Mengapa dia berbuat demikian. Mungkin dia mempunyai sebab tersendiri mengapa 
memilih ibu tiri yang diketahui hidupnya pasti akan jauh berbeza daripada tinggal bersama ibu kandung yang dikasihi.

Sharifah (bukan nama sebenar) adalah anak sulung daripada lima beradik. Dia kini sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak.
Berkenalan dengannya pun secara kebetulan ketika bercuti di luar negara baru-baru ini.

Cerita Sharifah, ibunya kini sudah pun meninggal dunia, sementara bapanya masih lagi hidup bersama isteri yang telah dikahwini semasa ibunya masih hidup.

Ketika itu dia masih lagi berada di sekolah menengah dan adik-adiknya masih lagi kecil.
Katanya lagi, ibunya tidak mengetahui langsung bahawa bapanya sudah setahun berkahwin lain. Sebelum itu, bapanya pernah berkahwin dengan dua lagi wanita tetapi telah bercerai.
Setelah ibunya mengetahui mengenai perkahwinan baharu bapanya, ibunya benar-benar kecewa dan berasa tertipu serta dipermainkan.

Oleh kerana ibunya tidak boleh menerima hakikat bahawa bapanya telah berkahwin lagi walaupun puas mencuba, akhirnya mereka bercerai.

Sharifah memilih untuk tinggal bersama bapanya kerana memikirkan mahu meringankan beban ibunya yang pasti akan menghadapi kesukaran menyara adik-adik.

“Ibu saya tidak bekerja. Setelah diceraikan, ibu keluar rumah bersama adik-adik. Rumah yang didiami telah ditukar nama kepada nama ibu tiri setelah didesak olehnya. Bukan sahaja rumah malah tanah kebun dan kedai turut ditukar kepada nama ibu tiri.

“Ibu tidak mahu berebut harta. Biarlah dia diperlakukan sedemikian. Sepatutnya sebagai bekas isteri yang telah memberikan lima orang zuriat kepada suami, apalah salahnya ibu diberikan rumah sebagai tempat berteduh.

Namun, bapa seperti kerbau yang dicucuk hidung. Ibu tiri saya garang dan awal-awal lagi dia telah menyuruh bapa menukar nama semua harta kepada namanya.

“Oleh kerana mahu mengurangkan beban ibu, saya memilih untuk tinggal bersama bapa dan ibu tiri. Di sinilah kisah pahit saya bermula.

“Ketika itu saya baru berumur sembilan tahun. Ibu tiri tidak menyukai saya kerana menganggap saya hanya menyusahkan dirinya sahaja.

“Dia menghasut bapa supaya memberhentikan sekolah saya. Alasannya, perempuan walau sekolah setinggi mana pun akan ke dapur juga. Nasib baik bapa tidak bersetuju dan tetap membenarkan saya ke sekolah.

“Bapa pula setiap kali hendak memberi saya belanja sekolah terpaksa menyorok daripada ibu tiri. Kalau ibu tiri tahu, mereka akan bergaduh. Bapa tidak kedekut kerana setiap kali saya meminta duit, dia akan beri cuma dalam keadaan takut dan sembunyi-sembunyi,” kata Sharifah.

Tambahnya, kerja-kerja rumah usah cakaplah kerana sebelum dan selepas balik sekolah, dia disuruh membuat semua kerja tersebut.

Jika ibu tirinya membeli biskut, coklat atau makanan lain, akan disimpan dalam bilik, bukan di dapur takut diambil oleh Sharifah.

Dia sanggup makan dalam bilik semata-mata tidak mahu berkongsi makanan tersebut.

Ujar Sharifah lagi, jika cuti sekolah, dia akan mencari kerja-kerja sampingan bagi mendapatkan duit belanja.

Jika kanak-kanak lain yang berusia 13 tahun seronok bercuti dengan keluarga, dia pula sudah bekerja sambilan. Berapa sangatlah gaji yang diperoleh tetapi kerana hendak mencari duit belanja sekolah, dia reda.

Mujur dia berjaya dalam pelajaran dan melanjutkan pelajaran ke universiti.

Ibu kandungnya pula meneruskan kehidupan dengan melakukan pelbagai pekerjaan seperti mengambil upah memasak, membuat hantaran dan berniaga kuih demi mahu membesarkan anak-anak.

Ujar Sharifah lagi, mungkin akibat terlalu kuat bekerja ibunya disahkan menghidap penyakit dalam perut.

Bertahun-tahun ibunya menderita dan mendapatkan rawatan di hospital sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir.

Pemergian ibu amat dirasai oleh Sharifah dan adik-adik yang lain, namun mereka bersyukur kerana sempat membalas jasa dan merasai sedikit kesenangan setelah anak-anak mula bekerja.

Kini Sharifah dan adik-adiknya menumpang kasih dengan nenek dan datuk sebelah ibu.

Walaupun neneknya sudah berumur lebih 80 tahun, dia menjadi pengganti ibu.

Bapa dan ibu tirinya masih lagi ada. Sesekali Sharifah akan menjenguk juga bapanya yang sudah tua.

Namun luka di hati akibat peristiwa lama yang membuatkan arwah ibunya makan hati dan layanan ibu tiri terhadapnya masih lagi segar di ingatan.

“Saya rindukan masakan ibu. Saya teringinkan sambal tumis ibu yang tidak sama dengan orang lain. Bila teringatkan ibu, hati saya begitu sayu dan sedih,” kata Sharifah sambil matanya berkaca-kaca.