Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 10/10/2015
KEBANYAKAN orang selalu berkata isteri muda sangat beruntung kerana disayangi suami berbanding isteri pertama sementara isteri pertama pula menyifatkan mereka sangat tidak bernasib baik kerana selalu disisih suami.
Sama ada benar atau tidak, setiap orang mempunyai persepsi sendiri tentang hidup berpoligami sementara isteri pertama pula berkata, mereka selalu diabaikan suami selepas dimadukan.
Mana satu yang betul sukar dibuat penilaian kecuali mereka yang melaluinya. Ingin tahu lebih lanjut tentang perkara ini, saya paparkan kisah kiriman Azlan (bukan nama sebenar), lelaki yang mengaku berpoligami tetapi menyesal dengan tindakannya kerana tidak mampu berlaku adil kepada kedua-dua isterinya.
Saya paparkan kisah Azlan untuk dihayati bersama.
“Saya seorang pegawai kerajaan berusia 40-an dan mempunyai dua orang isteri dan empat orang anak. Dengan isteri pertama saya mempunyai tiga orang anak dan dengan isteri kedua seorang anak.
“Keempat-empat orang anak saya berusia dua hingga 15 tahun. Tiga daripadanya sudah bersekolah. Isteri pertama tidak bekerja tetapi isteri kedua bekerja di sebuah jabatan kerajaan juga seperti saya.
“Saya bernikah dengan isteri pertama bernama Ami (bukan nama sebenar) atas kehendak keluarga. Ami orang kampung dengan saya. Sementara Zaila (bukan nama sebenar) saya kenali semasa menghadiri kursus di Pulau Redang lebih lima tahun lalu.
“Saya bernikah dengan Zaila kerana cinta yang mana sebelum ini tidak pernah saya rasa. Kami bercinta selama enam bulan sebelum saya mengambil keputusan melamar dan menjadikan dia isteri saya yang sah tanpa keizinan isteri pertama.
“Bagaimanapun, bangkai gajah masakan boleh ditutup dengan sehelai daun. Akhirnya rahsia terbongkar juga apabila Ami berjaya mengesan kecurangan saya. Memang saya bukan lelaki yang bijak bermain dengan kata-kata dan tidak pandai berlakon.
“Saya tidak pandai membahagikan masa antara isteri pertama dan kedua, juga dengan anak-anak. Ami pula mengongkong saya dan Zaila terlalu mendesak. Keadaan ini menjadikan saya serba salah.
“Macam macam perkara saya buat untuk menjernihkan keadaan tetapi kedua-duanya tidak mahu mengalah. Ami dengan keras menuntut hak sebagai isteri pertama sementara Zaila terlalu mendesak saya sehinggakan saya rimas. Akibatnya keadaan semakin rumit.
“Rumah tangga saya menjadi tegang. Balik ke rumah yang pertama salah, balik ke rumah yang kedua juga salah. Sudahnya saya terpaksa bermalam di rumah kawan-kawan bujang atau ipar-duai yang memahami keadaan saya.
“Tapi sampai bila? Mak ayah mula merungut, ipar-duai mula bercerita sesama mereka. Saya disalahkan kerana tidak tahu berlaku adil dan tidak mampu berpoligami.
“Pada masa yang sama, isteri pertama juga mula buat hal. Dia minta yang bukan-bukan dan menuntut saya menceraikan Zaila. Sudah tentu saya tidak dapat memenuhi impiannya itu sebab saya sayangkan Zaila tambahan pula kami mempunyai seorang anak.
“Tetapi keadaan semakin tegang apabila saya tidak menurut kehendaknya. Dia mengamuk dan menyerang Zaila sehingga membawa kepada pergaduhan dan menyerang. Malu saya dengan orang keliling tetapi apa hendak kata semuanya sudah terjadi.
“Saya tidak boleh menoleh ke belakang kembali kerana saya harus memikul tanggungjawab ini. Kata orang berani buat berani tanggung. Saya reda dengan apa yang berlaku dan saya berdoa agar satu hari nanti keadaan akan pulih.
“Bagaimanapun, setahun keadaan sangat tegang. Saya tidak mampu membetulkan keadaan. Ami semakin garang dan Zaila juga tidak mahu mengalah. Hidup saya menjadi tidak keruan. Kerja di pejabat terganggu.
“Anak-anak juga terbiar kerana isteri-isteri saya tidak mahu bertolak ansur. Ibu bapa saya pula memihak kepada Ami dan menyalahkan Zaila kerana menggoda saya. Mereka tidak faham keadaan sebenar.
“Akhirnya, kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan saya mengambil keputusan melepaskan kedua dua mereka. Saya tidak tahan lagi dengan perangai kedua-duanya. Puas saya nasihat dan pujuk dengan harapan mereka boleh berbaik-baik, tetapi tidak juga berlaku.
“Malah keadaan semakin tegang dan saya tidak dapat mengawalnya lagi. Setelah kedua-duanya diceraikan saya kembali tenang. Saya tetap menjalankan tanggungjawab kepada anak-anak dan memberi nafkah kepada isteri sepanjang idah mereka.
“Ibu bapa dan keluarga mentua menasihati saya supaya berfikir semula dan merujuk kepada kedua-dua isteri. Saya enggan berbuat demikian buat masa ini kerana tidak tahan dengan peristiwa yang telah saya lalu semasa beristerikan mereka.
“Walaupun pening dan kesal dengan apa yang berlaku saya tetap sayangkan kedua-duanya dan berharap satu hari nanti saya akan kembali kepada mereka. Buat sementara, saya ingin mencari ketenangan tanpa mengenepikan tanggungjawab saya kepada mereka dan anak-anak.
“Pada masa yang sama, Ami dan Zaila juga mula berbaik-baik dan dapat berkawan rapat, tidak seperti ketika mereka menjadi madu dahulu, Malah mereka boleh keluar bersama sama untuk berusaha memujuk saya untuk kembali kepada mereka.
“Saya sangat terperanjat dengan keadaan ini. Anak-anak saya juga boleh bergaul dengan mesra tidak seperti sebelum ini apabila Zaila melarang anaknya bermain dengan anak-anak saya dan Ami. Perkara ini sangat mengejutkan saya tapi saya buat-buat tak tahu.
“Saya tidak mahu mereka tahu yang saya sentiasa mengikuti perkembangan mereka walaupun sudah tidak tinggal sebumbung. Semuanya kerana Allah yang izinkan.
“Sekali fikir elok juga saya mengambil keputusan menceraikan mereka berdua, sekurang-kurangnya mereka sedar dan berfikir akan perbuatan mereka sebelum itu. Allah itu Maha kaya dan mendengar doa hamba-Nya.
“Saya juga gembira dengan perkembangan ini dan berharap kemesraan kedua-dua orang bekas isteri saya ini akan kekal selama-lamanya. Betul kata orang pengalaman mengajar kita menjadi lebih matang terutama dalam menyelesaikan masalah rumah tangga.
“Saya berharap doa saya akan dimakbulkan oleh Allah supaya satu hari nanti saya akan dapat hidup bersama mereka semula. Buat sementara ini, saya ingin mendalami ilmu tentang berpoligami dan melengkapkan diri untuk menjadi imam keluarga yang baik di sisi Allah SWT.
“Rupa-rupanya bukan mudah untuk berpoligami. Banyak yang perlu dipelajari dan diamalkan terutama dalam bab hukum-hakam. Saya ingatan mudah untuk beristeri lebih dari satu ini, rupanya jika tidak kena cara membawa bencana.
“Semoga Allah membuka pintu hati bekas isteri saya untuk bertolak ansur dan menerima perkongsian kasih ini demi kebaikan kami bersama. Saya akan terus berdoa dan memohon kepada Allah supaya saya dapat menjadi seorang suami yang baik dan bertanggungjawab dan adil dalam rumah tangga.
“Saya ingin bersama anak-anak dan isteri-isteri saya semula apabila masanya sampai. Semoga jodoh kami masih ada dan diperkenankan oleh Allah Yang Maha Esa.
“Kepada bekas isteri-isteri saya, maafkan abang kerana terpaksa berbuat begini. Ini hanya untuk sementara sahaja. Kita baiki kesilapan masing-masing dan insya-Allah jika jodoh antara kita masih panjang, abang akan kembali kepada kamu berdua.” Janji Azlan, menamatkan ceritanya.
Ini pengakuan ikhlas seorang suami yang sangat ikhlas. Saya kagum dengan keikhlasan Azlan untuk membaiki dirinya. Inilah sifat terpuji yang harus ada dalam diri seorang lelaki bernama suami.
Memang betul bukan mudah untuk berpoligami jika tidak kuat semangat dan ada rasa tanggungjawab yang menebal dalam diri. Jika tidak ada ilmu dan iman yang kuat tidak mungkin dapat berlaku adil dan mendamaikan dua wanita yang berkongsi suami.
Walaupun saya agak terkilan dengan keputusan Azlan tetapi saya berdoa satu hari nanti dia akan rujuk semula dengan kedua dua isterinya itu.
Saya berharap kedua-dua isteri Azlan, Ami dan Zaila akan menggunakan masa idah ini untuk berfikir dan muhasabah diri. Anggaplah apa yang terjadi sebagai jodoh kalian berdua. Belajarlah menerima dan memberi, bertolak ansur dan menghargai antara satu sama lain. Yang penting, redha dengan ketentuan Allah.
Menutup catatan, pesanan saya, orang yang bersabar akan mendapat yang terbaik setelah penat diuji.
Salam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan