Tarikh : 20/12/20114
Jika sudah ditakdirkan jodoh sudah berakhir, tidak siapa boleh menolaknya melainkan menerimanya dengan reda dan tabah menghadapi hidup seterusnya.
Perceraian biasanya membawa pelbagai makna dalam hidup pasangan suami isteri. Ada yang langsung tidak bertegur sapa dan ada juga yang menjadi kawan baik selepas bercerai demi anak-anak.
Isu minggu ini sangat menarik. Pengakuan ikhlas seorang janda yang telah bernikah dengan anak teruna tetapi tidak diterima oleh ibu bapa dan keluarga suaminya. Apakah kesudahan cerita ini, kita ikuti pengakuan Amira (bukan nama sebenar) tentang kemelut yang dihadapinya.
Begini ceritanya.
“Saya berusia lewat 30-an, bekerja sebagai seorang pegawai bank. Saya telah bernikah dengan seorang lelaki yang saya kenal sejak zaman sekolah bernama Nasir (bukan nama sebenar) dan dikurniakan dua orang anak perempuan berusia antara 9 dan 7 tahun.
“Entah di mana silap saya dan Nasir, kami bercerai setahun lalu selepas gagal mengembalikan keharmonian rumah tangga akibat tidak lagi sefahaman. Walaupun kami berusaha, nyata perpisahan adalah jalan terbaik untuk kami.
“Anak-anak dijaga oleh saya dan Nasir tidak pernah abaikan tanggungjawabnya. Dengan status janda yang saya ada, tentulah banyak lelaki yang datang bertamu. Kebanyakannya suami orang dan ada juga anak teruna.
“Walaupun telah berusia lewat 30-an, saya masih lagi mendapat perhatian lelaki kerana saya amat menitik beratkan penampilan. Ke mana sahaja, saya akan menjaga pakaian, solekan dan gaya saya. Kata kawan-kawan, saya kelihatan seperti baru berusia 20-an, bukan memuji diri, itu kata mereka.
“Ditakdirkan saya berkenalan dengan seorang anak teruna berusia awal 30-an bernama Edi (bukan nama sebenar), seorang eksekutif di sebuah firma guaman. Dia enam tahun lebih muda daripada saya. Saya anggap ini bonus untuk saya walaupun ada kawan-kawan menasihatkan saya jangan berkawan dengan jejaka tersebut.
“Banyak yang negatif daripada yang positif terbit daripada mulut mereka tetapi saya pekakkan telinga dan tutup mulut. Saya tahu apa yang terbaik untuk saya. Kali ini, saya akan pastikan pisang tidak akan berbuah dua kali.
“Hubungan kami berjalan lancar. Enam bulan berkenalan sudah cukup bagi saya mengenal hati budinya. Saya tahu dia sayangkan saya dan tidak mengambil kira status saya sebagai janda.
“Anak-anak juga semakin mesra dan rapat dengan Edi. Orangnya sangat ramah, suka berjenaka dan tentunya kacak bergaya. Ramai kenalan dan teman sepejabat berkata saya bernasib baik dapat lelaki tampan walaupun sudah mempunyai dua orang anak. Saya hanya tersenyum dan menganggap itu semua ketentuan Allah.
“Hujung minggu kami selalu keluar bersama, menonton wayang dan adakala membawa anak-anak bersiar-siar. Malah saya merasakan Edi telah mengambil alih tanggungjawab yang sepatutnya dilakukan oleh Nasir.
Setiap kali keluar bersama, Edi berjaya menggembirakan anak-anak saya.
“Itu cerita tentang saya dan anak-anak bersama Edi. Di sebalik kegembiraan dan kebahagiaan yang saya nikmati itu, timbul pula masalah lain. Hubungan saya dan Edi tidak direstui oleh ibunya.
“Ibu Edi tidak merestui hubungan cinta kami kerana tidak sanggup melepaskan anak tunggal lelakinya itu bernikah dengan seorang janda beranak dua. Saya menangis mendengar khabar yang diberitahu oleh Edi.
“Berhari-hari saya berkurung dalam bilik, tidak pergi kerja dan tidak bertemu Edi. Tapi orang dalam bercinta, selama mana boleh bertahan kalau tidak bertemu. Akhirnya saya mengalah dan kami berjumpa semula seperti biasa.
“Edi tetap dengan keputusannya untuk bernikah dengan saya walaupun ibunya menghalang. Katanya dia akan memujuk ibunya supaya menerima saya. Usahanya gagal setelah berkali-kali mencuba. Sedangkan kami berdua memang tidak dapat dipisahkan lagi.
“Ibu bapa dan keluarga saya juga kerap bertanya tentang hubungan kami. Kata mak tak elok saya berkawan dengan Edi tanpa ikatan sah, tak manis dilihat jiran tetangga. Saya faham kata-kata mak.
“Enam bulan kami berusaha memujuk ibu Edi namun gagal. Akhirnya kami nekad bernikah juga tanpa restu ibu Edi. Semuanya berlaku dalam masa yang singkat. Majlis pernikahan saya berlangsung di rumah dan diwalikan oleh ayah saya sendiri.
“Keluarga Edi tidak hadir kecuali kawan-kawan rapat dan keluarga angkatnya yang bertindak sebagai wakil sebelah lelaki. Walaupun sedih dengan apa yang berlaku saya reda. Saya tahu Edi juga sedih tetapi kerana sayangkan saya, dia korbankan segala-galanya untuk membuktikan cintanya terhadap saya.
“Tidak ada majlis persandingan, tidak ada perarakan berkompang dan sebagainya kecuali jamuan ringan selepas akad nikah. Saya menjemput rakan-rakan pejabat dan kawan-kawan rapat untuk meraikan pernikahan kedua saya.
“Anak-anak juga ada bersama saya ketika saya sah menjadi isteri Edi... Walaupun masih kecil tetapi saya yakin mereka faham yang mereka sekarang sudah ada bapa baru. Saya menangis ketika Edi mencium dahi saya semasa membatal air sembahyang dan kemudian menyarungkan cincin ke jari manis saya.
“Ketika merenung wajah Edi saya nampak air matanya bergenang, tentu dia sedih kerana hari bersejarahnya itu tidak dihadiri oleh ibu bapa dan keluarganya. Saya tahu dia menangis di dalam hati. Saya terharu kerana dia buat semua ini untuk saya.
“Saat itu saya juga tahu, Edi terputus hubungan dengan ibu bapa dan keluarganya, itu syarat yang telah dinyatakan oleh ibunya. Dan saya sangat berharap hubungan Edi dan ibunya akan pulih secepat mungkin.
“Kini, sudah empat bulan kami menjadi suami isteri. Masih tidak nampak tanda-tanda yang ibu Edi akan menerima saya dan anak-anak. Malah Edi juga belum pulang ke kampung halamannya sejak menjadi suami saya.
“Katanya, biarlah keadaan reda dan hati ibunya kembali sejuk. Insya-Allah, kita perlu banyak berdoa kepada Allah mohon dibuka pintu hati ibu untuk menerima kita, itu yang selalu Edi pesan.
“Walaupun begitu saya tetap tidak tenang. Sedih dengan pernikahan yang tidak direstui ini dan kasihankan Edi yang terpaksa berpisah dengan ibunya dan keluarga kerana saya.
“Apa pun saya tetap berdoa setiap kali solat agar keadaan akan berubah. Saya sangat berharap Allah makbulkan doa saya untuk menyatukan semua Edi dengan keluarganya dan mereka juga menerima saya dan anak-anak.
“Salahkah saya berahwin dengan anak teruna kerana saya seorang janda? Kami juga manusia yang perlu hidup gembira dan bahagia dengan orang yang kami sayang. Tetapi kenapa mentua saya tidak boleh menerima kehadiran saya sebagai menantu?
“Apa pun saya tidak menyesal dengan jodoh ini dan saya selalu berdoa agar satu hari nanti, keluarga Edi akan menerima saya dan anak-anak. Saya sangat sedih kerana sehingga kini Edi belum balik untuk berjumpa ibu bapanya walaupun kami sudah empat bulan menjadi suami isteri.
“Saya juga menasihatinya supaya pulang berjumpa ibunya tetapi dia enggan dengan alasan akan balik jika saya ikut sama... buat masa ini saya masih belum bersedia untuk berdepan dengan ibu dan keluarga Edi.
“Sejak bernikah, hati saya tidak tenang. Asyik terkenangkan apa yang akan berlaku pada masa depan. Adakah Edi dapat bertahan dengan kerenah ibu dan keluarganya? Macam-macam yang saya fikirkan. Saya hanya pasrah, mohon Allah lembutkan hati mentua saya untuk menerima saya sebagai menantu.
“Untuk sementara ini saya perlu sabar, berdoa dan bertawakal semoga ada bahagia untuk saya dan Edi dalam masa terdekat.
“Seperti orang lain, saya juga teringin mencium dan memeluk mentua saya. Saya sedar siapa saya dan saya tahu, status saya menjadi penghalang. Tapi saya tidak pernah putus asa. Saya juga berharap Edi tidak akan berubah kasih dan setia dengan saya sampai ke hujung nyawa,’’ begitu doa Amira sebelum menamatkan ceritanya.
Itulah yang dikatakan jodoh, tidak siapa boleh menolaknya bila sudah ditakdirkan berlaku. Untuk pengetahuan Amira, jangan salahkan status atas perkahwinan ini, kerana semuanya ketentuan Ilahi.
Cuma Amira perlu faham hati seorang ibu. Setiap ibu inginkan yang terbaik untuk anaknya terutama anak lelaki tunggal. Tentu dia inginkan seorang gadis yang disukainya sebagai menantu. Berilah sedikit ruang kepada mentua anda untuk berfikir dan bertenang. Saya tahu hatinya terguris dengan tindakan anaknya, Edi menikahi anda. Malah tentunya dia tidak pernah terfikir yang anak tunggal lelakinya itu akan bernikah dengan seorang janda beranak dua.
Insya-Allah, berkat doa dan kesabaran, satu hari nanti, saya percaya anda dan anak-anak akan diterima oleh ibu Edi sebagai menantu. Jangan putus berdoa... semoga rumah tangga yang dibina kekal bahagia selamanya.
Menamatkan catatan pesanan saya, ketika bersujud kepada Allah, kita sebenarnya menerima berbagai-bagai nikmat yang telah diberikan-Nya kepada kita.
Salam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan