Tarikh : 17/12/2014
NURHIDAYAH ( kiri) bersama ibu angkatnya Hosniah Mamat membuat laporan polis di Balai Polis Ampang untuk mencari ibu kandungnya.
KUALA LUMPUR 16 Dis. – Seorang wanita merayu bantuan orang ramai bagi mencari waris anak angkat perempuannya, Nurhidayah, 8, yang dipelihara sejak tahun 2006 untuk urusan dokumentasi.
Hosniah Nimat, 48, berkata, Nurhidayah telah diserahkan oleh ibu kandungnya untuk dijaga sementara ketika kanak-kanak itu berusia dua bulan tanpa menyertakan dokumen kelahiran.
Menurutnya, ketika itu dia berniaga di kantin sebuah tapak pembinaan di kawasan Perhentian Bas di Larkin, Johor Bharu sebelum berpindah ke Lembah Jaya Selatan, Ampang pada hujung tahun yang sama.
Ujarnya, ibu kandung Nurhidayah yang merupakan warga Indonesia dikenali sebagai Siti dan berusia dalam lingkungan 20-an ketika itu selalu datang ke kantinnya untuk makan.
“Kehidupan Siti boleh dikatakan agak daif dan kerana itu, saya tidak lokek membantunya. Suatu hari, dia datang seperti biasa membawa bayinya dan meminta saya menjaganya untuk seketika kerana ingin mencari suaminya.
“Namun, selepas itu dia langsung tidak kembali untuk mengambil bayinya sehingga kini dan saya sendiri tidak tahu siapa lagi waris kepada bayi tersebut ketika itu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di Jalan Utusan, di sini hari ini.
Tambah Hosniah, niatnya sebelum ini hanya mahu membantu bertukar kepada tanggungjawab apabila menerima Nurhidayah dalam keluarganya yang kini dianggap seperti anak kandungnya.
“Namun timbul masalah lain pula apabila saya menghadapi kesukaran untuk menyekolahkan Nurhidayah kerana dia tidak memiliki sebarang dokumen dan saya sangat simpati padanya yang kini kerap murung gara-gara tidak dapat bersekolah seperti rakan-rakannya yang lain.
“Tahun hadapan sepatutnya dia sudah berada di darjah tiga. Bagi tujuan itu, saya perlu melalui proses pengambilan anak angkat yang sah melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat setelah warisnya tidak dapat dikesan agar masa hadapan Nurhidayah lebih terbela kelak,” katanya.
Sehubungan itu kata Hosniah, dia mengambil langkah membuat laporan polis bagi mengesan waris Nurhidayah.
“Jika ibunya tidak mahu menjaganya, saya ingin mendapatkan dokumen sah agar dapat menjadi penjaga yang sah di sisi undang-undang kerana amat menyayanginya.
“Saya merayu kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung waris Nurhidayah agar menghubungi di talian 016-6435472,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan