Sejarah membuktikan bahawa sebuah tamadun hebat boleh runtuh gara-gara modal insannya menghadapi krisis akhlak, tidak menghormati agama yang menjadi pegang­an hidup dan terlalu berkiblatkan budaya hedonisme iaitu yang mementingkan keseronokan dan kesenangan hidup semata-mata.

Pendedahan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan baru-baru ini terhadap bencana moral itu amat mengejutkan. Kes hamil dalam kalangan remaja berusia 10 hingga 19 tahun di negeri itu dari 2010 hingga 2013 adalah 1,188 kes, dengan sebanyak 571 iaitu 48 peratus daripadanya tidak berkahwin.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan oleh Kementerian Kesihatan pula menunjukkan aktiviti seksual dalam kalangan remaja meningkat daripada 1.8 peratus pada 
1996 kepada 8.3 peratus pada 2012.

Data Kementerian Kesihatan juga mencatatkan kes baru hamil dalam kalangan remaja 10 hingga 19 tahun dari Januari hingga Disember 2011 adalah sebanyak 18,652 dengan 4,222
(23 peratus) daripadanya tidak berkahwin atau berzina.


Tidak cukup dengan itu, kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara di peringkat nasional pula menunjukkan peratus remaja yang terlibat dalam aktiviti seksual telah meningkat dari 0.9 peratus (1994) kepada 2.2 peratus (2004) dan 6.5 peratus (2010).

Justeru, semua pihak perlu menggembleng tenaga untuk menangani masalah kronik ini kerana situasinya adalah seperti semasa sebuah kampung ditenggelami banjir besar hingga menenggelamkan seluruh rumah penduduk, apabila air surut segala sampah-sarap akan 
tertinggal di atas bumbung, lumpur-lumpurnya juga akan kekal melekat di dinding rumah.
Segala kesan itu hanya akan hilang apabila tuan rumah membersihkannya, amat mustahil untuk pemilik rumah lain bersusah payah membersihkan rumah kita kerana pada hakikatnya semua penduduk kampung itu menghadapi masalah sama.

Keruntuhan moral ini tidak mengira fahaman politik yang dianuti. Jejaki masalah utama yang menyebabkannya terjadi. Rawat dan ubatinya dengan sebaik mungkin. Jangan sesekali mengambil mudah hanya kerana ia belum terkena ke atas ‘batang hidung’ sendiri. Tidak mustahil suatu hari kelak anak saudara, sepupu atau cucu kita pula yang terlibat.

Setiap pemimpin perlu menjaga sebaik mungkin rakyat yang dipimpinnya. Pemimpin di sini bukannya terhad kepada lantikan politik semata-mata. Semua daripada kita adalah pemimpin, perbezaannya cuma naungannya mungkin kecil atau besar. Dalam sebuah keluarga, ibu bapalah pemimpin; kampung, cawangan, bahagian, cabang, kawasan, negeri dan begitulah seterusnya.

Kepada yang diberikan kuasa, tolonglah minimumkan sebarang program yang boleh merosakkan jati diri dan akhlak rakyat kerana dunia ini hanya sementara, bukannya kekal abadi sehingga selama-lamanya. Bagi yang memberikan alasan semasa berada sekejap di muka bumi inilah masanya untuk bergembira dan mencari keseronokan, jawapannya, mana lebih hebat keseronokan abadi di akhirat atau kegembiraan sementara di dunia.

Janganlah kita hanya bising dan berkokok semasa isu-isu tertentu menjadi viral di laman-laman sosial seperti program ‘Saya mahu menyentuh anjing’ dan pesta arak bulan Oktober tetapi perkara-perkara maksiat yang secara terang-terangan salah mengikut hukum syarak didiamkan.

Sebagai sebuah negara Islam yang berteraskan prinsip wasatiyyah dan berpandukan suluhan Maqasid al-Syariah - rantaian lima prinsip asas yang perlu dipertahankan iaitu menjaga dan memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Semestinya kita tidak merelakan generasi muda aset masa hadapan negara dihancurkan oleh budaya hedonisme hingga tercabut segala nilai agama, akal, akhlak yang menunjang kekuatan bangsa.

Perlu diingat, semua pemimpin di dunia ini termasuk diri sendiri tidak terkecuali daripada disoal dan diperhitungkan segala perbuatan yang dilakukan di dunia ini. Kelak di sana, langsung tiada lagi talian hayat atau segala jenis ‘kabel’. Penyelesaiannya hanya ada dua sahaja - syurga atau neraka dan ia adalah muktamad, langsung tiada takwil lagi.