Sabtu, 5 April 2014

Bicara kes pelanggaran tuntutan RM4.4j, 29 April

Sumber : Utusan Malaysia - Mahkamah
Tarikh : 25/03/2014

KUALA LUMPUR 24 Mac - Mahkamah Tinggi Syariah di sini menetapkan 29 April ini untuk mendengar permohonan tunjuk sebab pelanggaran perintah bayaran tuntutan RM4.404 juta yang difailkan oleh bekas isteri ahli perniagaan, Datuk Rosman Ridzwan.

Peguam syarie, Siti Nor Aira Mat Johar yang mewakili Hayati Mohammad, 55, selaku pemohon memaklumkan demikian selepas kes itu disebut di hadapan Pendaftar, Halimatun Sa'adiah Mohd. Mahdee.

Rosman, 57, selaku responden yang tidak pernah hadir sepanjang sebutan kes sebelum ini, bagaimanapun hadir hari ini selepas waran tangkap dikeluarkan ke atasnya.

Menurut Siti Nor Aira, Rosman yang diwakili oleh peguam syarie, Yusmawati Ab. Ilah memfailkan pernyataan pembelaannya hari ini dan menafikan dakwaan bekas isterinya berhubung pelanggaran perintah pembayaran tersebut.

Menurut Siti Nor Aira, menerusi pernyataan pembelaannya, Rosman turut menafikan menerima sebarang saman daripada pemohon selain mendakwa, tidak menerima sebarang perintah mahkamah.

Menurutnya, dia hanya mengetahui mengenai tuntutan yang dibuat oleh Hayati melalui laporan akhbar.

Pada 22 Mac 2013, mahkamah mengeluarkan perintah supaya pengarah syarikat telekomunikasi itu membayar RM4.404 juta kepada Hayati merangkumi bayaran mutaah (RM2.826 juta), nafkah tertunggak (RM1.52 juta), edah (RM30,000) dan hutang membaiki rumah berjumlah RM28,393.

Bagaimanapun, Rosman gagal membayar jumlah itu dan Hayati memfailkan permohonan pada 9 Disember tahun lalu untuk mendapatkan kebenaran mengeluarkan notis tunjuk sebab secara ex-parte (sebelah pihak) terhadap Rosman.

Pasangan berkenaan berkahwin pada 27 Disember 1980, dikurniakan lima anak dan berpisah secara taklik pada 1 Mac 2007.

Rosman juga pernah berkahwin dengan dramatis Noniswara atau nama sebenarnya Monis Wara Baharuddin, 45, pada 31 Julai 2009 dan mereka bercerai secara taklik pada 18 Julai 2013.

Pada 28 September 2009, Rosman didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah memukul bekas isterinya, Azura Ibrahim pada 2005.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140325/ma_01/Bicara-kes-pelanggaran-tuntutan-RM44j-29-April#ixzz2xL6UFWjO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman