Tarikh : 01/12/2014
KUALA TERENGGANU 30 Nov. – Kes keganasan rumah tangga di negara ini yang meningkat berterusan sejak 2010, mula menunjukkan kadar penurunan agak ketara tahun ini kepada tahap 11 peratus sehingga September lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Pembangunan Wanita, Che Azizah Che Rashid memberitahu, berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sejak Januari lalu, sejumlah 3,673 kes dicatatkan berbanding 4,123 kes dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.
“Pada tahun-tahun sebelum ini, statistik menunjukkan peningkatan bermula tahun 2010 sebanyak 3,173 kes, 3,277 kes (2011) dan 3,488 kes (2012) dan 4,123 kes (2013),'' katanya ketika ditemui pada Program Perbincangan Meja Bulat Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Zon Timur di Hotel Permai di sini, semalam.
Kira-kira 200 peserta yang mewakili pelbagai NGO dari Terengganu, Kelantan dan Pahang menghadiri program itu.
Yang turut hadir Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri, Saharuddin Mohd Kia.
Kata Che Azizah, antara faktor yang menyumbang kepada penurunan kes adalah kerana kempen berterusan oleh kementerian dan kesedaran orang ramai untuk tidak lagi menyembunyikan gejala itu.
"Sebelum ini kesedaran orang ramai untuk tampil ke hadapan dan melaporkan kejadian kurang kerana beberapa faktor antaranya malu atau takut. Namun begitu tidak dinafikan masih banyak kes keganasan yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa,’’ katanya.
Katanya, rekod PDRM juga menunjukkan statistik kes keganasan rumah tangga di sesetengah negeri terus meningkat termasuk Kelantan yang mencatatkan peningkatan dengan sebanyak 473 kes dilaporkan sejak Januari hingga September lalu berbanding sebanyak 413 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.
“Terengganu pula mencatatkan 177 kes tahun ini berbanding 178 pada tahun lalu dalam tempoh yang sama manakala Pahang mencatatkan 175 kes pada tahun ini berbanding 165 kes pada tahun lalu,'' ujarnya.
Katanya, kebanyakan kes berpunca daripada kecurangan pasangan, cemburu, selisih faham, masalah kewangan dan kerenah anak-anak.
Che Azizah berkata, jabatan sentiasa mengadakan pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kes keganasan rumah tangga dengan tujuan memberi perlindungan kepada mangsa.
“Talian Nur 15999 disediakan untuk memudahkan mangsa atau orang ramai membuat aduan bagi mendapatkan perlindungan, kebajikan, kes pembuangan bayi, penderaan, kaunseling dan masalah sosial remaja,’’ katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan