Ahad, 6 April 2014

Tuduhan isteri berzina perlu ada bukti kukuh - Peguam Syarie Menulis

Oleh : Musa Awang
Tarikh : 09/05/2012
Sumber : Berita Harian

Jika tidak benar, pasangan boleh nafi dengan bersumpah di mahkamah syariah

SALAH satu alasan difailkan suami di Mahkamah Syariah sama ada dalam tuntutan suami bagi mengisytiharkan isteri nusyuz, derhaka, atau semasa membela tuntutan cerai oleh isteri ialah menuduh isteri ada hubungan atau berzina dengan lelaki lain.

Dalam sesetengah keadaan yang lain, ada suami menafikan kandungan yang dikandung isteri daripada darah dagingnya sendiri. Kedua-dua tuduhan ini suatu yang serius dan amat berat dalam Islam, walaupun tuduhan itu hanya dibuat secara bertulis semasa membela tuntutan perceraian isteri.

Suami yang menuduh isteri melakukan zina perlu membuktikannya dan ini menjadi beban melainkan beliau sendiri nampak dengan mata kepalanya atau dapat mengemukakan saksi di mahkamah.

Sebaliknya, jika suami tidak melihat kejadian itu atau tiada saksi yang menyaksikan isterinya berzina, tetapi dia yakin perkara itu berlaku, suami diharuskan oleh hukum syarak untuk bersumpah li’an (menuduh isterinya berzina atau menafikan nasab anak yang dikandung isterinya).

Suami yang bersumpah li’an hendaklah bersumpah empat kali ‘bahawa dia adalah orang yang benar’ dan pada kali kelimanya, ‘bahawa dia akan dilaknati Allah jika dia berdusta’.

Tuduhan suami hanya akan bersabit selepas isteri tidak mahu bersumpah. Jika isteri menafikan tuduhan suami dan sanggup bersumpah, maka segala tuduhan suami dengan sendirinya akan tertolak.
Sama seperti suami, isteri perlu bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali ‘bahawa suaminya itu berdusta’ dan pada kali kelimanya ‘bahawa dia akan dilaknati Allah jika suaminya benar’.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Adapun orang yang menuduh isterinya berzina sedangkan mereka tidak ada saksi (empat orang) kecuali hanya dirinya saja maka persaksian bagi orang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sesungguhnya dia adalah orang yang benar. Dan sumpahan yang kelima bahawa laknat Allah akan menimpanya jika dia berdusta. Dan untuk menghindarkan seksa terhadap isteri yang tertuduh itu hendaklah si isteri bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sumpahan yang kelima hendaklah dia berkata kemungkaran Allah akan menimpa dirinya.” (Surah An-Nur, ayat 6-9)

Tuntutan untuk kedua-dua sumpah ini perlu dilakukan di Mahkamah Syariah. Oleh itu, suami usahlah terlalu mudah membuat tuduhan terhadap isteri jika tiada bukti kukuh.

Menurut hukum syarak, jika yang menuduh (suami) enggan bersumpah, maka dia akan dikenakan hukuman qazaf dengan sebatan sebanyak 80 kali rotan. Had qazaf hanya akan gugur jika beliau bersumpah.

Jika isteri yang dituduh pula tidak menafikan atau menolak tuduhan suaminya dengan bersumpah li’an, maka tuduhan suami boleh disabitkan sebagai benar dan isteri akan dikenakan hukuman seperti hukuman ke atas orang yang berzina.

Tetapi jika kedua-duanya bersumpah li’an, maka ia akan memberi kesan besar kepada hubungan suami isteri. Apabila kedua-duanya bersumpah dan melakukan li’an, maka ikatan perkahwinan akan terputus dan mereka diharamkan berkahwin semula buat selama-lamanya.

Ibnu ‘Abbas meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Suami isteri yang melakukan li‘an apabila mereka berdua berpisah, kedua-dua mereka tidak boleh berkumpul (berkahwin) untuk selama-lamanya.” (Hadis riwayat Daruqutni)

Seksyen 50A, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 memperuntukkan: Jika pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan telah mengangkat sumpah dengan cara li'an mengikut hukum syarak di hadapan Hakim Syarie, apabila penghakiman, maka Hakim Syarie itu hendaklah memerintahkan mereka difarakkan dan dipisahkan dan hidup berasingan selama-lamanya.

Hakim Syarie diberi kuasa untuk memerintahkan perkahwinan suami isteri itu dibubarkan, setelah salah seorang atau kedua-duanya bersumpah li’an di Mahkamah Syariah.

Tuduhan zina adalah suatu tuduhan yang berat, lebih-lebih lagi jika tuduhan dibuat terhadap isteri sendiri. Usah membuat tuduhan jika tiada bukti kukuh. Jika seorang suami tidak lagi mempercayai kejujuran isteri, maka gunakanlah kuasa talak dengan sebaiknya dan ceraikan isteri secara baik.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Talak itu dua kali, maka hendaklah kamu pegang secara makruf atau kamu lepaskan secara ihsan.” (Surah al-Baqarah, ayat 229)

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan boleh dihubungi di alamat e-mel maa46050@yahoo.com

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman