Menurut Perunding Keluarga di Zura’s Akademik, Faizan Mohd. Nor, peningkatan kes curang saban tahun dalam kalangan wanita dilihat mempunyai hubung kait dengan sikap materialistik masyarakat yang memiliki keinginan menjalani gaya hidup mewah.

Katanya, apabila kehendak dalam kehidupan menjangkaui tanggungjawab dan amanah yang harus dipikul boleh menimbulkan krisis rumah tangga hingga berlaku kecurangan dalam perkahwinan.

“Apabila semakin tertekan dengan kehendak duniawi yang gagal dipenuhi oleh pasangan, amat mudah bagi mereka mencari jalan pintas dengan menduakan pasangan selagi impian untuk memiliki sesuatu berada di depan mata. Malah saya tidak menolak hubungan itu akan berakhir dengan penceraian,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan khas Mingguan Malaysia berhubung satu siasatan yang dilakukan oleh seorang penyiasat persendirian, Datuk M. Venodevan mendedahkan sekurang-kurangnya 15 peratus suami dan 11 peratus isteri didapati curang dengan pasangan.


Tambah Faizan, kegagalan memahami bahawa keluarga adalah amanah Allah di samping tidak memantapkan diri dari segi rohani, fizikal dan mental untuk hidup berumah tangga juga mendorong kemusnahan sesuatu hubungan yang akhirnya diterjemahkan dalam bentuk kecurangan.

“Biasanya mereka yang lemah dan tidak berupaya untuk melawan nafsu duniawi bukan sahaja menyebabkan emosi pasangan terganggu malah anak-anak juga akan memberontak kerana kurang perhatian daripada ibu bapa.

“Justeru kita perlu mengenal pasti antara keperluan dan kehendak bagi mengelakkan diri terjerat ke lembah hitam yang akhirnya boleh menimbulkan pelbagai masalah lain,” katanya.

Sementara itu, Profesor Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak di Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datin Noor Aziah Mohd. Awal berkata, tempoh tiga hingga 40 tahun perkahwinan merupakan usia ‘getir’ wujudnya kekasih gelap.

Ini kerana jelasnya, faktor berkahwin pada usia muda dan kurang ilmu mengendalikan rumah tangga menyebabkan hubungan suami isteri menjadi goyang.

“Kesibukan dan kurang berkomunikasi antara satu sama lain juga merupakan faktor menyumbang kepada kes berkenaan. Walaupun bertahun kahwin, namun jika tiada keserasian dan ada jurang dalam aktiviti harian juga mendedahkan sesuatu hubungan untuk musnah,” ujarnya.

Justeru katanya, mengenal pasti antara keperluan dan kehendak diperlukan bagi mengelakkan diri terjerat ke lembah hitam yang akhirnya boleh menimbulkan pelbagai masalah lain.