Selasa, 15 April 2014

Kes cerai teman lelaki Hanez Suraya diselesai cara baik


KLANG 14 April - Tuntutan cerai fasakh suri rumah Nurliyana Manan terhadap suaminya, Romie Razin Adilha Abd. Jais yang juga teman lelaki pelakon Hanez Suraya mungkin akan ditarik balik jika penyelesaian secara baik berjaya dicapai oleh kedua-dua pihak.

Peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman yang mewakili Nurliyana, 29, memaklumkan Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini, jika persetujuan berjaya dicapai, pihaknya akan mengemukakan permohonan baharu iaitu perceraian secara talak mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Menurut beliau, Romie Razin, 34, selaku defendan melalui peguam syarie, Rubiah Jaafar memaklumkannya hari ini untuk menyelesaikan kes tersebut secara rundingan namun Rubiah memerlukan sedikit masa untuk berbincang dengan Romie Razin.

“Kami sebagai pihak plaintif menyambut baik hasrat Romie untuk menyelesaikan kes ini secara baik, seterusnya jika ia berjalan lancar kami akan mengemukakan permohonan baharu," kata Kamar Ainiah.

Ketika ditanya Hakim Syarie, Zainal Abidin Kusmin sama ada rundingan itu akan tetap berakhir dengan perceraian bukannya perdamaian, Kamar Ainiah memberitahu, agak sukar mencapai perdamaian kerana banyak isu yang berbangkit antara kedua-dua pihak.

Rubiah kemudian mencelah dan memaklumkan mahkamah, perbincangan untuk berdamai antara kedua-dua pihak telah diadakan sebelum ini namun gagal kerana isu berbangkit itu.

Sehubungan itu, Zainal Abidin membenarkan kedua-dua pihak mengadakan rundingan bagi penyelesaian secara baik itu agar isu mengenai hak masing-masing selepas bercerai selesai secara harmoni.

Beliau memberi tempoh sehingga 16 Jun ini untuk kedua-dua pihak mencapai kata sepakat namun jika gagal, perbicaraan akan diteruskan.

Nurliyana memfailkan permohonan cerai secara fasakh terhadap Romie pada 1 Oktober tahun lalu mengikut Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Nurliyana hadir ke mahkamah dengan ditemani ahli keluarganya namun Romie Razin tidak hadir kerana tidak sihat.

Sementara itu Nurliyana yang ditemui pemberita di luar mahkamah memberitahu tidak mungkin sama sekali dia dan suaminya akan berdamai.

Sepanjang perkahwinan, pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140415/ma_02/Kes-cerai-teman-lelaki-Hanez-Suraya-diselesai-cara-baik#ixzz2yvyoFhEz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman