Isnin, 22 Disember 2014

Baju saya pun suami tolong gosok

Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga
Tarikh : 06/12/2014


Bulan lalu, saya ada siarkan kisah seorang isteri yang mengeluh dengan sikap suaminya yang enggan membawanya ke majlis-majlis rasmi tanpa alasan kukuh.

Luahan isteri itu mendapat maklum balas yang pro dan kontra daripada pembaca termasuk kaum lelaki. Ada yang marah dengan sikap suami berkenaan dan ada yang menyokong.

Salah satu maklum balas yang saya terima daripada seorang isteri yang menamakan dirinya Sham (bukan nama sebenar). Begini cerita Sham.

“Saya berusia awal 50-an, mempunyai empat orang anak yang kesemuanya sudah dewasa. Dua daripada mereka sudah berkahwin dan saya mempunyai tiga orang cucu.

“Suami seorang penjawat awam yang berjawatan penting juga. Sebagai isteri, tentu saya juga ada peranan dalam organisasi yang dia pimpin walaupun kecil tapi saya tetap berusaha melibatkan diri, tanda sokongan terhadap suami.

“Saya dibenarkan aktif dalam persatuan di tempat kerja suami, malah saya dilantik menjadi ahli jawatankuasa untuk saya me­nyumbang khidmat bakti kepada persatuan berkenaan.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana mempunyai suami yang menghargai saya. Saya berkenalan dengan semua kakitangan di bawah jagaan suami, tahu siapa isteri, suami dan anak-anak mereka.
“Malah, setiap kali ada majlis, saya akan dijemput dan bergaul dengan mereka seperti saudara mara sendiri.

“Suami seorang yang sangat berdisiplin, pembersih dan taatkan agama. Kami sekeluarga dididik ke arah kebaikan di dunia dan di akhirat. Malah suami juga seorang yang penyayang dan menjaga kebajikan saya dan anak-anak.

“Saya tidak bekerja. Semua kerja rumah saya uruskan sendiri sejak kami kahwin. Tetapi suami banyak membantu. Dari mula kami nikah hingga sudah beranak menantu dan cucu, sikap suami tetap sama.

“Dahulu semasa anak-anak masih kecil, kerja rumah kami lakukan bersama-sama. Jika saya memasak suami menjaga anak. Jika saya membersih dan mengemas rumah, suami menggosok pakaian.

“Itulah rutin kami pada hujung minggu. Sama-sama tolong-menolong, tidak pernah berkira tenaga dan wang ringgit. Selesai urusan rumah kami sekeluarga keluar bersiar-siar atau makan-makan sambil melayan kerenah anak-anak.

“Saya bukan berniat untuk memuji suami. Tetapi saya sangat-sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang baik, penyayang dan bertanggungjawab.

“Masih saya ingat, ketika saya bersalin dan berpantang suami yang menjaga makan minum saya dan menguruskan anak-anak. Ibu dan mentua saya datang tetapi mereka hanya membantu dan menjaga saya ketika suami pergi kerja.

“Balik kerja dia sambung tugasnya semula di rumah untuk memastikan saya dan anak-anak sentiasa terjaga. Jika dikenangkan saya menangis kerana kebaikannya itu.

“Semasa anak-anak sakit, dia juga yang bersusah payah mengambil cuti dan membawa anak-anak ke klinik. Pakaian sekolah anak-anak pakaian kerjanya dan pakaian saya jika hendak ke mana-mana dia juga yang menggosok dan menyediakannya.

“Semuanya dilakukan kerana dia tidak mahu saya terbeban dengan urusan rumah tangga dan menjaga anak-anak. Walaupun jika saya ada masa untuk berbuat demikian, suami akan membantu juga.

“Kini tiga puluh tahun sudah berlalu, suami masih seperti dahulu. Malah anak menantu dan cucu saya juga dijaga dengan baik. Mereka bangga ada ayah dan atuk yang sangat penyayang.

“Anak-anak lelaki saya juga saya galakkan membantu isteri mereka sama seperti apa yang ayah mereka lakukan. Tidak salah membuat kerja rumah dan membantu isteri di rumah asalkan kena caranya.

“Beban rumah tangga adalah untuk dikongsi bersama dengan lelaki atau wanita yang kita pilih sebagai teman hidup kita hingga ke hujung nyawa.

“Sekarang saya semakin selesa dan bahagia. Ke mana sahaja suami pergi saya akan dibawa bersama. Malah dia juga akan membelikan saya pakaian baru lengkap untuk ke majlis berkenaan jika inginkan perubahan pada penampilan saya.

“Saya tidak pernah rasa tersisih. Saya selalu merasa di hargai dan disayangi. Apatah lagi dengan kehadiran anak menantu dan cucu yang menceriakan lagi kehidupan saya dan suami.

“Saya sangat berterima kasih dan bersyukur kepada Allah dengan anugerah tidak ternilai ini.

“Saya juga berharap suami di luar sana akan mengambil iktibar dan mencontohi sikap suami saya ini. Walaupun mungkin tidak dapat melakukannya seratus peratus, memadai dengan sekadar yang mampu, sekurang-kurangnya isteri akan merasa dihargai dan disayangi.

“Saya tahu tidak semua isteri bernasib baik seperti saya tetapi saya berharap mereka tidak putus asa dan jangan putus berdoa mohon Allah kekalkan kasih sayang antara suami isteri, saling hormat-menghormati dan taat kepada perintahNYA.

“Semoga rumah tangga dan nikmat bahagia saya sekarang berkekalan dan Allah merahati kita semua di dunia dan akhirat, Amin!’’ kata Sham menamatkanceritanya.

Alhamdulillah, seronok saya dengan cerita sham, bertuah Sham mendapat suami yang sangat prihatin. Saya juga mendoakan yang sama untuk semua isteri di mana sahaja anda berada.

Susah senang bersama, itu amalan yang harus ada dalam rumah tangga. Suami isteri perlu ada sikap saling membantu, hormat-menghormati dan yang penting faham tanggungjawab masing-masing.

Wahai suami, belajarlah menghargai isteri, kerana mereka juga amanah Allah yang perlu dijaga dengan baik, bukan dijadikan hamba dan tempat melepas kemarahan.

Saya mengharapkan lebih ramai suami bersikap penyayang dan prihatin seperti suami Sham agar alam rumah tangga akan menjadi lebih harmoni dan membahagiakan hingga ke Jannah.

Menamatkan catatan, pesanan saya, ketika bersujud kepada Allah kita sebenarnya menerima dan bersyukur dengan berbagai-bagai nikmat yang telah diberikanNYA kepada kita.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman