Oleh : Zainul Rijal Abu Bakar
Sumber : Berita Harian
Tarikh : 17/09/2008
Kajian mendalam hukum Islam tepis tanggapan diskriminasi terhadap wanita
SEJAK akhir-akhir ini banyak isu agama dikupas ahli masyarakat dengan berpandukan kaca mata agama lain, Barat atau menggunakan akal semata-mata dengan mengetepikan aspek Islam seperti perundangan, epistemologi dan maqasid al-Shariah yang sudah sebati dalam undang-undang Islam. Antara perkara sering dipertikaikan ialah diskriminasi terhadap wanita yang dikatakan berlaku dalam undang-undang harta pusaka atau faraid. Golongan ini menghujahkan tidak adil apabila Islam memberikan hak dua kali ganda kepada lelaki.
Hujah mereka diperkuatkan lagi dengan mengambil kira kedudukan wanita kini yang sudah berjaya dalam karier dan ada yang mendapat saraan lebih daripada lelaki. Ramai juga lelaki Islam kini bergantung kepada wanita dalam membantu meningkatkan taraf hidup keluarga. Jika perkara ini dilihat daripada kaca mata masyarakat moden tentu kita dapati seolah-olah ada kejelikan dalam hukum Islam dan memberi tanggapan ia ketinggalan zaman. Adakah ini benar?
Jika kita memakai lensa Islam bersandarkan al-Quran dan sunnah, pasti kita melihat isu ini dari sudut berlainan dan membawa keadilan lebih sejagat serta keindahan falsafah perundangan Islam.
Dalam kes pembahagian harta pusaka, kita tidak boleh mengehadkan pengkajian kepada pembahagian harta pusaka saja. Sebelum itu, kita perlu memahami kedudukan pasangan Islam yang menekankan tanggungjawab menanggung keluarga digalas sepenuhnya oleh suami sebagai ketua keluarga. Jika suami tidak berkemampuan, saudara mara terdekat suami harus mengambil alih tanggungjawab itu dan ia tidak berpindah kepada isteri atau keluarga isteri sekali pun isteri kaya melainkan dengan keredaan isteri. Apabila suami memperoleh harta atau wang, sebenarnya dalam harta itu ada hak orang lain seperti isteri, anak, ibu dan bapa. Namun jika isteri memperoleh harta atau wang, harta itu milik isteri dan suami tidak boleh mengambilnya tanpa keredaan.
Berbalik kepada pembahagian pusaka, jika melihat dari konteks Islam pasti kita menghayati keadilannya kerana walaupun lelaki menerima sekali ganda hak berbanding wanita, tanggungjawab dipikul mereka amat berat dan sebahagian besar daripada harta itu mesti dibelanjakan untuk orang lain.
Bagi wanita pula, harta adalah milik mutlaknya. Akhirnya kita dapati dari segi jumlahnya, penerimaan lelaki dan wanita lebih kurang sama dan dalam banyak keadaan lelaki menerima kurang.
Jika kita melihat keadilan atau kesamarataan itu bermakna satu adalah sama dengan satu seperti dipelopori Barat, tentu kita sukar menerima ketetapan Allah dalam hukum pusaka. Jika kita melihat keadilan ialah meletakkan hak kepada yang berhak seperti diperjuangkan Islam, pasti cara pembahagian harta pusaka amat menggembirakan kita. Masyarakat Islam keseluruhannya juga akan mendapat manfaat kerana dalam beberapa keadaan lain, Baitulmal mendapat agihan pusaka bagi menjaga kepentingan umat Islam amnya.
Dalam kes talak pula, memang hak melafazkan talak diberikan kepada suami. Isteri tidak boleh talak suami dalam keadaan apa sekalipun tetapi hanya boleh menebus talak daripada suami dengan memberi bayaran dipersetujui bersama. Ramai yang mendakwa keadaan ini mendiskriminasi wanita. Bagi menyanggah dakwaan itu, penelitian mendalam perlu dibuat dalam bidang kekeluargaan Islam. Apabila wanita Islam diceraikan suami tanpa sebab munasabah, suami dibebankan dengan pembayaran mutaah atau sagu hati akibat perceraian itu. Tanggungjawab memberi mutaah tidak sesekali berpindah kepada isteri. Jika isteri diberi hak mentalak suami, pasti isteri juga perlu memberi mutaah kepada suami. Inilah neraca kawalan yang disediakan Islam dalam konteks talak.
Tidak timbul persoalan penganiayaan terhadap wanita kerana tidak mendapat hak talak terhadap suami kerana jalan keluar lain sudah disediakan Islam seperti pembubaran perkahwinan melalui fasakh dan taklik. Perceraian bukan saja dilakukan melalui talak, malah cara lain lagi seperti fasakh, takliq, tebus talak dan lian. Alternatif ini perlu diteroka bagi mendapatkan keadilan bagi wanita dalam membubarkan perkahwinan mereka.
Islam memang adil. Kajian mendalam mengenai Islam perlu dilakukan sebelum kita membuat kesimpulan mengenainya. Memang ramai orang mampu bercakap mengenai Islam, tetapi segelintir yang boleh bercakap bagi pihak Islam.
Golongan itu adalah ulama yang mendambakan kehidupan mengkaji ilmu Allah. Jangan kita yang baru membaca beberapa buku mengenai Islam sudah berhujah mencari keburukan Islam. Tidak seharusnya kita mendahului ulama kerana setiap ilmu ada ahlinya tersendiri.
Perspektif Islam mungkin berbeza dengan pandangan lain kerana falsafah Islam digariskan Allah. Kadang-kadang ia melampaui kemampuan akal fikiran seseorang. Jadi terima dengan hati yang terbuka segala ketetapan Allah. Jangan teruja dengan kemampuan akal fikiran kerana akal juga dijadikan Allah dalam ruang yang terhad. Landasan disediakan Allah adalah yang benar membawa kebahagiaan abadi.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://www.peguamsyarie.org
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan