“Namun, bagi saya rasa rimas ini memang akan hadir setiap kali mereka datang, malah semakin hari semakin semak saya memikirkannya. Saya rasa seperti ingin keluar dari rumah setiap kali mereka datang bertandang,” kata Mastika, seorang rakan kepada suami apabila berpeluang bertemu dengannya baru-baru ini.

Menurut Mastika, dia dan suami telah berumah tangga sejak empat tahun lepas dan dikurniakan dua cahaya mata comel. Keluarga mentuanya menetap di sebuah negeri di utara.

Suaminya, yang merupakan seorang anak sulung, mempunyai lima orang adik perempuan yang masih lagi belajar di sekolah menengah, menuntut di kolej dan universiti.

Manakala Mastika pula merupakan anak bongsu daripada tiga adik-beradik yang berasal dari Kuala Lumpur.

Kata Mastika, sebelum berkahwin dia memang mengetahui suaminya merupakan seorang anak manja, malah adik-adik yang lain turut bermanja dengannya. Mereka adik-beradik memang tidak boleh berpisah dengan ibu dan ayah, namun itu semua tidak menjadi halangan cintanya kepada suami.

“Selepas kami berkahwin, saya dan suami berpindah ke sebuah rumah yang agak selesa di Damansara. Jarak kedudukan rumah dengan tempat tinggal ibu dan ayah saya juga tidak jauh, hanya 10 minit sekiranya berkereta.

“Pada bulan pertama perkahwinan kami, setiap dua minggu sekali, ayah dan ibu mentua akan datang menjenguk kami ke rumah dan duduk di rumah kami selama tiga hari, bermula dari malam Jumaat dan malam Isnin mereka akan pulang menaiki bas ekspres. Adakalanya mereka juga akan datang berkereta.

“Waktu ini memang saya rasa seronok, ada juga orang yang datang menjenguk. Mentua tinggal lama pun tidak mengapa kerana saya faham perjalanan pergi dan balik mereka agak jauh. Lagipun ibu dan bapa mentua sangat baik dengan saya.


“Lama-kelamaan, daripada datang berdua, seterusnya datang bertiga, berlima, dan akhirnya kesemua adik-adik suami saya diangkut sekali setiap kali datang berhujung minggu. Sudah tentu waktu hujung minggu merupakan saat yang paling sibuk bagi saya.

“Sepatutnya masa itu saya luangkan untuk berehat selepas bekerja sepanjang minggu, melepaskan penat, mencuba resipi baharu, bersama suami dan anak-anak pergi beriadah atau bercuti, mengemas rumah, pergi membeli-belah, dan sebagainya.

“Namun sepanjang empat tahun ini, kebanyakan masa hujung minggu saya hanya duduk di dapur masak untuk tetamu, mengemas pinggan mangkuk dan mengemas rumah selepas mereka menumpang tidur.

“Sehinggakan keluarga sebelah ayah dan ibu saya di sini ingin datang menjenguk saya di rumah dan bermain dengan cucu-cucu pun rasa janggal kerana rumah saya asyik ‘berisi’.

“Apa yang lebih memenatkan, adik-adik ipar datang hanya tahu hendak makan sahaja tetapi berat tulang untuk membantu di dapur. Itu tidak termasuk dengan belanja yang terpaksa kami keluarkan setiap hujung minggu untuk membeli lauk-pauk, bil elektrik dan air yang meningkat kerana adik-adik ipar menonton televisyen sampai ke pagi, mandi berjam-jam di dalam bilik air dan penggunaan pendingin hawa yang berterusan sepanjang hari.

“Itu belum lagi duit poket yang suami saya beri pada mereka untuk perjalanan balik ke rumah. Memanglah duit bulanan kepada ibu dan bapa mentua sudah diuruskan setiap bulan, tapi sudah tentu setiap kali balik ke kampung setidak-tidaknya, suami akan hulur juga seratus dua. Begitu juga buat adik-adiknya.

“Kalau sekali sebulan tidak apa lagi, tetapi kalau hampir setiap minggu atau paling tidak pun tiga kali sebulan, demam juga rasanya.

“Ibu mentua ada juga meminta adik-adik ipar membantu saya di dapur, tetapi mereka tidak ambil pusing. Apa yang mereka lakukan, dari pagi keluar ke membeli-belah dan balik ketika tiba masanya waktu makan,” katanya.

Sesekali dia bertanyakan kepada suami, tidakkah ibu bapa dan adik-adiknya berasa penat datang ke rumah setiap minggu memandangkan jarak perjalanan yang jauh. Tambahan pula ibu dan ayahnya sudah tua, yang sepatutnya banyak berehat di rumah.

Sepatutnya, kata Mastika, dia dan suami yang perlu pulang ke kampung mengunjungi mereka, mungkin sebulan sekali.

Namun suaminya menjawab, biarlah mereka datang selalu kerana dia rasa terhibur dan tidak rasa merindui mereka sangat apabila berjauhan.

Sudahlah waktu Aidilfitri dan Aidiladha, dia harus pulang ke kampung suaminya, waktu hujung minggu pun bersama mereka juga.

Waktu itu Mastika berasakan sangat tidak memahami suami yang sepatutnya mengetahui perasaannya yang sering serba salah dan rimas apabila adik-adik dan mentuanya datang ke rumah.

Bagi Mastika dia ingin bersama suaminya dalam keadaan privasi di rumah bersama anak-anak sebagaimana pasangan-pasangan lain, yang dia jarang benar dapat merasakannya. Pergi bercuti ke mana-mana berdua dan bersama anak-anak. Malah sepanjang usia perkahwinan mereka hanya sekali dia dan suami pergi bercuti, itu pun pada awal perkahwinan untuk berbulan madu. Selebihnya masa mereka banyak dihabiskan di rumah melayan tetamu yang datang di hujung minggu atau balik ke kampung ke rumah mentua.

Dia jarang dapat balik melawat ke rumah ibu dan bapa kandungnya, biarpun jarak yang dekat kerana hujung minggu dia akan terpaksa berada di rumah kerana melayan adik ipar dan mentuanya.

“Satu waktu dahulu, saya rasa malas sangat hendak ke dapur dan sanggup membeli lauk yang siap dimasak di luar untuk menjamu adik-adik ipar, tetapi memandangkan kos yang agak besar, jadi saya mengambil keputusan untuk masak sahaja juadah yang ringkas.

“Saya sebenarnya rasa sedikit tertekan. Kalau dahulu saya ikhlas menerima kedatangan mereka, kini saya rasa seperti terpaksa pula. Suami pula tidak mahu mendengar kata-kata saya, kerana baginya keluarga adalah segalanya.

“Saya faham penting mempunyai keluarga, tetapi yang saya tidak faham mengapa dia sanggup meminggirkan keluarganya sendiri. Saya sebagai isteri perlukan kasih sayangnya dan privasi untuk bersama sebagai pasangan muda, tetapi dia tidak faham,” katanya.