Mat adalah panggilan buat lelaki ini yang berusia hampir 30 tahun, dan mempunyai dua orang anak, berusia 3 dan 4 tahun. Mat dan isterinya bekerja di sebuah syarikat yang sama.
Memandangkan duduk di Kuala Lumpur ini memerlukan perbelanjaan yang besar, pasangan suami isteri itu duduk sekali bersama mentua, kakak dan abang iparnya.

Menurut Mat, sebelum mereka berkahwin lagi, dia sudah mengetahui perangai isterinya itu yang sangat panas baran. Dibesarkan sebagai anak bongsu dan manja, sudah tentu isterinya, Nana, mendapat banyak perhatian daripada ibu dan ayahnya, yang kebetulan orang berada.

“Saya yang hanya pekerja biasa di sebuah syarikat kecil kepunyaan ayah mentua, tidak menyangka cinta saya akan disambut oleh Nana yang pada ketika itu baru belasan tahun usianya. Malah nasib saya baik kerana kedua-dua mentua merestui perkahwinan saya bersama anak mereka biarpun kami tidak setaraf.

“Dalam bulan pertama hubungan saya dan isteri berjalan lancar. Dia melayan saya dengan baik, biarpun banyak kekurangan dari segi layanan, namun saya terima segalanya memandangkan saya pun tiada kelebihan.

“Masuk bulan kedua, Nana mula menunjukkan belangnya yang suka memberontak dan asyik tidak berpuas hati.

“Pada mulanya saya biarkan saja, kerana berpendapat mungkin pembawaan budak memandangkan pada waktu itu dia mula mengandung. Namun sikapnya semakin menjadi-jadi. Di pejabat dia akan membentak pekerja-pekerjanya, kalau tidak berpuas hati dia akan mencampakkan barangan atau fail di atas meja. Saya hanya mampu melihat dari jauh kerana bekerja di bahagian lain.


“Begitu juga ketika di rumah, apabila ada sahaja yang tidak kena, dia akan mengamuk, habis semua almari atau meja dihentak. Apabila saya memberikan nasihat, bulat-bulat biji matanya memandang sambil memarahi saya.

“Sedangkan perkara yang dimarahi itu bukanlah yang besar sangat, mungkin saya sedikit terlewat pulang ke rumah, atau dia tidak menjumpai barang yang dia sendiri tersalah letak.

“Kadangkala saya rasa seperti tidak dihormati oleh isteri sendiri dan menjadi mangsa tempat melepaskan marah Nana. Pernah juga saya tidak dibenarkan masuk ke bilik dan saya terpaksa tidur di ruang tamu dalam keadaan malu, kerana ibu dan ayah mentua melihat pergolakan rumah tangga kami,” kata Mat.

Memandangkan tidak boleh menasihati isterinya yang semakin lama semakin bengkeng, Mat cuba bertanya kepada Nana apa yang menyebabkan dia bersikap demikian. Mungkin ada yang menyebabkan dia tidak berpuas hati dengan dirinya sebagai suami.

Namun Mat memberitahu, Nana tidak pula berkata apa-apa, malah membiarkan persoalan tersebut berlalu tanpa jawapan.

Mat juga pernah berbincang dengan ayah dan ibu mentua mengenai sikap Nana yang sangat panas baran itu, namun mereka hanya meminta Mat bersabar. Kata mereka, Nana masih muda dan tidak banyak pengalaman yang membolehkan dia menjadi seorang insan yang penyabar.

Malangnya mentuanya juga tidak pernah berusaha menasihati anaknya itu, sebaliknya abang dan kakak iparnya menganggap perkara marah-memarahi itu biasa sahaja bagi mereka.

Namun, Mat bertanya di dalam hati sendiri, sampai bila dia harus bersabar dengan sikap isterinya. Bengkeng dan pemarah serta ada sahaja yang tidak kena pada pandangan mata wanita itu biarpun terhadap perkara yang remeh-temeh.

Lagi satu sekiranya, membawa Nana balik ke kampung, Mat sendiri akan berasa malu. Di hadapan ayah, ibu dan keluarganya, Nana terang-terang membentaknya.

Bukan itu sahaja, Nana akan membentak Mat tidak kira di mana, pada waktu bila malah isterinya itu tidak akan peduli sama ada di persekitaran itu ada orang yang melihat sikapnya itu, sehinggakan hampir semua orang di pejabat tahu sikap Nana terhadap Mat.

Nana seolah-olah menganggap suaminya itu umpama pekerja di syarikat.

“Saya sedih dengan sikap Nana yang tidak menghormati saya tambahan pula apabila ayah dan ibu di kampung mengetahui kehidupan saya begini setiap hari. Saya tahu mereka pun sedih apatah lagi melihat di hadapan mata anak mereka ini dibentak-bentak seperti tiada maruah diri.

“Pernah saya rasa hendak tinggalkan dia, tetapi memandangkan anak-anak masih kecil, saya tetap bertahan. Saya tidak mahu kehilangan atau tidak dapat berjumpa anak-anak sekiranya kami bercerai.

“Saya hanya mampu berdoa agar isteri saya itu dipanjangkan akalnya menjadi seorang isteri yang matang, dewasa dan berubah sikap. Mungkin salah saya juga kerana gagal menjadi seorang suami yang tegas. Adakah saya dayus?.

“Kalau ikutkan hati, ramai lagi wanita yang mahukan saya dan boleh memberikan layanan yang baik malah paras rupa mereka lebih menarik berbanding isteri saya.

“ Tambahan, saya juga mempunyai fizikal dan rupa yang menawan pada pandangan orang. Tetapi buat masa ini masih belum terlintas di fikiran saya untuk berlaku curang kerana rasanya saya masih mahu menjadi suami dan ayah yang baik. Tapi sampai bila saya boleh bertahan?,” katanya satu lontaran pertanyaan yang sebenarnya hanya Mat seorang yang tahu jawapannya.

Nota: Daripada e-mel terbaharu, Mat memberitahu dia sudah pun bercerai dengan Nana dan bakal berumah tangga dengan seorang peguam syarie tidak lama lagi. Mat juga telah berhenti kerja dan bekerja di sebuah syarikat baharu. Mengenai soal hak penjagaan anak, Nana dan Mat masih dalam perundingan di mahkamah.