank untuk beli kereta dan juga bayar hutang kad kredit supaya dia tak kena senarai hitam, tetapi dia tanggung dan senangkan hidup orang lain bukan saya dan anak-anaknya. Dia tak pernah fikirkan perngorbanan saya selama ini. Jadi kepada kaum wanita senasib saya, nasihat saya janganlah jadi bodoh macam saya.
“Walaupun saya sudah pindah tetapi kerana anak-anak bersekolah, saya masih hantar mereka ke rumah mak Hizam. Tapi Hizam tak peduli untuk ambil anak dan hantar anak ke sekolah begitu juga nak beli buku dan pakaian sekolah, semua saya mesti sediakan. Dia buat bodoh.
“Bila minta nafkah di mahkamah syariah dia mengaku tak ada kerja. Kalau tak ada kerja macam mana dia boleh bayar ansuran kereta RM1,000 sebulan. Mana dia ambil duit? Tahun depan saya akan pindah ke rumah emak saya bersama anak-anak, biarlah saya yang jaga anak-anak, kerana ada ayah pun bukan dia bagi makan, tanggung sekolah dan beli pakaian. Semua saya yang pikul.
“Anak-anak balik sekolah duduk rumah nenek, tapi jarang jumpa ayah, sebab ayahnya balik kerja dinihari, subuh tak bangun lagi. Didik anak memang tak pernah, apa lagi bimbing solat, memang tak payah. Tahun depan saya akan tuntut nafkah, takkan ansuran kereta boleh bayar, nafkah anak tak ada duit? Itu cerita Anie Zahirah panjang lebar.
Sebenarnya Anie Zahirah terlupa dalam hidup ini wanita mesti sayangkan diri sendiri lebih banyak sebelum sayangkan orang lain. Apa yang dilaluinya akibat dia terlalu sayangkan orang lain hingga dia menganiaya dirinya sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan