susanalbs@thestar.com.my
Sumber : MStar
Tarikh : 04/12/2014
PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Khamis menetapkan 27 Januari depan sebagai tarikh sebutan baharu bagi kes permohonan daftar nikah suami salah seorang penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.
Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Atrasina Mohd Zahrullail menetapkan tarikh itu selepas menerima permohonan plantif, Azrai Izet Mohamad, 38, agar kes ditangguhkan bagi urusan penyediaan dokumen.
Azrai Izet diwakili peguam syarie, Wan Amir Akram Zainal Abdin dari firma guaman, Tetuan Amir & Elly Associates.
Terdahulu, Azrai Izet memfailkan permohonan daftar nikah di mahkamah tersebut pada awal November lalu selepas bernikah dengan Suzieliana Zainuddin, 36, untuk kali kedua di Songkla, Thailand.
Bapa kepada empat anak itu menghadapi kesukaran untuk mendaftar nikah kali kedua kerana tidak dapat mengemukakan surat kebenaran isteri seperti yang dituntut walaupun isterinya merupakan penumpang pesawat MH370 yang hilang di Lautan Hindi.
"Sijil kematian isterinya juga tidak dikeluarkan, jadi sukar untuk bernikah kali kedua dalam negara, oleh itu pasangan itu ke Songkla, Thailand dan kini terpaksa memfailkan permohonan daftar nikah," kata sumber kepada mStar Online.
Menurut sumber, Azrai Izet telah bernikah kali kedua dengan seorang wanita yang berasal dari Muar, Johor dan bekerja di ibu negara.
"Majlis meraikan pasangan pengantin baharu ini juga dilangsungkan secara kecil-kecilan di sebuah homestay di Langat bulan lalu," katanya.
Isteri Azrai, Nor Fadzillah Mat Rahim, 39, merupakan antara 239 penumpang pesawat MH370 yang hilang pada awal pagi 8 Mac sebaik berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk ke Beijing.
Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari sama.
Sementara itu, Azrai Izet ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
"Maaf saya tak dapat komen hal peribadi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan