Rabu, 16 April 2014

Kadar cerai di S'gor tinggi setiap tahun - Exco

Kadar perceraian dalam kalangan pasangan Islam di Selangor berada pada tahap tinggi setiap tahun sejak 2008, demikian diberitahu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam hari ini.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata terdapat 4,069 kes pada 2008, meningkat kepada 4,614 (2009), 5,352 kes (2010), 6,035 kes (2011), 6,098 kes (2012) dan pada 2013 merekodkan 6,028 kes.

Beliau berkata bagi pecahan kadar perceraian mengikut daerah, Gombak merekodkan jumlah tertinggi dengan 1,160 kes diikuti Klang (1,048 kes), Petaling (997 kes) dan Shah Alam (807 kes).

"Kadar perceraian yang tinggi ini memerlukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengkaji semula punca sebenar berlakunya perceraian. Bagaimanapun berdasarkan maklumat, antara punca (kadar perceraian tinggi) ialah ada pasangan berkahwin di luar Selangor tetapi bercerai di negeri ini," katanya.

Halimah berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Yaakob Sapari (PKR-Kota Anggerik) yang ingin tahu jumlah perceraian mengikut tahun sejak 2008, pecahan kadar perceraian mengikut daerah serta langkah kerajaan negeri mengurangkan kadar perceraian di negeri itu.

Halimah turut menyenaraikan usaha untuk menangani kadar perceraian yang tinggi, termasuklah menilai semula modul kursus perkahwinan, memberi kaunseling kepada pasangan bermasalah serta membentuk jawatankuasa pendamaian.

- Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman