Jumaat, 29 Ogos 2014

Isteri lari ikut teman lelaki

SAYA tak sangka dia sanggup tinggalkan anak kami yang masih menyusu semata-mata kerana mahu lari bersama teman lelakinya. Sedih hingga menitik air mata saya melihat anak kami yang menangis dahagakan susu ibunya. Namun, apakan daya saya kerana isteri berkeras dengan kemahuannya," kata Azam (bukan nama sebenar) yang ditemui secara tidak sengaja bersama ibunya di sebuah restoran baru-baru ini.

Azam merupakan anak kepada seorang kawan saya yang telah lama tidak bertemu. Semasa pertemuan itu, dia membawa bersama anak perempuannya, Huda yang kini sudah berumur tiga tahun.

Dialah yang melayan kerenah Huda, menyuapkan makanan dengan sabar dan menemani ke tandas. Melihat gelagatnya, saya lantas bertanya, di manakah ibu Huda.

Tidak dapat menyembunyikan perkara yang benar, Azam tidak segan bercerita. Bukan hendak menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri, tujuan bercerita cuma atas dasar kasihan kepada anak tunggalnya itu.

Menurut Azam, dia dan bekas isterinya, Ain (bukan nama sebenar) berkahwin atas dasar suka sama suka.

Khamis, 28 Ogos 2014

Kemelut gantung tidak bertali

Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga
Tarikh : 27/08/2014

KITA sering mendengar seorang isteri mengadu dia digantung tidak bertali. Kisah penderitaan seorang wanita yang digantung tidak bertali sering dipaparkan di dalam khabar mahupun melalui drama dan pementasan. Namun apakah sebenarnya, gantung tidak bertali?

Ia adalah satu perbuatan yang dilakukan oleh suami dengan meninggalkan isteri dan anak-anaknya tanpa memberi sebab dan tanpa memberitahu di mana dia berada.

Dalam bahasa undang-undang, gantung tak bertali adalah tinggal langsung. Di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003, tinggal langsung tidak ditakrifkan tetapi adalah satu kesalahan. 

Ezany mahu teruskan kes nusyuz

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN
faizal.nazaruddin@kosmo.com.my
Sumber : Kosmo
Tarikh : 27/08/2014

PETALING JAYA - Pelakon Ezany Nizariff bertekad mahu meneruskan kes nusyuz iaitu perintah kembali taat terhadap isterinya, Lizda Nuryanti Abidin yang bertindak keluar dari rumah kelamin mereka di Seri Kembangan pada 17 Julai lalu.
Ezany atau nama sebenarnya Mohd. Zani @ Mohd. Zohri Mohd. Nizariff, 41, memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Subang Bestari dekat sini hasrat berkenaan ketika sebutan kesnya di hadapan Hakim Syarie Mohd. Nurulazhar Mohd. Tohar semalam.
Mohd. Nurulazhar menasihati pelakon yang terkenal dengan jolokan 'tauke belacan' itu agar melantik peguam syarie bagi mengendalikan kes tersebut.
Mahkamah kemudian menetapkan 3 September ini bagi sebutan kes nusyuz terbabit dan permohonan cerai oleh isterinya Lizda Nuryanti, 32, diadakan serentak pada pukul 9.30 pagi.
Lizda Nuryanti bagaimanapun tidak hadir pada prosiding itu.


Rabu, 27 Ogos 2014

Suami dan harta isteri

Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga
Tarikh : 21/08/2014

SEBELUM ini saya pernah membincangkan mengenai isu harta sepencarian. Tetapi, ia lebih fokus kepada hak isteri dalam menuntut harta sepencarian itu.

Ekoran itu ada yang tampil menanyakan bagaimana pula hak suami dalam menuntut harta sepencarian. Adakah suami boleh menuntut harta sepencarian terhadap isteri jika mereka bercerai?

Oleh itu, artikel kali ini akan mengupas perkara-perkara yang membabitkan suami dan harta sepencarian.

Tuntutan terhadap harta sepencarian ini sebenarnya hanyalah adat, namun diiktiraf oleh Undang-undang Keluarga Islam di setiap negeri dan boleh dituntut dengan sebab berlakunya perceraian, poligami atau kematian.

Selasa, 26 Ogos 2014

Rita tuntut mutaah RM300,000 daripada Aidil

Sumber : Utusan Malaysia - Mahkamah
Tarikh : 26/08/2014

SHAH ALAM 25 Ogos - Pelakon Rita Rudaini menuntut bayaran mutaah berjumlah RM300,000 daripada bekas suaminya, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini.

Dalam sebutan kali pertama kes itu hari ini, Rita, 38, hadir ditemani peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain yang mewakilinya, namun Mohd. Aidil Zafuan gagal hadir.

Kes itu disebut di hadapan pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Atrasina Mohd. Zahrullail di kamar hakim.
Beliau kemudian menetapkan 11 September ini untuk sebutan semula kes itu.

Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar memfailkan tuntutan mutaah itu mengikut Seksyen 58 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 pada 7 Julai lalu.

Tuntutan mutaah iaitu pemberian saguhati daripada suami kepada isteri yang diceraikan tanpa sebab yang munasabah berdasarkan syarak.

Dalam pada itu, Mohd. Zaidi berkata, pihaknya telah menyerahkan notis saman kepada Mohd. Aidil Zafuan untuk hadir pada sebutan kes hari ini.

Walau bagaimanapun, ketua pasukan Harimau Malaya itu tidak hadir tanpa memberi sebarang alasan kepada mahkamah.

Difahamkan beliau masih belum melantik peguam bagi kes berkenaan.

Mohd. Zaidi berkata, Mohd. Aidil Zafuan, 27, juga gagal hadir pada proses sulh (perbincangan secara baik) yang telah ditetapkan mahkamah pada 14 Ogos lalu.

Rita dan Mohd. Aidil Zafuan bernikah secara rahsia pada Februari 2008 lalu di Songkhla, Thailand dan sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan pada September tahun lalu.

Pada 8 November 2012, Rita menuntut RM5,392 sebulan untuk nafkah dua anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2, yang meliputi perbelanjaan makan minum, pengasuh dan lampin pakai buang.

Keputusan kes itu akan didengar pada 10 Disember ini di Mahkamah Rendah Syariah daerah Petaling, Subang Bestari dekat sini.

Isnin, 25 Ogos 2014

Cabaran besar wanita bangunkan keluarga

Oleh : Dr Nurhidayah Hashim
Sumber : Berita Harian - Agama
Tarikh : 07/08/2014

Peranan sebagai pekerja, ibu, isteri tugas berat perlu sokongan suami

Menurut bancian tahun 2010, negara kita mempunyai 28.3 juta penduduk terdiri daripada 14.56 juta lelaki dan 13.77 juta wanita. Merujuk kepada jam populasi Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2014 kita sudah mencecah 30 juta penduduk dan jumlah wanita turut meningkat. Sedar atau tidak, wanita adalah jumlah yang ramai dan memainkan peranan penting dalam menjayakan kelestarian masyarakat. Ada ketikanya wanita memainkan peranan sebagai anak kepada ibu bapanya, isteri, ibu dan ahli masyarakat. Bagi yang bekerjaya, mereka memainkan peranan sebagai pekerja.

Tidak boleh ambil mudah peranan wanita

Dari sudut pandangan Islam, peranan wanita tidak boleh dipandang mudah. Beberapa kata-kata pujangga menyebut, “Tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia”, menunjukkan kedudukan serta peranan besar yang dimainkan wanita dalam membangun keluarga serta masyarakat.

Masyarakat mempunyai wanita yang terdidik, beriman dan jelas peranannya adalah masyarakat yang berjaya. Atas dasar itu lahirnya kata-kata hikmah, “Apabila baik wanitanya, baiklah seluruh masyarakat, apabila rosak wanitanya, rosaklah seluruh masyarakat”.

Menjayakan peranan mereka, wanita wajar mengambil berat beberapa perkara penting khususnya menjadi hamba Allah dan khalifah-Nya. Ia mendesak wanita memahami dan meraikan peranan itu dengan mendalami ilmu akidah, ibadah, akhlak dan sebagainya.

Meletakkan matlamat hidup untuk mendapat keredaan Allah SWT membantu wanita meletakkan kepentingan mengikut turutan yang betul. Sibuk manapun dengan tugas, mereka tidak meninggalkan solat, menjaga pergaulan serta batasan aurat.

Sebagai isteri, wanita adalah teman rapat, penyokong, penasihat, perawat, pengurus dan pembantu suami. Walau setinggi mana jawatan di tempat kerja, wanita sebagai isteri perlu menunjukkan rasa hormat kepada suami sebagai nakhoda keluarganya.

Rasulullah SAW bersabda: “Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan di dunia adalah wanita yang solehah.”

Sabtu, 23 Ogos 2014

Rozana Dedah Awie (Wings) Tidak Pernah Daftar Nikah Sejak Kahwin

Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI
qayumazizi@thestar.com.my
Sumber : MStar Online
Tarikh : 22/8/2014

KUALA LUMPUR: Isteri kepada penyanyi Awie iaitu Rozana Misbun hanya menyedari perkahwinannya selama ini yang telah mencecah lapan tahun tidak pernah didaftarkan di negara ini selepas dia merujuk masalah rumah tangganya di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kira-kira dua bulan lalu.

Rozana, 36, berkata, suaminya pernah memberitahu kepadanya sebelum ini perkahwinan mereka di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005 telah didaftarkan dan dia terkejut apabila diberitahu tiada sebarang rekod perkahwinan mereka berhubung perkara itu.

"Selepas tragedi 2 Jun lalu saya pergi ke Jawi dengan niat untuk mendapatkan khidmat kaunseling berhubung masalah rumah tangga kami dan apabila mereka semak surat perkahwinan kami di setiap negeri, ia tiada dalam rekod.

"Pada ketika itulah baharu saya mengetahui perkahwinan kami masih belum didaftarkan sepanjang sembilan tahun berkahwin," katanya kepada mStar Online.

Jumaat, 22 Ogos 2014

Awie bantah permohonan Rozana ketepi perintah hak jaga anak

Sumber : Utusan Malaysia - Mahkamah
Tarikh : 22/08/2014

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Penyanyi dan pelakon, Awie mengemukakan bantahan awal di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini terhadap permohonan isterinya untuk mengetepikan perintah hak penjagaan (hadanah) sementara ke atas tiga anak mereka yang diperoleh artis itu, 21 Julai lalu.

Awie turut mengemukakan bantahan terhadap permohonan Rozana Misbun, 36, untuk membatalkan permohonan injunksi yang difailkan secara ex-parte (sebelah pihak) olehnya pada 16 Julai lalu untuk menghalang wanita itu daripada mendekati atau menghubunginya dan anak-anak mereka dalam apa jua cara sekalipun.

Peguam syarie, Mohd. Hafizal Parcho yang mewakili Awie memaklumkan, bantahan itu dikemukakan berikutan permohonan Rozana itu adalah di luar tempoh masa yang dibenarkan oleh mahkamah iaitu 14 hari setelah perintah berkenaan diserahkan kepada isteri anak guamnya itu pada 24 Julai lalu.

Beliau turut memohon agar mahkamah mendengar terlebih dahulu bantahan awal yang difailkan hari ini sebelum meneruskan prosiding bagi permohonan yang dikemukakan oleh Rozana.

Hakim Syarie, Mohd. Amran Mat Zain yang mendengar kes itu kemudian menetapkan 18 September ini keputusan bantahan awal yang dikemukakan Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 46, terhadap permohonan Rozana.

Khamis, 21 Ogos 2014

Mahkamah Tolak Permohonan Lisan Rozana Terhadap Awie & Media

Oleh: KEMALIA OTHMAN
kamelia@thestar.com.my
Sumber : MStar Online
Tarikh : 21/8/2014

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Khamis menolak permohonan isteri penyanyi, Awie iaitu Rozana Misbun, 36, yang dibuat secara lisan bagi menukar hak lawatan terhadap anak-anak yang ditetapkan iaitu di kediaman artis itu di Ukay Bistari, Ampang ke kediaman bapa Rozana di Pantai Hill Park, Bangsar di sini.

Mahkamah juga menolak permohonan Rozana agar mahkamah mengeluarkan perintah tegahan terhadap media daripada mengeluarkan sebarang berita yang boleh menimbulkan prejudis terhadapnya dan menganggu perjalanan kes.

Hakim Syarie, Mohd Amran Mat Zin membuat keputusan menolak permohonan itu yang dikemukan peguam Rozana iaitu Majdah Muda dengan alasan pihak plaintif gagal mengemukakan permohonan secara teratur mengikut prosedur.

"Segala permohonan hendaklah dibuat secara teratur dan bukannya secara lisan.

"Mahkamah tidak mempunyai halangan untuk media membuat laporan selagi ia tidak memprejudiskan kes dan subjudis terhadap perjalanan kes," hujahnya.

Tuntutan nafkah anak Rita Rudaini 10 Dis

Oleh : TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN
Tarikh : 20 Ogos 2014
Sumber : MStar Online

MAHKAMAH Rendah Syariah Subang menetapkan 10 Disember depan untuk keputusan bagi permohonan pelakon, Rita Rudaini Mokhtar, 38, terhadap tuntutan nafkah dua orang anaknya bersama Kapten Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abdul Razak, 27.

Keputusan itu dibuat Hakim Syarie, Abd Halim Abu Samah selepas selesai sesi soal semula bagi prosiding tersebut.

Pada sesi soal balas oleh peguamnya, Roslan Sujak Rafiee, Aidil Zafuan memberitahu mahkamah bahawa perbelanjaan bulanan RM5,500 yang dibayar kepada isterinya pada ketika itu adalah termasuk bayaran sewa rumah kelamin.

Roslan : Kenapa tidak sediakan duit sewa rumah selepas kamu berpindah ke rumah baru?

Aidil Zafuan : Majikan saya ketika itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menyediakan rumah secara percuma.

Selasa, 19 Ogos 2014

Wanita 6 suami

Oleh : Rizanizam Abdul Hamid
Sumber : Harian Metro - Setempat
Tarikh : 18/08/2014


Kuala Lumpur: Lelaki yang memilih untuk bernikah di negara jiran terutama menggunakan khidmat sindiket perlu bersedia berdepan pelbagai risiko termasuk wanita pilihannya itu mungkin berstatus isteri kepada lebih daripada seorang lelaki.

Pengerusi Pertubuhan SukaGuam Malaysia (SukaGuam) Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, pihaknya yang mengendalikan kes berkaitan dengan undang-undang syariah menerima banyak aduan berkaitan masalah dihadapi lelaki yang bernikah di negara jiran.

“Ada satu kes, lelaki berumur 38 tahun terkejut apabila mendapati isteri yang baru dua hari dinikahinya berada bersama lelaki lain di dalam sebuah bilik ketika dia cuba membuat kunjungan mengejut.

Sabtu, 16 Ogos 2014

Kelangsungan hidup selepas perceraian

Oleh : Prof Dr Najibah binti Mohd Zin
Sumber : Kosmo (Varia) - Wanita & Undang-undang
Tarikh : 15/08/2014





PASANGAN yang telah bercerai perlu meneruskan hubungan yang baik agar anak-anak tidak merasai kehilangan kasih sayang ibu dan bapa mereka. - Gambar hiasan



SABAN hari saya masih lagi menerima banyak kes yang melibatkan perceraian. Ia sama ada melalui permohonan cerai di mahkamah syariah atau melalui lafaz cerai oleh pihak suami di luar mahkamah.

Kedua-dua bentuk perceraian tersebut mempunyai prosedur yang tersendiri dan pasangan yang hendak bercerai hendaklah mengambil tahu tentang prosedur yang telah ditetapkan undang-undang.

Peruntukan undang-undang dan prosedur ini bertujuan untuk mengawal berlakunya perceraian di luar mahkamah.

Ia juga berfungsi untuk menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat, terutamanya wanita, selepas berlaku perceraian.

Selain itu, ia berperanan dalam mengurangkan kadar perceraian dengan melaksanakan usaha perdamaian kedua-dua pasangan bertelagah melalui proses yang telah ditentukan oleh undang-undang.


Jumaat, 15 Ogos 2014

Tiada lagi cinta

Sumber : Utusan Malaysia (Bicara Agama)
Tarikh : 14/8/2014

LIYA tidak mampu lagi menanggung derita hidup. Baginya, perkahwinan yang dibina lima tahun lalu, tiada lagi harapan untuk dipulihkan. Apakan daya, semua ini mungkin berpunca daripada sikap degilnya yang mahu bersatu dengan Hasif, sekalipun tahu, dia bukan pilihan Hasif.

