Selasa, 15 April 2014

Pendekatan rujuk berbeza

An-Nur: Bersama Zaharuddin Abd Rahman
Sumber :
Tarikh : xx/xx/2008

APABILA membicarakan soal rujuk, khabarnya Malaysia (mungkin ijtihad Malaysia) mengambil pendekatan yang sedikit berbeza apabila mereka mengambil fatwa yang berbeza dengan ijmak yang disebutkan oleh Imam Ibn Qudamah iaitu rujuk adalah dengan cara seorang lelaki melafazkannya.

Ini berdasarkan Seksyen 51 (8) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, terdapat beberapa perkara yang perlu dipenuhi oleh pasangan yang ingin merujuk.

Pertamanya: Suami hendaklah melafazkan niat untuk merujuk bekas isterinya.

Kedua: Bekas isteri perlu memberikan persetujuannya ke atas rujuk itu.

Selepas itu, suami dikehendaki menghantar permohonan ke mahkamah syariah untuk mendaftarkan rujuk.

Kemudian, mahkamah akan mengeluarkan perintah supaya pasangan yang bercerai tadi hidup semula sebagai suami isteri. Selepas proses rujuk itu lengkap, barulah suami boleh kembali kepada bekas isterinya.

Namun selepas disemak, sebenarnya Mahkamah Syariah mengiktiraf rujuk tanpa reda isteri, cuma sekiranya isteri enggan balik dengan suami (walaupun selepas ada lafaz rujuk dari suami, mahkamah tidak boleh memaksa isteri untuk tinggal sekali bersama suami semula (atas permohonan suami di mahkamah).

Sebagai jalan penyelesaian, Mahkamah Syariah akan melantik jawatankuasa pendamai (wakil kedua pihak dilantik untuk mencari penyelesaian).

Justeru, Mahkamah Syariah akan campur tangan jika ada keadaan yang berkaitan dengan keengganan untuk hidup bersama semula selepas berlaku rujuk dengan izin isteri atau tidak.

Namun begitu, keengganan isteri mestilah dibuat atas sebab yang munasabah dan diiktiraf syariah.

Oleh kerana itu, pihak berkuasa di Malaysia membuat keputusan dan ijtihad apabila meletakkan keperluan reda isteri bagi mengelakkan masalah makin rumit. Ia mungkin mengambil anjuran mazhab Syafie yang menggalakkan saja tetapi tidak mewajibkan: -

“Pandangan mazhab baru Syafie, tidak disyaratkan wujud saksi untuk sahnya rujuk, kemudian, (rujuk) juga tidak memerlukan kepada (persetujuan) wali dan juga persetujuan wanita (isteri), cuma ia digalakkan saja.” ( Nihayatul Muhtaj, 1/59).

Bolehkah rujuk tanpa lafaz?

Tidak terdapat khilaf bahawa rujuk yang dibuat secara berlafaz yang terang oleh suami di depan saksi adalah sah. Demikian juga secara bertulis.

Namun ada yang bertanya kepada saya sama ada ada cara lain. Bagaimana jika berlakunya persetubuhan dalam masa idah sebelum lafaz?

Ulama mazhab berbeza fatwa dalam hal ini seperti berikut:-

Hanafi: Sah rujuk sama ada dengan persetubuhan atau permulaan persetubuhan seperti sentuhan bersyahwat, ciuman, melihat kemaluan isteri dan lain-lain. Pandangan ini turut disebut oleh ramai ulama tabien seperti Sa’ad Ibn Musayyab, Hasan Al-Basri, Ibn Sirin, Ato’ Abi Rabah, Al-Awzai’e, Sufyan At-Thawry, As-Sya’biy dan lain-lain.

Maliki: Sah rujuk dengan persetubuhan dengan syarat si suami ada niat rujuk semasa persetubuhan itu berlaku. Namun ciuman, sentuhan dan lain-lain dengan syahwat saja tidak cukup untuk dianggap rujuk.

Syafie: Mazhab Syafie menolak rujuk melalui perlakuan tanpa lafaz secara total, sama ada persetubuhan, mahupun permulaannya sebagaimana pandangan Hanafi tadi.

Mazhab Syafie berfatwa sebarang persetubuhan pada waktu idah tanpa lafaz rujuk yang jelas terlebih dulu adalah haram.

Imam As-Syafie berkata: Ertinya, “Rujuk mestilah dengan percakapan (lafaz) dan bukannya dengan jimak dan lainnya, kerana tiada rujuk tanpa lafaz, maka tidak sah rujuk bagi seorang lelaki kepada wanita sehinggalah dia melafazkannya, sebagaimana tiada nikah dan talak yang dibuat tanpa lafaz, maka jika si lelaki melafazkannya (rujuk) semasa idah barulah sah rujuknya.” (Al-Umm)

Hanbali: Sah rujuk dengan persetubuhan namun tidak sah rujuk hanya dengan permulaan persetubuhan. Sama ada ia dilakukan dengan niat rujuk atau tidak.

Kesimpulan: Apapun pendapat pelbagai mazhab, sebagaimana yang telah saya dedahkan di atas, Malaysia mengambil mazhab Syafie yang mensyaratkan suami MESTI melafazkan rujuk terlebih dulu secara rasmi. Ia wajar dituruti.

Aurat isteri depan suami semasa idah

Benar, wajib secara sepakat seluruh ulama si isteri untuk tidak keluar dari rumah suami semasa idah dalam perceraian raj’ie (normal boleh rujuk) kali pertama dan kedua.

Si suami juga haram untuk menghalau isteri keluar dalam tempoh itu, malah suami masih wajib berikan belanja zahir kepada isteri di waktu idah. (Tafsir Al-Jassas, 5/348 : Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 18/154)

Namun, timbul persoalan jika isteri duduk di rumah suaminya, bagaimana dengan hal auratnya? Jawapannya mudah, menurut mazhab Syafie, isteri wajib menutup auratnya di dalam rumah itu.

Namun menurut mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali; tiada aurat yang perlu ditutup di depan suaminya sepanjang tempoh idah, kerana mereka masih dikira isteri dan akan automatik rujuk dengan persetubuhan.

Rujuk dalam kes tebus talak

Ada pun tebus talak ataupun khuluk, perceraian yang dilakukan atas dasar ini tidak mempunyai peruntukan rujuk, sama ada ia dianggap sebagai fasakh atau talak (berdasarkan perbezaan ijtihad ulama).

Namun, majoriti ulama silam dan kontemporari menyebutkan tiada rujuk bagi kes tebus talak. Malah, Imam As-Syawkani menyebut terdapat ijmak (persepakatan penuh) seluruh ulama bahawa tidak rujuk bagi kes tebus talak.

Ini adalah kerana talak itu jatuh dalam kategori talak Bain dan bukan talak Raj’ie (yang boleh dirujuk). (Nailul Awtar ; Mawsu'ah Al-Kuwaitiyah)

Cuma bezanya kali ini, wanita ada hak untuk terima jika si bekas suami tadi ingin rujuk juga dalam kes tebus talak. Ertinya, peruntukan asalnya suami tidak boleh rujuk seperti kes talak biasa, namun dalam kes tebus talak, lelaki hilang haknya untuk rujuk tanpa reda isteri. (Kasyyaf Al-Qina', Al-Bahuti)

Perlukah rujuk kepada saksi?

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, Imam Syafie dalam satu fatwanya menyatakan penyaksian dalam bab rujuk adalah wajib. Berdasarkan dalil firman Allah SWT bermaksud: “Apabila mereka telah mendekati akhir idahnya, maka rujuklah mereka dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan baik”. (At-Talaq: 2)

Namun, pendapat Abu Bakar ra, Imam Malik dan Abu Hanifah, saksi tidak wajib kerana ia langsung tidak memerlukan persetujuan dari pihak lain. Justeru, saksi hanyalah digalakkan saja namun ia tidaklah wajib.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman