Oleh : Yusmawati Ab Llah
Tarikh : 2014/03/19
Sumber : Berita Harian
Islam angkat martabat wanita sebagai pendamping, pelengkap lelaki
Islam mengangkat martabat dan kedudukan wanita di tempat yang mulia di sisi Allah SWT. Jika kita mengimbau sejarah silam jahiliah, kedudukan wanita dipandang hina sehingga ada yang sanggup membunuh anak perempuan kerana malu.
Pada zaman gelap jahiliah juga wanita tidak pernah diberikan tempat di mata masyarakat Arab jahiliah sehingga wanita dijadikan pelacur dan hamba kerakusan nafsu. Sebelum kedatangan Islam, seluruh umat manusia memandang hina wanita.
Sabda Rasulullah SAW: “Perlakukanlah wanita dengan baik kerana mereka itu diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok. Yang bengkok pada tulang rusuk adalah bahagian atasnya. Bila engkau terlalu keras meluruskannya ia akan patah, tetapi bila engkau biarkan ia tetap bengkok. Kerana itu perlakukanlah wanita dengan baik.”
Bangsa Yunani menganggap wanita sebagai alat untuk keseronokan dan kesenangan saja. Bangsa Rom memberikan hak kepada ayah atau suami menjual anak perempuan atau isterinya. Bangsa Arab memberikan hak kepada anak untuk mewarisi isteri ayahnya.
Lebih malang lagi, wanita tidak mendapat hak waris untuk harta pusaka dan tidak berhak memiliki harta benda. Malah, anak perempuan telah dibunuh hidup-hidup tanpa dosa dan kesalahan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan apabila seseorang dari mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya, dan dia sangat marah. Ia menyembunyikan dirinya daripada orang ramai, disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan atau akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup)? Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu.” (Surah an-Nahl, ayat 58)
Rahmat Allah SWT, cahaya Islam kemudian terbit menerangi kegelapan dengan risalah yang dibawa junjungan besar Nabi Muhammad SAW memerangi segala bentuk kezaliman dan menjamin setiap hak manusia tanpa terkecuali.
Islam mengangkat martabat wanita, malah surah dalam al-Quran dinamakan an-Nisa’ membicarakan kedudukan wanita dalam Islam. Islam membenarkan pembabitan wanita dan lelaki dalam upacara keagamaan, kegiatan sosial serta politik.
Islam lindungi hak wanita
Islam juga melindungi hak wanita memiliki harta dan kekayaan melalui pewarisan, wasiat serta undang-undang. Menerusi perkahwinan, Islam memberikan hak kepada wanita terhadap mahar dan mas kahwin serta nafkah yang semuanya diwajibkan kepada lelaki.
Peruntukkan undang-undang syariah di negara ini juga dibuat bagi melindungi hak wanita yang dikahwini daripada sebarang bentuk penganiayaan. Seksyen 52 (1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan memperuntukkan isteri boleh menuntut cerai fasakh.
Kebenaran itu berdasarkan 12 sebab antaranya berlaku keganasan rumah tangga, pengabaian nafkah atau ketidakadilan dalam berpoligami.
Sungguhpun begitu, masih terdapat salah faham mengenai hak dan kedudukan wanita. Barat khususnya bersungguh-sungguh memperjuangkan hak asasi wanita yang sememangnya menyalahi hukum syarak seperti kebebasan seksualiti, kebebasan berpakaian dan persamaan jantina.
Akibatnya, di Barat, wanita menjadi pesaing kepada lelaki, bukan pendamping atau pelengkap seperti yang difitrahkan kejadian mereka. Sedangkan Allah SWT melarang lelaki melakukan kekerasan terhadap perempuan dan memerintahkan lelaki menyantuni wanita dengan sebaik-baik akhlak.
Sabda Rasulullah SAW: “Perlakukanlah wanita dengan baik kerana mereka itu diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok. Yang bengkok pada tulang rusuk adalah bahagian atasnya. Bila engkau terlalu keras meluruskannya ia akan patah, tetapi bila engkau biarkan ia tetap bengkok. Kerana itu perlakukanlah wanita dengan baik.”
Bagi menjaga keistimewaan wanita, Allah SWT sudah meletakkan batas ataupun larangan demi memelihara martabat mereka. Malangnya, ada yang tidak memahami hikmah di sebalik larangan dan suruhan Allah SWT.
Mengikut hawa nafsu
Bahkan, ada yang berasa terkongkong kerana mengikut hawa nafsu sehinggakan ada yang mengatakan Islam tidak memberikan wanita kebebasan. Antara suruhan yang dianggap negatif seperti tuntutan menutup aurat, larangan bergaul bebas, menjaga akhlak dan tingkah laku.
Mereka berasakan larangan itu mengekang kebebasan wanita. Rasulullah SAW berpesan dalam sabda baginda: “Tidak akan memuliakan perempuan melainkan perempuan yang mulia dan tidak menghina akan perempuan melainkan perempuan yang hina.”
Wanita di Malaysia sungguh bertuah kerana Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan meletakkan hak sama rata untuk semua tanpa mengira jantina. Pengiktirafan ini menjadi bukti kejayaan wanita di negara ini untuk mencapai kesaksamaan gender.
Namun, persamaan gender ini perlu berpandukan kepada prinsip al-Quran dan sunah. Ini bermakna, ruang dan peluang yang lebih terbuka tersedia bagi wanita untuk mengorak langkah mencapai kejayaan di dunia serta akhirat.
Perjuangan wanita masih belum berakhir kerana masih banyak cabaran harus ditangani.
Penulis ialah Exco Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Sabtu, 5 April 2014
Perjuangan emansipasi ikut Barat bertentangan syarak - Peguam Syarie Menulis
Label:
2014,
Hak Wanita,
Penulisan Peguam Syarie
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan