Oleh : Nurhidayah Muhd Hashim
Sumber : Berita Harian
Tarikh : 2008
DEWASA ini pelbagai kisah negatif dilaporkan di media berkenaan kecelaruan sistem sosial masyarakat termasuk sistem kekeluargaan. Contohnya, media pernah menyiarkan ramai pasangan berkahwin, tetapi akhirnya bercerai dalam tempoh tidak sampai 10 tahun perkahwinannya atas pelbagai alasan.
Ada kes suami didakwa mencederakan dan melakukan penderaan ke atas isteri menggunakan senjata tajam hingga menyebabkan kecederaan pada badan isteri. Seorang bapa ditahan atas dakwaan merogol anaknya yang masih kanak-kanak.
Mahkamah Sesyen di sebuah negeri juga dilaporkan pernah menjatuhkan hukuman penjara 60 tahun ke atas seorang bapa yang mengaku merogol anak gadisnya sendiri berumur 15 tahun.
Media juga sebelum ini ada melaporkan ramai anak berstatus profesional yang mewah hidupnya mengambil tindakan menghantar ibu bapa ke rumah orang tua atas alasan ibu bapa uzur dan tidak boleh menjaga kebajikan mereka.
Pada masa sama, laporan mengenai pembabitan anak muda dengan dadah, menjadi mat rempit, berlumba motosikal secara haram, bergaduh sesama mereka, merompak, terbabit dalam gejala seks bebas juga tidak pernah habis diperkatakan. Belum lagi membabitkan masalah buli di sekolah, ponteng kelas, melepak tanpa tujuan, merokok dan sebagainya.
Semua ini secara tidak langsung menjadi satu petanda bahawa sistem sosial kita berada dalam keadaan yang agak celaru, sakit dan perlu diubati segera. Semua masalah yang berlaku tidak boleh dinafikan sedikit sebanyak mempunyai hubungkait dengan keluarga.
Rumah tangga yang bercelaru menyebabkan anak dalamnya terganggu jiwanya. Pasangan yang selalu bergaduh juga tidak mempunyai ketenangan dalam jiwa mereka. Kebahagiaan dapat dicapai apabila hati tenang dan gembira.
Hati menjadi tenang apabila urusan sekeliling terutama membabitkan orang yang disayangi berada dalam keadaan baik. Orang yang disayangi itu pula ibu bapa, adik-beradik, pasangan dan anak yang lahir daripada satu perkahwinan dibina.
Hati yang tenang juga sebenarnya datang daripada kehidupan yang berkat dan dipenuhi cahaya rahmat oleh Allah. Walau sekaya mana pun kita, kita tidak boleh membeli bahagia dan ketenangan.
Merujuk urusan rumah tangga, apabila seorang perempuan menerima lamaran untuk menjadi isteri kepada mana-mana lelaki, dia sebenarnya sudah menyerahkan hampir keseluruhan dirinya untuk berada bawah lembayung dan jagaan lelaki itu.
Segala kasih sayang yang ada dan ketaatan diberikan kepada lelaki berkenaan. Isteri juga selalunya bersedia pula berkongsi semua perkara dan menerima suaminya sebagai ketua rumah tangga yang dibina. Wanita perlu mengambil inisiatif memastikan dia tidak tersalah pilih pasangan.
Orang tua menyebut cinta itu buta. Kerana ia buta, maka ramai wanita mencintai dan berkahwin dengan lelaki yang tidak diketahui latar belakangnya. Begitu juga ramai lelaki mengahwini wanita yang belum dikenali keturunan dan agamanya.
Dalam keadaan masyarakat yang agak gawat ini, kita menyarankan supaya wanita merujuk kepada ibu bapa dan memastikan restu ibu bapa sebelum berumah tangga. Justeru, kahwin lari ke mana-mana tempat untuk mengelakkan masalah wali bapa seharusnya dielakkan.
Pada masa sama, setiap orang juga wajar membuat sedikit kerja rumah menyiasat latar belakang bakal pasangan. Orang tua dulu pernah berpesan dalam menyiasat latar belakang bakal suami, lihat bagaimana dia berhubungan dengan ibu bapa dan keluarganya. Apakah dia seorang yang menyayangi ibunya, mengasihi dan melindungi adik-adiknya serta boleh dibawa berbincang dalam menangani sesuatu masalah?
Jika ada ciri itu, besar kemungkinan dia akan turut melayani dan melindungi isteri dan anak dengan baik selepas perkahwinan. Jika dia seorang yang cepat mengamuk, pantang tersilap akan menengking dan memerintah ibunya, tidak mengasihi dan mengambil berat terhadap adiknya, maka ia petanda supaya wanita itu wajar berhati-hati sebelum mengambil keputusan yang memberi kesan kepada keseluruhan kehidupannya pada masa depan. Begitulah sebaliknya.
Dalam satu kajian yang pernah dijalankan terhadap kira-kira 100 kes tuntutan cerai di Mahkamah Syariah, kira-kira 70 kes menuntut cerai fasakh atas alasan suami mendera, melayani dengan kasar, memukul isteri di depan anak dan orang tidak berkenaan serta tidak memberi nafkah.
Dalam keterangan diberi, sebahagian besar mengakui suami adalah seorang yang panas baran, suka memukul, terbabit dengan dadah daripada awal perkahwinan, malas bekerja, pantang tersilap, maka terus memukul isteri dan ada juga yang memaksa isteri menjadi pelacur.
Di samping itu, ada kes suami dan ayah yang tidak menunaikan tanggungjawab dengan baik, anak lelaki yang meninggalkan kebajikan ibu bapa, tidak menghulurkan sebarang sumbangan kewangan selepas berkahwin dan melebihkan isteri dalam segala hal berbanding ibunya.
Termasuk menghantar ibu bapa ke rumah orang tua. Ini juga adalah perkara besar dan perlu ditangani dengan baik. Tidak ada sebarang alasan membolehkan anak membuang ibu bapa sama ada tidak sanggup, malas atau malu menjaga ibu bapa yang uzur.
Rasulullah SAW banyak berpesan supaya setiap kita berusaha memilih pasangan yang baik, beragama dan menjalankan tanggungjawab dengan baik. Beragama tidak hanya menjadikan Islam sebagai agama anutannya, tetapi menjadikan agama sebagai landasan hidupnya, beramal dengan peraturan agama, menghayati halal haram, dosa pahala, menjadikan rahmat dan berkat Allah adalah matlamat dalam kehidupannya.
Semua pihak perlu menggembleng tenaga membina dan membaiki kegawatan masyarakat. Pihak kerajaan, media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu terbabit sama menangani isu ini. Di samping perlunya pendekatan undang-undang, mungkin antara usaha yang wajar dibuat adalah pihak berwajib perlu menambah baik kandungan.
Pendekatan kursus praperkahwinan dengan tajuk yang relevan kepada isu itu di samping membina kekuatan jiwa pasangan untuk patuh kepada agama. Mungkin kursus pascaperkahwinan kepada pasangan sudah berkahwin juga perlu dilaksanakan untuk membina semangat beragama di samping memberi ilmu keibubapaan, menyuburkan kasih sayang antara pasangan, menangani tekanan dan sebagainya yang bersesuaian demi membaiki kegawatan masalah dalam masyarakat.
Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Semua tulisan boleh dilayari di http://peguamsyarie.blogspot.com/ dan sebarang komentar boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan