Jumlah peningkatan tersebut dianggap besar dan serius apatah lagi keganasan rumah tangga lazimnya membabitkan golongan yang lemah, iaitu wanita dan kanak-kanak sebagai mangsa.

Golongan kanak-kanak lazimnya menjadi mangsa secara tidak langsung atas keganasan yang berlaku di depan mata mereka antara ibu dan ayah.

Misalnya, apabila kedua-dua orang tua mereka bertengkar, secara tidak langsung akan menempiaskan kemarahan kepada anak mereka.

Perlu kita ketahui bahawa, kanak-kanak merupakan individu yang masih tidak mampu berfikir dan hanya mengharapkan persekitaran serta didikan daripada golongan dewasa.

Mereka ibarat kain putih yang masih tidak disentuh dan dicorakkan.

Oleh itu, sudah tiba masa bagi semua pihak memikirkan langkah yang relevan untuk membantu dan memulihkan kanak-kanak akibat keganasan rumah tangga.

Bersesuaian dengan itu, dua badan bukan kerajaan (NGO), iaitu Persatuan Life Line Malaysia dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) telah mengambil inisiatif menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) berkaitan keganasan rumah tangga.

Program tersebut turut disokong oleh KMPG Malaysia melalui sumbangan berjumlah RM25,000.

Memorandum persefahaman tersebut bertujuan untuk memperkukuh kerjasama kedua-dua NGO tersebut dalam memulihkan kanak-kanak akibat keganasan rumah tangga melalui terapi permainan.

Presiden WAO, Carol Chin, berkata, terapi permainan merupakan satu terapi yang dapat membantu merawat kanak-kanak mangsa keganasan rumah tangga dalam aspek fizikal dan psikologi.


Katanya, tujuan terapi tersebut adalah untuk membantu mangsa keganasan mengenalpasti dan meluahkan emosi mereka, iaitu perasaan bersalah dan kehilangan.

“Terapi ini juga dapat membantu kanak-kanak memahami erti keganasan rumah tangga, selain mendedahkan kepada mangsa bahawa keganasan bukan berpunca daripada mereka dan membantu memulihkan mereka.

“Terapi tersebut sebenarnya bertindak sebagai penyuntik kesedaran yang dapat memberi panduan kepada kanak-kanak tersebut,” katanya pada majlis menandatangani MoU yang berlangsung di ibu pejabat Persatuan Life Line Malaysia, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama Presiden Persatuan Life Line Malaysia, Soh Ban Aun, Pengarah Eksekutif WAO, Sumitra Visvanathan, Ketua Masyarakat, Rakan Kongsi dan Kebudayaan KPMG, Adrian Lee dan wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Phenny Kakama,

Sementara itu, pakar terapi permainan dari Taiwan, Cheng Ju-An, berkata, terapi tersebut dapat diaplikasikan dengan menempatkan kanak-kanak di dalam sebuah bilik khas yang dipenuhi oleh permainan dan akan membiarkan kanak-kanak tersebut bermain tanpa perlu diberikan arahan.

Katanya, dalam bilik khas tersebut kanak-kanak akan bermain sesuka hati mereka, namun dipantau oleh sukarelawan yang akan memerhatikan setiap gerak-geri dan tindak balas kanak-kanak terhadap permainan itu.

“Sebagai contoh, kanak-kanak normal hanya akan memukul patung permainan sahaja tetapi bagi kanak-kanak yang mengalami kecelaruan perasaan mereka akan bertindak ganas terhadap patung permainan tersebut.

“Setelah sukarelawan mengenalpasti kecelaruan yang dialami oleh mangsa, mereka akan mengambil langkah seterusnya 
mengikut tindak balas mangsa sewaktu berada di bilik terapi permainan,” katanya.

Ju-An berkata, sukarelawan yang berkhidmat sebagai terapi permainan merupakan sukarelawan yang berpengalaman dan menerima latihan daripada beliau sendiri.

Dalam terapi permainan, kanak-kanak akan menyelesaikan cabaran psikologi sosial melalui permainan yang telah disediakan dan sukarelawan akan bertindak sebagai guru yang akan membimbing mereka sepanjang terapi berlangsung.

“Setelah terapi permainan diperkenalkan, terdapat kanak-kanak yang mula menunjukkan tingkah laku positif terhadap sekeliling.

“Mereka berasa gembira dengan “guru” mereka iaitu sukarelawan yang telah membimbing mereka. Ibu bapa kanak-kanak tersebut merasakan bahawa terapi tersebut berjaya dan berkesan diaplikasikan untuk kanak-kanak yang merupakan mangsa keganasan rumah tangga,” kata Ju-An.

Menurutnya, terapi tersebut membantu kanak-kanak mempertingkatkan integrasi sosial, pembangunan, modul emosi dan menyelesaikan trauma yang dihadapi oleh kanak-kanak.

Dengan adanya ketiga tiga kepentingan tersebut kanak-kanak akan mampu menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal.

Pada Julai tahun ini sahaja seramai 32 orang kanak-kanak mendapat manfaat melalui 190 sesi terapi permainan yang diadakan.

Dalam pada itu, Sumitra berkata, hasil kejayaan yang ditunjukkan melalui terapi permainan telah mendorong WAO untuk menjadikan terapi tersebut sebagai langkah pemulihan untuk kanak-kanak mangsa keganasan rumah tangga.

“Bagi mengukuhkan lagi program terapi permainan untuk kanak-kanak mangsa keganasan kami memerlukan bantuan dalam aspek fizikal dan kewangan.

“Ini kerana banyak tenaga fizikal dan kewangan akan diperlukan bagi merancakkan lagi terapi tersebut,” katanya.