Chew Mei Fun
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Chew Mei Fun berkata, berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), jumlah anak tidak sah taraf pada 2009 ialah seramai 52,378 orang dan meningkat kepada 52,982 orang (2010), 53,788 orang (2011) serta 58,715 orang pada 2012.
“Sehingga Jun tahun lalu pula, seramai 14,239 anak tidak sah taraf direkodkan,” katanya ketika menjawab soalan Senator Shahanim Mohamad Yusoff dalam sidang Dewan Negara, hari ini.

Shahanim ingin mengetahui jumlah kes kelahiran anak luar nikah dan langkah yang diambil kerajaan bagi menangani isu berkenaan.

Mei Fun berkata, kementeriannya memandang serius masalah kelahiran anak luar nikah yang memerlukan kerjasama semua pihak seperti agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta, ahli akademik dan anggota masyarakat bagi menyelesaikannya.


Katanya, beberapa langkah jangka masa pendek dan panjang diambil bagi mengatasi masalah berkenaan termasuk menggubal Dasar dan Pelan Tindakan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan bertujuan melahirkan individu berpengetahuan dan mempunyai sikap positif dalam bidang kesihatan reproduktif serta sosial.

Selain itu, kata beliau, kementerian turut melancarkan kempen Kami Prihatin dengan kerjasama akhbar Utusan Malaysia, Persatuan Karyawan dan Astro Holdings Sdn. Bhd., pada 2010 bagi memberi kesedaran kepada masyarakat untuk bersama-sama menangani perbuatan membuang bayi.

“Diharapkan gejala kelahiran anak luar nikah ini akan dapat dikurangkan dan dibendung daripada berterusan menerusi pelbagai usaha yang telah dan sedang diambil,” katanya.