Perkara ini didedahkan oleh seorang penyiasat persendirian, Datuk M. Venodevan kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini, berdasarkan pengalaman pihaknya yang diminta untuk menyiasat atau memantau pasangan kepada pelanggan mereka.

Menurut Venodevan, berdasarkan kajiannya, 33 peratus daripada semua kes curang akan berakhir dengan perceraian apabila kecurangan itu terbongkar atau diketahui oleh pasangan.

“Sebagai rujukan dan perbandingan, di Amerika Syarikat, lebih 60 peratus lelaki pernah dan sedang berlaku curang sama ada secara menjalin hubungan sulit dengan perempuan simpanan, melawat pusat pelacuran atau melakukan hubungan seks di luar tabii.


“Di Malaysia, melakukan hubu­ngan seks di pusat urut dan sarang pelacuran sering dipraktikkan.

“Ini diikuti dengan seks bebas melalui pergaulan menerusi media sosial, perempuan simpanan dan diakhiri dengan hubungan sulit sesama rakan sejawat di pejabat,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.

Tambahnya, majoriti golongan terlibat adalah daripada kumpulan umur lingkungan 40-an dan 50-an serta berkedudukan sosio ekonomi yang baik dengan kebanyakannya warga kota di ibu negara, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

“Dua hingga tiga peratus daripada kanak-kanak yang lahir di negara ini merupakan anak luar nikah dan akan diselubungi dengan masalah dokumen pengenalan diri. Pendatang asing tanpa izin (PATI) juga meningkatkan statistik itu kepada empat peratus, baru-baru ini.

“Tahun ini pula, trend anak-anak muda bawah umur 30 tahun terjerumus dalam aktiviti tidak bermoral ini kerana mempunyai kebebasan berada jauh daripada pasangan hidup akibat tugasan kerja dan mengikut perkembangan zaman negatif mempunyai beberapa pasangan berlainan untuk melakukan seks,” katanya.

Beliau bagaimanapun memberi­tahu, kes curang merupakan suatu topik yang amat sensitif dan jarang dibawa berbincang secara terbuka, secara langsung menyukarkan pe­ngumpulan maklumat bagi mela­kukan statistik berhubung perkara berkenaan kerana tiada satupun badan berkanun di negara yang mengumpul data-data sedemikian.

“Fakta-fakta yang saya berikan itu pun merupakan statistik daripada beberapa penyiasat persendirian yang saya kelolakan pada tahun yang lalu,” katanya.