Sabtu, 5 April 2014

Didakwa hina agama Islam

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my
Tarikh : 28/03/2014

PUTRAJAYA 27 Mac - Bekas aktivis politik dan sosial, Dr. Kassim Ahmad dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini atas dua tuduhan iaitu menghina agama Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama dalam sebuah seminar pada Februari lalu.

Kassim, 81, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang didakwa dilakukan dalam Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian 'Hala Tuju Bangsa dan Negara Malaysia Untuk 30 Tahun Akan Datang'.

Seminar tersebut diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, No. 1, Jalan PBH, Presint 8 di sini antara pukul 9 pagi dan 5 petang, 16 Februari lalu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menghina agama Islam ketika membentangkan satu skrip ucapan yang bertajuk 'Ucapan Kepada Konferensi Politik Nasional Untuk Menentukan Hala Tuju Malaysia Untuk 30 tahun Akan Datang' dengan mengatakan Nabi Muhammad tidak perlu dimuliakan dan rambut wanita bukan aurat.

Pada masa yang sama, Kassim turut didakwa mengingkari pihak berkuasa agama dengan memetik dua buku tulisannya yang telah diharamkan oleh Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan iaitu 'Hadis Suatu Penilaian Semula' dan 'Hadis Jawapan Kepada Pengkritik'.

Pertuduhan pertama dibuat mengikut Seksyen 7(B) dan pertuduhan kedua, Seksyen 9, masing-masing di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Ibrahim Deris yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan sekiranya dibenarkan, beliau meminta mahkamah mengenakan wang jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan.

Kassim yang tidak diwakili peguam syarie pula memohon agar dibenarkan diikat jamin dengan jumlah yang rendah memandangkan dia menghadapi masalah kesihatan, tidak mempunyai pendapatan tetap dan bergantung kepada bantuan kewangan tiga orang anak.

Hakim Syarie, Umamuddin Yunus kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bermastautin di Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi kedua-dua pertuduhan sementara menunggu sebutan kes pada 7 April ini.

Tertuduh dibebaskan setelah menjelaskan wang jaminan tersebut.

Kassim yang mencetuskan kontroversi berhubung kenyataannya berunsur anti hadis baru-baru ini, ditahan penguat kuasa Jawi dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di rumahnya, di Taman Kulim Perdana, Kelab Golf Kulim, Kedah semalam.

Polemik mengenainya tercetus selepas beliau dalam seminar itu mengeluarkan kenyataan mendakwa Islam di negara ini diseleweng selain mengkritik sistem ulama Islam yang disamakan dengan 'kasta paderi.'

Ekoran kenyataan berkenaan, pelbagai pihak mengecam Kassim sehingga menyebabkan Jakim dan Jawi menahannya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140328/ma_01/Didakwa-hina-agama-Islam#ixzz2xL7CZlKe
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman