Sabtu, 6 Disember 2014

Mutaah bantu isteri selepas perceraian

Oleh : Prof Dr Najibah bt Mohd Zin
Sumber : Kosmo - Varia
Tarikh : 05/12/2014


Pengorbanan isteri menjaga kebajikan keluarga, menguruskan hal rumah tangga dan menjaga kebajikan anak-anak antara perkara yang diambil kira mahkamah dalam menentukan jumlah tuntutan mutaah. – Gambar hiasan



Mutaah ialah satu bentuk bayaran sagu hati bagi memudahkan kehidupan isteri yang telah diceraikan di samping meleraikan kekusutannya.
Selain daripada haknya untuk memohon nafkah, seorang isteri yang telah diceraikan tanpa sebab munasabah oleh suaminya boleh membuat tuntutan tersebut. Hukum ini diambil daripada al-Qur’an (al-Baqarah: 241) yang menyatakan:
“Dan bagi perempuan-perempuan yang diceraikan, hendaklah diberi mutaah menurut cara yang patut, sebagai suatu kebajikan bagi orang yang bertaqwa.”
Peruntukan ini dikanunkan dalam Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia sebagai satu pengiktirafan kepada hak wanita yang diceraikan bukan berpunca daripada kesalahannya walaupun perceraian itu berlaku melalui permohonan yang dibuat oleh pihak isteri.

Contoh-contoh ini banyak terdapat dalam perceraian taklik atau fasakh iaitu disebabkan berlakunya darar yang berpunca daripada pihak suami. Disebabkan itu, dalam perceraian yang berlaku disebabkan lafaz talak suami, bayaran mutaah adalah wajib dibayar oleh pihak suami kepada isteri yang telah diceraikan.
Jumlah tuntutan
Masalah yang biasanya timbul dalam tuntutan mutaah ialah jumlah tuntutan disebabkan tidak adanya satu formula khusus yang ditetapkan dalam hukum syarak walaupun secara umumnya bayaran tersebut mestilah berdasarkan kepada kemampuan suami. Ia juga berdasarkan kepada tujuan bayaran mutaah tersebut untuk membantu isteri yang telah diceraikan membina se­mula hidup selepas perkahwinan. Oleh itu, isteri yang telah diceraikan boleh memohon sejumlah bayaran yang dirasakan munasabah sebagai mutaah sekiranya dia bukan penyebab kepada berlakunya perceraian.
Mutaah tidak boleh dituntut sekiranya perpisahan berlaku kerana suami mati sebab tanggungjawab untuk membayar mutaah tidak boleh dipindahkan kepada orang lain.
Menjadi satu trend dalam ­ka­la­ngan masyarakat Islam menuntut bayaran yang terlalu tinggi sehingga mence­cah jutaan ringgit, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada mutaah ini hanya bayaran sagu hati ataupun pampasan.
Terdapat panduan yang digariskan dalam beberapa kes untuk memberi kefahaman tentang bayaran mutaah. Pihak isteri sedia maklum tentang jumlah harta yang dimiliki suami semasa dalam perkahwinan. Terdapat juga kekeliruan sama ada ianya tuntutan mutaah atau tuntutan harta sepencarian.
Konsep mutaah adalah lebih dekat kepada nafkah dan bukan pembahagian harta kerana daripada beberapa kajian kes yang telah diputuskan di mahkamah, boleh disimpulkan bahawa mutaah adalah sagu hati yang diberi oleh suami yang menceraikan isterinya dengan bayaran berpatutan iaitu suami yang senang menurut kemampuannya dan suami yang susah mengikut kemampuannya.
Pihak isteri yang menuntut perlu mengemukakan butir-butir tuntutan dengan terperinci sebagai sandaran. Bagaimanapun, kaedah yang terbaik dalam menentukan jumlah tuntutan adalah dengan kaedah sulh yang memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk berbincang dalam mencapai satu keputusan.
Antara perkara yang diambil kira mahkamah dalam menentukan jumlah tuntutan ialah tempoh perkahwinan. Semakin lama tempoh perkahwinan, semakin besar jumlah tuntutan kerana mengambil kira pengorbanan isteri dalam perkahwinan menjaga kebajikan keluarga, menguruskan hal rumah tangga dan menjaga kebajikan anak-anak.
Ansuran
Mahkamah juga boleh memerintahkan bayaran mutaah dibuat secara ansuran jika suami tidak mampu membayar secara sekali bayaran bagi mengelakkan suami mengambil ke­sempatan untuk menjadikan ia alasan tidak mahu membayar mutaah.
Pemberian mutaah tidak berdasarkan emosi dan balas dendam sehingga mengemukakan tuntutan yang tidak munasabah.
Oleh kerana tiada formula atau kaedah membayar mutaah, cara yang ada hanyalah mengikut ukuran kemampuan suami di samping melihat kedudukan atau taraf pihak isteri. Mahkamah boleh mengambil kira kesengsaraan yang dialami isteri sehingga tidak dapat dilupakan seumur hayatnya di sam­ping taraf kedudukan dan sumbangan isteri terhadap keharmonian rumah tangga.
Walaupun tuduhan nusyuz sudah tidak timbul selepas perceraian, dalam kebanyakan kes, mahkamah akan mengambil kira perkara tersebut. Sekiranya isteri disabit nusyuz di mahkamah yang menjadi punca perceraian, maka tuntutan mutaah boleh ditolak.
Namun, tuduhan nusyuz untuk mengelakkan daripada bayaran mutaah atau mengurangkan jumlah tuntutan jarang diambil kira mahkamah.
Hukum mutaah mengikut syarak dan undang-undang yang dipakai di Malaysia adalah wajib bagi mengelak isteri yang diceraikan dipandang serong oleh masyarakat yang beranggapan perceraian berlaku di­sebabkan oleh aib isteri. Pemberian mutaah dapat mengubah tanggapan masyarakat iaitu jika aib isteri merupakan punca perceraian, maka tidak munasabah dan wajar ia mendapat pemberian daripada suaminya.
Ulama menyatakan pemberian mutaah juga sebagai mengubati hati isteri yang berduka serta hilang tempat bergantung. Lebih-lebih lagi kepada isteri yang selama berkahwin terpaksa menanggung serta berkorban pendapatannya untuk keluarga. Sekurang-kurangnya mutaah tersebut dapat membantu isteri memulakan hidup baharu dan bukan sebagai satu sumber saraan untuk isteri selepas bercerai.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman