“Tetapi bukan semua yang diharapkan menjadi kenyataan, ada antara anak-anak ini berjaya, tak kurang juga membawa banyak beban masalah dan merunsingkan hidup ibu bapa sendiri, terutama jika terlibat dengan gejala sosial.’’ itu cerita Zuhir dalam e-melnya.

Pandangan Zuhir senada dengan Kak Long yang juga melahirkan isi hatinya yang kecewa bukan kepada emaknya sahaja, tetapi juga kepada adik-beradik yang tidak bertimbang rasa. 

Mereka berdua Zuhir dan Kak Long mencurahkan isi hatinya sebagai menyahut cerita yang dipaparkan minggu lalu, berjudul “Didiklah anak lelaki hormatkan ibu.’’

Kata Zuhir, setelah jadi ayah kepada empat orang anaknya, dia tahu mengapa emak dan ayahnya berlaku tidak adil kepada anak-anaknya yang seramai lapan orang ini. “Dulu saya hairan mengapa emak ada sikap pilih kasih kepada kami. Sebagai contoh, emak dan ayah lebih sayangkan anak-anak perempuan daripada kami anak lelaki.

“Dalam banyak hal, emak akan ikut apa juga kehendak anak perempuannya, mereka dapat baju raya lebih, sedangkan kami cuma dapat dua pasang saja sedangkan kami lima orang. Kata ayah, kami boleh berkongsi baju dan seluar, sedangkan perempuan tak boleh.

“Kenapa tak boleh? Kalau buat baju kurang tentu boleh kongsi pakai. Tapi kenapa belikan mereka, skirt dan blaus ikut muat-muat badan, tentu tak boleh kongsi, sebab ada yang kurus ada yang pendek. Begitu juga pergi ke sekolah kami lelaki disuruh naik basikal, yang kecil dan perempuan sahaja naik bas sekolah. Mereka pun boleh naik basikal jugak? Itu belum bab belanja sekolah, alat tulis dan sebagainya, semua perempuan dapat lebih.

“Rupa-rupanya bila dah besar baru saya tahu sebab yang perempuan rajin belajar, pandai sekolah. Antara kami lima lelaki, adik lelaki yang kecil aja pandai yang lain cukup-cukup makan. Pandai-pandai kami bawa hal setelah tamat tingkatan 5. Tetapi walaupun lulus SPM abang saya jadi kontraktor kecil buat parit dan longkang, jadi kerani, dan jadi tentera. Dulu emak kata asalkan kami boleh berdikari dan tak menyusahkan emak sudah ok.

“Memanglah kami ok, tepi kami tak puas hati bila emak tak bagi harta sama banyak antara kami adik-beradik. Memang ayah bukan orang kaya, tapi ada rumah teres, ada kebun getah 2 ekar dan rumah kampung seluas 2 ekar lagi. Sedihnya emak ayah beri semua pada anak perempuannya, kami yang lelaki ni melopong tak dapat apa pun. Emak dan ayah bukan orang Negeri Sembilan (maaf) bagi harta pada anak perempuan. Tetapi mengapa tak adil.


“Apa kami bukan anak-anak emak ayah ke? Atau kami anak pungut? Dalam Islam anak lelaki dapat lebih daripada anak perempuan. Tetapi kami tak dapat apa pun. Alasan emak, kami lelaki boleh berdikari dan boleh cari rezeki sendiri.

“Masalahnya pendapatan kami tak banyak, berbanding anak-anak perempuan emak yang lulus kolej tu mereka bergaji besar, dahlah suami isteri gaji besar dapat harta pusaka daripada emak lagi. Apa hal dengan kami. Saya kasihankan Yup nama je jadi kontraktor, bukan banyak dapat duit, sebab job kecil-kecil aja, dan bukan selalu ada job, ada banyak persaingan. Pada saya Yup patut dibantu kerana anak-anaknya nak belajar. Tetapi emak kata kami kena usaha sendiri. Sepatutnya anak yang susah inilah yang emak bantuan.

“Saya pernah bercakap isu ini dengan Yup, tapi Yup tak cakap banyak. Katanya, kita tak bagi emak duit setiap bulan, sebab tulah emak tak bagi kita harta emak dan ayah. Ini betul, memang kami tak bagi emak duit, sebab dulu kata emak asalkan kami boleh berdikari tak menyusahkan emak, emak dah bersyukur, dan emak suruh kami jaga anak-anak dengan baik.Nasihat emak bertambah anak bertambah rezeki dari Allah.

“Yup juga kata mungkin kerana dia selalu pinjam duit emak, maka emak tak beri dia harta. Bukan kami bertiga tak rajin belajar, nak buat macam mana, kami memang tak pandai, belajar rajin pun dapat nombor corot dalam darjah. Tapi kami bersyukur dapat gred 3 SPM itu pun kira baik, ada kawan kami tak dapat apa-apa pun.

“Dulu masa emak tak bagi kami harta, kami diam aja, nak kata apa? Tetapi sekarang kami ‘berbunyi’ sebab adik perempuan bongsu kami dan suaminya sedang berusaha nak jualkan rumah teres yang emak berikan pada dia. Harganya sekarang dekat setengah juga. Alasannya dia nak beli rumah banglo.

“Kalau nak duduk banglo ke belilah sendiri, kamu suami isteri bergaji besar mampu bayar hutang bank beribu ringgit sebulan, bukan macam kami duduk rumah flat ni. Kalaupun rumah pemberian emak tu nak dijualkan hasilnya mestilah beri sedikit kepada kami, kerana kami pun berhak, lainlah jika kamu duduk rumah itu dan tak jual.

“Benar atas kertas memang kami tak berhak, sebab rumah itu sudah bertukar nama, tetapi bertimbang rasalah, kamu dapat duit terpijak takkan tak kasihankan abang-abang kamu yang susah ini. Ketika inilah kami rasakan emak dan ayah tak adil pada anak-anak lelakinya. Mengapa semua harta pusaka diberikan kepada anak-anak perempuan saja? Kami adalah penyambung generasi ayah mengikut agama Islam.

“Memang kami mengaku kami tak beri emak duit gaji kami setiap bulan, sebab gaji kami kecil, isteri tak bekerja, kalau bekerja pun bukan bergaji besar. Apakah ini hukuman kami? Inilah persoalan siapa lebih berhak dapat harta pusaka mengikut Islam? Jika dipersoalkan kami tak jaga emak memang benar, sebab adik duduk di rumah emak dan emak tak duduk rumah kami.’’ Itu persoalan yang dibentangkan oleh Zuhir untuk kita sebagai ibu bapa fikirkan masak-masak supaya tidak dipersoalkan kemudian hari.

Kak Long pula mempersoalkan sikap emaknya yang tidak sayangkan dia sama seperti adik beradik lain, semata-mata kerana dirinya diserahkan kepada nenek dan datuknya untuk dipelihara sejak kecil lagi.

“Saya dibesarkan oleh nenek dan datuk, kerana emak beranak rapat, itu cerita nenek. Belum pun berumur setahun saya dapat adik lagi. Pendek kata dalam setahun dua kali emak beranak, dituruti anak ketika setahun kemudian. Kerana anak rapat emak berikan saya kepada nenek dan datuk. Lagipun emak terpaksa ikut ayah pindah, maklum kerja sebagai polis selalu kena pindah.

“Oleh sebab adik-beradik ramai, duduk berjauhan, maka emak jarang balik kampung. Sebab tambang bas mahal. Kerana jarang jumpa kami adik-beradik tak mesra. Juga dengan emak. Tetapi saya rapat dengan sepupu yang duduk berdekatan, mereka macam adik-beradik saya.

“Memang hidup saya selesa, hinggalah nenek kahwinkan saya dengan jejaka pilihan sendiri. Emak ayah tak masuk campur, sebab mereka anggap saya ni dah jadi macam anak nenek. Hinggakan belanja kenduri kahwin saya nenek yang tanggung.

“Masa begitu cepat berlalu, oleh kerana saya rapat dengan nenek maka saya jarang balik rumah emak, kalau balik pun emak tak mesra dengan saya, dia lebih suka layan anak-anak yang lain daripada saya. Akhirnya saya bawa diri, selepas nenek meninggal dunia. Adik-beradik hanya baik dengan saya bila nak pinjam duit. Bukan seorang dua bermasalah, tapi tiga orang. Nak pinjam berbelas ribu. Bila tak bagi mereka mengadu pada emak. Itu puncanya emak benci saya. Puas saya cuba terangkan pada emak, tapi emak buat pekak. 
Bila saya cakap emak angkat kaki pergi dapur atau ke ruang tamu. Emak buat saya serba salah.

“Bila bagi pinjam mereka tak bayar. Bila emak semakin tua, saya cuba ajak emak duduk dengan saya, tetapi emak tolak, katanya dia ada rumah sendiri. Tetapi saya tahu emak tak selesa duduk dengan anak lelakinya yang selalu bawa masalah dan menyusahkan hatinya.

“Saya tahu cerita banyak pasal emak daripada adik yang rapat dengan saya, kebetulan kami bekerja satu bangunan, kami sering berjumpa dan berbual. Emak pernah tinggal beberapa bulan di rumahnya, sebab larikan diri daripada anak lelakinya yang pujuk emak suruh jual barang kemas emak. Kerana takut emak duduk dengan anak perempuannya.

“Sebenarnya saya kasihankan emak, dia tak senang hati duduk di rumah sendiri kerana gangguan anak lelakinya. Adik lelaki saya tu cuma segankan saya, sebab tak bayar hutang. Sebab itu saya ajak emak duduk rumah saya, tetapi emak tak mahu. Saya bimbangkan keselamatan emak. Dan saya tak mahu rumah pusaka dan tapak rumah nenek tergadai.

“Saya sayangkan emak, tetapi disebabkan saya dipisahkan sejak kecil, maka kasih sayang emak kepada saya kurang. Saya tak salahkan emak sebab ketika itu emak dan ayah memang susah. Anak ramai sebab itu saya terus duduk dengan nenek walaupun awalnya kata nenek cerita saya diserahkan sementara sahaja, bila masuk sekolah emak ambil saya semula, tetapi sayangnya saya terus duduk dengan nenek hinggalah saya berkahwin.

“Persoalannya sekarang salah saya ke jika saya kurang rapat dengan emak dan adik-beradik? Saya tak minta dipisahkan, sebaliknya saya boleh anggap diri saya ini ‘anak terbuang’ yang tidak disayangi oleh emak sendiri. Namun saya tak salahkan emak, takdir telah menentukan hidup saya hidup sendirian tanpa kasih sayang emak dan ayah.’’ Itu cerita Kak Long mengakhiri nasibnya sendirian dipisahkan sejak kecil.