Mahmud Abu Bekir, 51, juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam syarie, Akbardin Abdul Kader yang mewakili Shahnaz bahawa beliau seorang yang ganas dan sering melakukan serangan fizikal serta mental ke atas bekas isterinya itu sepanjang perkahwinan mereka.

Penafian itu dibuat setelah Akbardin menimbulkan beberapa kejadian serangan yang didakwa oleh Shahnaz dilakukan oleh bekas suaminya itu terhadapnya antara tahun 1994 dan 1998 di kediaman mereka serta di dalam kereta sehingga menyebabkan wanita itu cedera.

Anak kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud itu yang tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa kesemua kejadian itu telah berlaku, turut mendakwa keterangan Shahnaz itu adalah tidak benar dan rekaan semata-mata.


Mahmud Abu Bekir menyatakan demikian ketika memberi keterangan semasa pemeriksaan balas oleh Akbardin dalam perbicaraan kes tuntutan nafkah mutaah RM100 juta oleh Shahnaz, 51, yang juga kakak kepada penyanyi terkenal, Datuk Sheila Majid, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Selain tuntutan mutaah tersebut, Shahnaz selaku plaintif menuntut nafkah anak sebanyak RM121 juta dan RM300 juta bagi harta sepencarian.

Pasangan tersebut bernikah pada 9 Januari 1992 sebelum bercerai pada 11 Mei 2011 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya Abdul Taib Mahmud, 21.

Keterangan Mahmud Abu Bekir itu walau bagaimanapun didakwa oleh Akbardin sebagai 
satu penipuan kerana tuduhan sedemikian tidak pernah dijawab dalam pernyataan pembelaannya manakala keterangan Shahnaz di mahkamah berhubung isu itu tidak pernah dicabar pada peringkat pemeriksaan balas oleh peguam.

Terdahulu, Mahmud Abu Bekir berkata, beliau berusia 28 tahun dua bulan ketika berkahwin dengan Shahnaz yang dikenalinya sejak beliau (Mahmud) berusia 15 tahun ketika bersekolah di Victoria Institution (VI) manakala wanita itu pada waktu tersebut menuntut di Methodist Girls’ School di ibu negara.

Ahli perniagaan itu juga mengesahkan seperti dalam ke­terangannya sebelum ini bahawa rumah tangga mereka tidak bahagia sejak akhir 1994 apabila isterinya itu ketika itu sering mengawal gerak-geri dan cemburu terhadapnya.

Namun ketika disoal oleh Akbardin bahawa rumah tangga mereka bermasalah sejak anak mereka dilahirkan pada hujung tahun 1993 dan beliau keluar dari rumah mulai 1994 serta menghilangkan diri, Mahmud Abu Bekir menyatakan, perkara itu adalah tidak benar.

Dalam keterangannya, Mahmud Abu Bekir yang diwakili peguam-peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Sa’adiah Din, turut menafikan bahawa dalam tempoh dari 1992 dan 1999, beliau mempunyai hubungan dengan wanita-wanita dari Latvia dan Rusia.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Muhamad Abdul Karim Wahab bersambung 21 Januari tahun depan.