Namun kedegilan serta tekadnya untuk bersuamikan Hasif, Liya sanggup melakukan apa sahaja. Malah di pernah buat kerja gila dengan memandu seorang diri nun jauh ke utara untuk memujuk Hasif agar berkahwin dengannya. Dia tidak kisah apa orang akan kata kepadanya. Hatinya, jiwanya dan cintanya hanya kepada Hasif.

Lantaran desakan demi desakan daripada Liya, akhirnya keluarga Liya bersetuju memenuhi permintaannya untuk ‘melamar’ Hasif. Walaupun dalam keadaan serba salah, hasrat Liya dituruti. Maka bermulalah episod ‘meminang’ yang sudah tentu memeranjatkan keluarga Hasif.

Rabu, 13 Ogos 2014

Saranan memilih pasangan beragama

Oleh : Prof Dr Najibah Mohd Zin
Sumber : Kosmo - Varia (Wanita & Undang-Undang)
Tarikh : 30 Mei 2014
  


PERCERAIAN seringkali dianggap penyelesaian konflik rumah tangga tetapi kesannya amat besar kepada keluarga. - Gambar hiasan




KERUNTUHAN institusi kekeluargaan merupakan satu isu global yang semakin membimbangkan lantaran kadar perceraian sentiasa meningkat.

Meskipun dibenarkan dalam hukum Islam, tetapi perceraian adalah satu perkara yang sangat dibenci oleh Allah SWT kerana kesan dan akibatnya sangat besar kepada sesebuah institusi kekeluargaan.
Ia disebabkan rumah yang sepatutnya menjadi tempat percambahan minda dan pembesaran yang sempurna tidak dapat berfungsi untuk melakukan tugas tersebut.

Hadis Rasulullah SAW menyebut bahawa antara perkara yang dibenci oleh Allah tetapi halal ialah perceraian.

Walaupun banyak sebab yang dikaitkan dengan perceraian tetapi isu utama yang menjadi penyebab kepada perkara ini ialah kurangnya kefahaman agama untuk menjadi panduan dalam mengemudikan hubungan perkahwinan.

Ahad, 10 Ogos 2014

Islam tidak menganiaya wanita

Sumber : Unit Undang-undang, Dewan Muslimat PAS Pusat
Tarikh : 25/12/2005

KERAJAAN Islam Hadhari di bawah pimpinan UMNO telah memberikan pukulan maut kepada perjuangan wanita Islam di Malaysia.

Pindaan kepada Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 yang dibawa ke Dewan Negara minggu ini menunjukkan betapa tidak prihatinnya kerajaan terhadap hak dan masalah yang dihadapi oleh wanita Islam di Malaysia.

Rang undang-undang ini telah dibawa ke Dewan Rakyat baru-baru ini dan diluluskan tanpa sebarang perbahasan. Lebih buruk lagi, 19 orang Senator Barisan Nasional di Dewan Negara yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap rang undang-undang ini telah diberi kata dua oleh Menteri (seorang lelaki) supaya meluluskannya. Ini menunjukkan penggunaan kuasa menteri secara tidak bermoral sedangkan cadangan pindaan tersebut, jika diluluskan, akan memberikan implikasi yang amat besar kepada wanita Islam di Malaysia.

Pada bahagian pendahuluan Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 telah dinyatakan bahawa akta ini mengkanunkan perkara-perkara mengenai perkahwinan, perceraian, nafkah, penjagaan dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan kehidupan keluarga. Sejak akta ini diluluskan pada tahun 1984 hingga tahun 2005, iaitu selama 21 tahun, akta ini telah mengalami 4 kali pindaan termasuk pindaan yang baru dibuat baru-baru ini. Pindaan yang dibentangkan ke Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada minggu ini adalah pindaan yang kelima dan kedua pada tahun 2005. Sebagai seorang yang beragama Islam, persoalan utama yang timbul di sini adakah pindaan yang dicadangkan itu selaras dengan hukum Islam dan selari dengan maqasid syariah (tujuan pensyariatan Islam) ?

Belum cerai sudah kahwin

Oleh : Dr. Abdul Salam Muhammad Shukri
Sumber : Harian Metro 
Ruangan : Fikrah Dr. Salam
Tarikh : 08/08/2014

Saya ingin tahu mengenai masalah seorang isteri yang belum diceraikan oleh suaminya, tetapi dia sudah bernikah dengan lelaki lain.
Apakah hukum perbuatannya itu? 
Keliru 
Kuala Lumpur

Jumaat, 8 Ogos 2014

Nurul Izzah, suami gagal selesai kes cerai

Sumber : Berita Harian - Skuad
2014/08/08

Kuala Lumpur: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim semalam gagal mencapai penyelesaian dalam kes cerai mereka di Mahkamah Rendah Syariah.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie, Ab Malek Awang, semalam, peguam Nurul Izzah, Nor Mawaddah Ramli, memaklumkan kedua belah pihak masih lagi berusaha untuk menyelesaikan kes secara baik meskipun laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dibentangkan pada 26 Jun lalu menyatakan tiada lagi ruang untuk pasangan itu berdamai.     

Nurul Izzah adalah plaintif dalam kes itu.

Nor Mawaddah memohon satu tarikh lain bagi merekodkan hasil perbincangan itu sebelum tindakan seterusnya diputuskan mahkamah.

Perkara itu dipersetujui peguam Zulkifli Che Yong yang mewakili Raja Ahmad Shahrir Iskandar.

Zulkifli juga memohon mahkamah tetapkan tarikh lantikan hakam jika tiada penyelesaian dicapai pada tarikh keputusan penyelesaian itu, 3 September ini.

Hakam adalah jawatankuasa dilantik oleh mahkamah untuk menasihati suami melafazkan talak tetapi sekiranya suami masih enggan maka hakam akan melafazkan talak bagi pihak suami.

Nurul Izzah memfailkan permohonan cerai awal Januari lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Khamis, 7 Ogos 2014

Isteri Awie Tidak Hadir

Sumber : Harian Metro
7/8/2014

Kuala Lumpur: Proses sulh (perbincangan) antara penyanyi rock terkenal, Awie dan isterinya menemui kegagalan berikutan wanita itu tidak hadir tanpa sebab di Pejabat Sulh, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, semalam.

Pada perjumpaan semalam, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, dan Rozana Misbun, 36, sepatutnya berbincang secara baik mengenai hak penjagaan kekal (hadanah) tiga anak mereka selepas penyanyi itu mendapat perintah hak penjagaan sementara oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 22 Julai lalu.

Bagaimanapun, proses Sulh selama 10 minit itu hanya dihadiri Awie di hadapan pegawai bertugas iaitu Surayah Ramlee.

Ketika ditemui media di luar mahkamah, vokalis kumpulan Wings itu memberitahu dia tidak mengetahui punca sebenar isterinya gagal hadir pada proses Sulh itu dan hanya dimaklumkan mengenai perkara itu menerusi pesanan faks yang di hantar ke mahkamah, kelmarin.

“Sepatutnya ada perbincangan tapi dah dia (Rozana) tak ada, maka tiada perbincanganlah.

“Saya tak pasti kenapa dia tak datang, mungkin datang bulan kot,” seloroh pelakon popular menerusi filem Sembilu dan Hantu Kak Limah itu.

Sementara itu, peguam syarie Mohd Hafizal Parcho yang mewakili Awie memberitahu, berikutan kegagalan Rozana hadir pada perbincangan itu, pihak mahkamah menetapkan 3 September ini untuk sebutan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi Syariah.

Isnin, 4 Ogos 2014

Ezany Tolak Permohonan Cerai Isteri Cara Baik

Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI
qayumazizi@thestar.com.my
Sumber : Mstar Online
Diterbitkan: Isnin, 4 Ogos 2014 1:31 PM

SHAH ALAM: Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini pada Isnin membenarkan permohonan pelakon Ezany Nizariff untuk menolak permohonan cerai secara baik yang dibuat isterinya Lizda Nuryanti Abidin, 32, pada 17 Julai lalu.

Hakim Syarie, Mohd Nurulazhar Mohd Tohar membuat keputusan itu selepas Ezany memberitahu mahkamah dia sudah memfailkan permohonan nusyuz (perintah kembali taat) terhadap Lizda pada 22 Julai lalu.

Mohd Nurulazhar bagaimanapun memerintahkan pasangan berkenaan membentuk satu jawatankuasa pendamai bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka sebelum kes berkenaan disambung semula pada 3 September depan.

Pergolakan rumah tangga pasangan berkenaan tercetus selepas Ezany atau nama sebenarnya Mohd Zani @Zohri Mohd Nizariff, 41, mengakui isterinya minta diceraikan sebelum dia membuat laporan polis berhubung dakwaan wanita berkenaan dilarikan oleh seorang lelaki dikenali pada 17 Julai lalu.

Ezany ketika itu memberitahu dia tidak mempunyai pilihan selain terpaksa membuat laporan di Balai Polis Kinrara, Serdang selepas isterinya tidak pulang ke rumah selama tiga hari.

Sementara itu, Ezany ketika ditemui diperkarangan mahkamah memberitahu, dia tetap akan meneruskan dengan permohonan nusyuz terhadap isterinya biarpun wanita berkenaan meminta diceraikan secara baik.

Jelas Ezany, perkara itu adalah yang terbaik buat masa ini selepas mendapat khidmat nasihat peguam mengenai kes berkenaan.
|
"Buat masa ini saya ikut apa yang dinasihatkan oleh peguam dan selebihnya kita tunggu pada perbicaraan nanti," katanya.

Tambah pelakon itu, dia juga telah menfailkan dua lagi tuntutan di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung hak penjagaan sementara dan hak penjagaan kekal terhadap dua anak mereka.

"Insya-Allah kes berkenaan (penjagaan anak) akan disebut di mahkamah pada 25 dan 27 Ogos ini dan anak-anak kini tinggal bersama saya selepas isteri bertindak keluar rumah sejak 19 hari lalu," katanya.

Ezany dan Lizda diijabkabulkan mereka pada 1 Julai 2007 dan mereka dikurniakan dua orang anak.

Ahad, 3 Ogos 2014

Setiap Syawal, bekas suami tidak pedulikan anak

Oleh : Normala Hamzah
Tarikh : 2/8/2014
Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga


PERCERAIAN memisahkan isteri dan suami. Tetapi tidak anak-anak. Bagaimanapun, ia menjadikan anak-anak berada dalam keadaan tertekan dan terpinggir tanpa kasih sayang kedua-dua ibu bapa.

Perhatian yang seharusnya diberikan oleh ibu dan ayah terkandas di tengah jalan kerana kedua-dua orang tua yang sepatutnya menjaga mereka membawa haluan masing-masing setelah ikatan sah terlerai.

Adakah ini yang terbaik untuk mereka? Atau mengundang masa depan yang samar?

Keadaan akan menjadi lebih sukar apabila bapa yang sepatutnya bertanggungjawab memberi nafkah untuk anak-anak lepas tangan dan menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada bekas isteri.

Namun hidup mesti diteruskan. Dalam apa juga keadaan anak-anak perlu dibesarkan, diberi didikan sempurna dunia akhirat agar mereka menjadi manusia berguna.

Inilah kisah yang ingin saya kongsi dengan pembaca minggu ini, kisah anak-anak yang rindukan ayah yang tidak memikul tanggungjawab dan melupakan anak-anak setelah berlaku perceraian.

Besarkah kuasa suami?

Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga
Tarikh : 24/07/2014

Abang! Tolong! Tolong sayang!" Sambutan ulang tahun kelahiran yang ke-23 Shafikah Ismail disambut dengan jeritan perit kesakitan apabila disimbah petrol dan dibakar oleh suami sendiri dalam kejadian di Kampung Abi Padang Machang, Kangar, baru-baru ini.

Tidak dapat dibayangkan kesakitan yang ditanggung oleh Shafikah yang tubuhnya terbakar 85 peratus.

Kejadian itu berlaku pada pukul 9.30 pagi, apabila suami Shafikah memulakan harinya dengan bertindak kejam dan amat zalim ke atas isteri yang berada di bawah lindungan dan tanggungjawabnya.

Sedangkan mereka baru seminggu berkahwin. Namun kerana cemburu buta suaminya sanggup menghukum si isteri dengan begitu azab sekali.

Tanpa menghirau tangisan memohon simpati dan lolongan kesakitan, suami kesayangan rela melihat isteri diratah api. Di manakah nilai kemanusiaan seorang suami?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman