Sabtu, 12 April 2014

Keperluan memberi nafkah

Oleh : Prof Dr Najibah bt Mohd Zin
Sumber : Kosmo - Varia
Tarikh : 11/04/2014


BEBERAPA minggu yang lepas, kita membincangkan mengenai kewajipan suami dan isteri dalam perkahwinan. Minggu ini kita akan memfokuskan kepada satu tajuk yang sangat penting dalam kewajipan berumah tangga.

Ia berkenaan memberi nafkah keluarga demi menjaga kelangsungan kehidupan dan juga mengelakkan daripada berlakunya darar iaitu kemudaratan disebabkan kesempitan hidup.

Oleh sebab itu, tanggungjawab memberi nafkah diletakkan di atas bahu ketua keluarga iaitu suami atau bapa sebagai tanggungjawab asasi.

Al-Quran telah meletakkan secara jelas tanggungjawab ini ke atas suami atau bapa sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud: "Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.

"Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada).

"Kemudian jika kedua-duanya iaitu suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan yang telah dicapai oleh mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat apa jua yang kamu lakukan."

Walaupun ayat di atas lebih menjurus tentang hubungan kekeluargaan selepas berlaku perceraian, apa yang menarik untuk dijadikan pengajaran ialah sikap tanggungjawab melengkapi keperluan anak, ibu dan juga kebajikan bapa tersebut adalah sangat dituntut walaupun telah berpisah.

Ibu juga berperanan untuk memastikan anak tersebut berterusan mendapat penyusuan daripadanya demi kelangsungan hidupnya dan tidak menyusahkan bapa untuk mengupah orang lain atau memaksanya mengeluarkan belanja di luar kemampuannya.

Nafkah anak

Begitu juga pihak bapa tidak boleh menyusahkan si ibu yang telah menyusukan anaknya atau melarang melihat anaknya selepas penyusuan.

Walaupun begitu, tanggungjawabnya memberi nafkah anak adalah berterusan sehingga anak tersebut mencapai umur tertentu dan boleh berdikari mencari rezekinya sendiri.

Bagi anak perempuan, tanggungjawab nafkah berterusan sehingga anak tersebut berkahwin. Jika bapa telah tiada tanggungjawab ini hendaklah dipikul oleh waris untuk memastikan kebajikan anak tersebut terpelihara sehingga mencapai umur tertentu.

Masih terdapat dalam kalangan masyarakat umum yang tidak memahami tentang makna nafkah. Nafkah merujuk kepada keperluan asas iaitu makan minum, pakaian, tempat tinggal dan juga khidmat pembantu rumah jika ada keperluan dan berkemampuan.

Namun, keperluan tersebut hendaklah juga melihat kepada status sosial isteri dalam masyarakat. Ini bermakna keperluan tersebut hendaklah sempurna.

Sebagai contoh, keperluan kepada tempat tinggal hendaklah bersesuaian dengan status isteri dari segi keperluan yang ada dalam rumah tersebut seperti peralatan rumah dan apa-apa jua keperluan lain yang bersangkutan dengan keadaan dalam rumah tersebut seperti akses kepada bilik air dan juga mempunyai tempat untuk privasi.

Ini untuk mengelakkan sikap sambil lewa dan sikap acuh tidak acuh dalam memenuhi keperluan pasangan dalam perkahwinan.

Oleh kerana tanggungjawab nafkah ini adalah sangat penting dan asasi, tuntutan nafkah boleh dibuat walaupun tanpa kebenaran suami melalui perintah mahkamah.

Di dalam riwayat daripada Saidatina Aisyah r.a bahawa Hindun bt. Utbah telah berjumpa dengan Rasululullah SAW dan berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufian (suaminya) adalah seorang yang kedekut. Dia tidak memberi belanja yang cukup untuk saya dan anak-anak kami kecuali jika saya ambil dengan tidak diketahuinya."

Rasulullah SAW menjawab: "Ambillah sekadar yang cukup untuk keperluan kamu dan anak-anak kamu dengan cara yang baik."

Tuntutan nafkah

Undang-undang keluarga Islam negeri-negeri mempunyai peruntukan yang jelas terhadap tuntutan nafkah isteri. Seorang wanita yang telah berkahwin boleh memohon di mahkamah syariah dari semasa ke semasa untuk mendapatkan nafkah mengikut hak yang diperuntukkan dalam undang-undang Islam.

Diperuntukkan juga bahawa isteri tidak berhak mendapat nafkah jika ia tidak taat kepada suami dan suami boleh memohon kepada mahkamah untuk mendapat perintah nusyuz. Kemudian, suami tidak lagi perlu untuk membayar nafkah kepada isteri selepas mendapat perintah mahkamah.

Perintah pembayaran nafkah yang dibuat oleh mahkamah syariah boleh dikuatkuasakan dengan membuat attachment of earnings orders iaitu mendapatkan perintah yang diserahkan kepada majikan untuk membuat pemotongan gaji suami.

Jika suami tidak berupaya membayar nafkah disebabkan kecacatan fizikal dan tidak mempunyai harta, isteri bolehlah memohon perintah tersebut dipindahkan kepada keluarga lelaki sebelah suami iaitu waris lelaki yang berhak mendapat harta pusaka.


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman