Selasa, 30 Disember 2014

Kontroversi nikah bawah umur

Oleh : HASLINDA ZAINAL
Sumber : Kosmo - Rencana Utama
Tarikh : 14/02/2011

USIA remaja perlu dihabiskan dengan usaha menuntut ilmu. - Gambar hiasan



SITI Nur Zubaidah Hussin baru berusia 11 tahun ketika dia dipaksa berkahwin oleh bapanya dengan lelaki berusia 41 tahun di Kelantan awal tahun lalu.
Bapanya, Hussin Mat Salleh ialah pengikut kumpulan tabligh yang diyakinkan oleh ketuanya, Shamsuddin Che Derahman, juga digelar ‘Sudin Ajaib’, bahawa perbuatan itu mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.
Akibat perkahwinan tanpa rela, kanak-kanak pintar darjah lima itu mengalami tekanan perasaan yang hebat. Dia telah ditemui dalam keadaan separuh sedar di Masjid Al-Ikhwan, Taman Samudera, Batu Caves, Selangor.
Kes itu bukanlah yang pertama dan terakhir di negara ini kerana masih ada lagi remaja yang berkahwin dengan kerelaan hati malah ada juga yang terpaksa berkahwin kerana hamil di luar nikah.

Pusat Kajian Wanita Antarabangsa (ICRW) pada tahun 2005 memberikan definisi pernikahan bawah umur sebagai pernikahan atau penyatuan antara dua orang, iaitu salah seorang ataupun kedua-duanya berusia kurang daripada 18 tahun.
Gubal undang-undang
Sehingga kini, kadar peratusan pernikahan bawah umur di Malaysia masih kecil iaitu 0.725 peratus.
Pada dasarnya, perkahwinan adalah sebahagian daripada fitrah manusia dan berdasarkan fitrah itulah, Allah menciptakan manusia, tetapi sejauh manakah pernikahan bawah umur diterima oleh masyarakat yang semakin maju pada masa kini?
Justeru, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) telah menganjurkan Seminar Kebangsaan Undang-Undang Keluarga Islam bertajuk Nikah Bawah Umur: Patut atau Tidak? di sini baru-baru ini.
Anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakari berkata, terdapat nas yang membolehkan perkahwinan dengan kanak-kanak bawah umur sama ada daripada al-Quran, Sunnah dan ijma’.
Bagaimanapun, beliau berkata, penggubalan atau peruntukan undang-undang perlu ada bagi mengawal perkara itu dan untuk memastikan pihak yang terlibat, terutamanya pihak perempuan mendapat perlindungan dan jaminan.
Matlamat perkahwinan
Syeikh Abdullah al-Manie, iaitu anggota Majlis Ulama Kanan Saudi melontarkan pandangan bahawa perkahwinan antara Rasulullah SAW dengan Sayidatina Aisyah tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mewajarkan perkahwinan bawah umur.
“Pandangan beliau itu timbul sebagai reaksi kepada perkahwinan seorang gadis berumur 12 tahun dengan seorang lelaki berumur 80 tahun di Buraidah, Arab Saudi,” kata Zulkifli ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pernikahan Di Bawah Umur Dari Perspektif Syarak.
Zulkifli menambah, walaupun hukum berkahwin dengan gadis kecil adalah harus, tetapi dengan memahami maksud dan matlamat perkahwinan, ia jelas menunjukkan bahawa sewajarnya kanak-kanak yang dikahwini mestilah dalam usia yang mampu menanggung hubungan kelamin.
“Justeru melihat kepada adat, sewajarnya tidak dibenarkan perkahwinan bawah umur kecuali melihat kes tertentu sahaja,” katanya.

KISAH seorang gadis bawah umur yang ditemui separuh sedar di Batu Caves menggemparkan negara awal tahun lalu.



Seksyen 8, Akta Undang-Undang Keluarga Islam, Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 dan enakmen-enakmen seumpamanya di peringkat negeri memperuntukkan umur minimum untuk berkahwin.
Akta itu menyatakan bahawa tiada perkahwinan boleh diakadnikahkan atau didaftarkan jika si lelaki berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada 16 tahun kecuali jika hakim syariah memberi kebenaran secara bertulis dalam keadaan tertentu.
Bukan budaya Malaysia
Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Prof. Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin berkata, perkahwinan bawah umur berlaku di negara lain malah dalam jumlah yang tinggi. Di Malaysia, rata-rata masyarakatnya mengecam perkahwinan bawah umur.
“Antara jawapan yang ditemui adalah kerana Malaysia menjadi model negara Islam, maka ia tidak sepatutnya menggalakkan perkahwinan bawah umur.
“Malaysia juga negara maju. Perkahwinan bawah umur dilihat sebagai satu amalan yang ketinggalan zaman,” katanya ketika membentangkan kertas kerja Pernikahan Di Bawah Umur Dari Perspektif Undang-Undang.
Zaleha berkata, berkahwin bawah umur bukanlah budaya di Malaysia pada masa kini dan ibu bapa sepatutnya menggalakkan anak-anak mereka untuk belajar pada usia itu dan bukannya untuk berkahwin.
“Dengan perkembangan dunia kini dan semangat membudayakan ilmu, kita tidak sepatutnya menggalakkan remaja kita berkahwin bawah umur melainkan dalam hal-hal yang tidak dapat dielakkan,” kata Zaleha.
Beliau berkata, mungkin Malaysia harus belajar dari pengalaman India iaitu undang-undang untuk menyekat perkahwinan bawah umur adalah seperti ‘harimau yang tidak bergigi’.
“Peratusan perkahwinan bawah umur menjadi sedikit rendah di India dan Pakistan bukan kerana kewujudan undang-undang itu, tetapi kerana usaha menggalakkan gadis-gadis negara itu menuntut ilmu sehingga tertubuhnya universiti khas untuk wanita,” katanya.
Implikasi kesihatan
Pakar Perunding Obstetriks dan Ginekologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj berkata, kebanyakan remaja perempuan yang berkahwin akan hamil dalam usia yang muda dan berhadapan dengan banyak komplikasi dan masalah kesihatan semasa hamil (antenatal), ketika melahirkan (intrapartum) dan juga selepas kelahiran (post-partum).
“Kadar kematian ibu dan bayi juga meningkat dalam kalangan remaja belia yang hamil, bukan sahaja kerana komplikasi semasa proses kehamilan dan kelahiran, malahan juga disebabkan faktor persekitaran yang menyukarkan remaja terbabit mendapatkan kemudahan dan jagaan kesihatan yang optimum,” katanya ketika membentangkan kertas kerja Pernikahan Di Bawah Umur Dari Perspektif Perubatan.
Harlina memberitahu, kelompok itu tidak mendapat nasihat yang tepat mengenai kontrasepsi dan perancangan keluarga di samping kesukaran membeli sendiri ubatan yang diperlukan untuk tujuan tersebut.
“Selain itu, pemakanan yang kurang memuaskan boleh menyebabkan kekurangan zat, kepucatan dan malnutrisi kepada remaja terbabit. Perkahwinan bawah umur juga dikaitkan dengan kadar keganasan rumah tangga yang menyebabkan gangguan kesihatan emosi dan mental remaja itu,” kata Harlina.
Tambah beliau, gadis bawah umur itu terpaksa berhadapan dengan realiti hidup berkeluarga yang memerlukan kemahiran membuat keputusan dan penyelesaian masalah, pengurusan kewangan dan emosi, kematangan serta keupayaan berkomunikasi yang baik. – Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman