Setiap lelaki dan wanita mahu menjadikan pertalian mereka sebagai satu hubungan yang sah atau halal di sisi agama, sekali gus mahu bergelar suami isteri. Bagaimanapun, banyak dugaan atau ujian ditempuhi pasangan dalam mengejar kebahagiaan sejati selepas bernikah. Antaranya, apabila kelakuan si suami atau si isteri berubah tiba-tiba sahaja. Perubahan sikap itu sering kali dikaitkan dengan tabiat yang paling merisaukan iaitu curang. Lebih parah jika kecurangan itu berpenghujung atau bermotif memuaskan nafsu dengan melakukan seks atau maksiat bersama individu lain. Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR mencari sejauh manakah kebenaran kes curang ini dalam kalangan pasangan suami isteri di Malaysia. Ia banyak diperincikan menerusi perkongsian oleh seorang penyiasat persendirian, DATUK M. VENODEVAN (gambar).

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Adakah kurang kasih sayang, bosan rutin kehidupan atau terlalu mengikut nafsu? Adakah itu puncanya sehingga sanggup curang kepada pasangan?

Rupa-rupanya janji setia hanyalah kata-kata yang diluahkan oleh pasangan suami isteri pada peringkat awal perkahwinan. Namun, ujian yang mendatang setelah bertahun-tahun mendirikan rumah tangga cukup hebat, sehinggakan perasaan dan perlakuan masing-masing berubah.

Dugaan berumah tangga datang pelbagai bentuk dan pasangan perlu bersedia menghadapinya, supaya tidak menjejaskan perhubungan mereka hingga menyebabkan kes perceraian.

Menurut seorang penyiasat per­sendirian, Datuk M. Venodevan berkata, meskipun kes curang melibatkan sama ada yang muda mahupun berumur, tetapi perbuatan tidak setia terhadap pasangan itu dilihat semakin serius dalam kalangan yang berumur antara 40-an dan 50-an.

“Sepanjang pengalaman kami menyiasat kes-kes sebegini, 60 pe­ratus melibatkan si suami manakala 40 peratus wanita yang curang terhadap pasangan mereka dengan menggunakan pelbagai kaedah.


“Terdapat pelbagai faktor menyebabkan mereka ini terjerumus. Namun ia lebih kepada psikologi dan teknologi zaman kini yang begitu canggih seolah-olah memberi mereka peluang berlaku curang,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di sini, hari ini.

Jelas Venodevan, aplikasi seperti Whatsapp, Telegram serta laman sosial Facebook misalnya, telah memudahkan lagi gerak-geri individu terbabit supaya terus berlaku curang kerana itu membolehkan mereka berhubung lebih mudah dengan orang lain.

“Pada suatu masa dahulu, e-mel sering digunakan sebagai medium untuk berkomunikasi antara satu sama lain dan cara itu tidak membolehkan mereka mendapat maklum balas pantas, namun teknologi kini mengubah segala-galanya.

“Perkara ini juga secara tidak langsung memudahkan lagi perbuatan individu tersebut untuk merancang bersama ‘kekasih gelap’ mereka berhubung strategi yang ingin digunakan supaya tidak dikesan oleh pasangan mereka yang halal,” katanya.

Dalam pada itu, Venoevan memberitahu, terdapat perbezaan kaedah oleh individu terbabit berdasarkan status kedudukan ekonomi atau kewangan mereka.

“Mereka yang bergaji besar se­ring melakukan perbuatan terkutuk itu di luar negara dengan menyewa hotel lima bintang dan menyukarkan lagi gerak-geri mereka itu dikesan oleh sesiapa.

“Lain pula ceritanya dengan mereka bergaji sederhana kerana lazimnya rumah sewa akan digunakan sebagai lokasi untuk melakukan maksiat.

“Cara itu berisiko tinggi kerana mudah untuk dikesan oleh pasa­ngan mereka apatah lagi masyarakat setempat,” katanya.