Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 08/10/2015
Agak mengejutkan apabila membaca statistik yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai 3,343 kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, 279 kes daripadanya melibatkan pasangan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas dan sebanyak 572 kes lagi melibatkan mereka yang berumur 46 hingga 59 tahun.
Statistik berkenaan didedahkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dalam satu sidang akhbar selepas melancarkan Kempen 90 Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2015, baru-baru ini.
Jika dilihat daripada nilai-nilai normal masyarakat, pada umur lanjut seperti ini, sepatutnya mencerminkan sikap kematangan berfikir dan sudah tentu tidak timbulnya isu-isu yang membabitkan pergolakan rumah tangga, apatah lagi yang bercorak keganasan.
Pada waktu ini, mungkin perbincangan adalah satu perkara yang boleh memberikan jalan penyelesaian terhadap kes-kes keganasan rumah tangga, namun apa yang terjadi sebaliknya.
Bahkan, diyakini kes-kes seperti ini sebenarnya lebih tinggi, namun mangsa mengambil keputusan enggan membuat laporan kerana tidak mahu mendapat malu dan tidak tahu hendak ke mana sekiranya berlaku perceraian
Selain itu, sesetengah mangsa mungkin turut ‘setuju’ dengan alasan si pelaku (lazimnya suami) bahawa tindakannya mengasari atau mengganas merupakan satu tanggungjawab untuk mendidik isteri.
Menurut Perunding Motivasi dan Kaunseling, Hushim Salleh, selama ini masyarakat sering mendengar mengenai banyaknya kes-kes perceraian di peringkat usia emas, dan salah satu puncanya ialah pasangan dikasari, sekali gus berlakulah istilah keganasan rumah tangga kepada pasangan yang sudah lanjut usia.
Perceraian membabitkan warga emas biasanya berlaku pada fasa kelima perkembangan keluarga. Pada ketika ini anak-anak sudah dewasa dan keluar rumah sama ada melanjutkan pengajian atau berkahwin, dan masa ini, pasangan suami isteri akan tinggal berdua pada usia emas dan sudah bersara.
Menurut Hushim, jika diperhatikan secara realistik, keganasan rumah tangga pada usia lanjut dihasilkan daripada perubahan emosi yang tidak stabil terhadap pasangan, apatah lagi sekiranya kehidupan pasangan berkenaan pada tahun-tahun sebelumnya tidak bahagia, tetapi diteruskan juga kerana tidak mahu anak-anak mengetahui mengenai sikap baran ayah atau ibu mereka.
“Ada juga yang dari tahun ke tahun, sebagai contoh suami, menyimpan dendam yang dipendam dek kerana perangai isteri. Perasaan benci itu akan terus membara, apatah lagi ketika itu mereka hanya tinggal berdua dan timbul perasaan bosan berhadapan setiap hari dengan isteri yang suka membebel.
“Dahulu, sekiranya ada pergaduhan, suami atau isteri akan keluar rumah, keluar pergi kerja dan perasaan itu akan distabilkan di luar rumah. Berbeza apabila sudah bersara dan duduk seharian menghadap isteri, sudah tentu timbul perasaan yang berlainan. Apabila timbul perbezaan pendapat yang ketara sejak dari dahulu dan disimpan lama akan memecahkan tembok kesabaran menyebabkan berlakunya pergaduhan.
“Tidak cukup dengan pergaduhan apabila berbangkit isu-isu tertentu, pastinya akan menyebabkan keganasan rumah tangga. Tambahan pula isu yang dipendamkan itu sudah lama bertahan dan hanya menunggu ketika sahaja untuk dilepaskan,” katanya.
Dalam pada itu Hushim turut mengatakan, masalah kewangan juga boleh menjadi punca kepada keganasan dan pergolakan rumah tangga berlaku dalam kalangan suami isteri warga emas.
Dahulu ketika masih bekerja, duit sentiasa ada, tetapi apabila sudah bersara, mungkin kebanyakan wang sudah habis digunakan, menyebabkan timbulnya perasaan tidak puas hati dalam kalangan pasangan. Dengan duit yang tidak mencukupi dan terbeban dengan hutang, pergaduhan mudah sahaja tercetus dalam perkahwinan yang telah lama dibina.
Terdapat juga pada masa ini, sesetengah suami sudah mula terfikir untuk berkahwin lain akibat faktor tertentu seperti berasa kurang sesuai hidup bersama pasangan dan sebagainya.
Hasrat ini pada asalnya sudah lama dihajatkan, namun mereka tidak meneruskan atau ‘menangguhkannya’ kerana tidak sampai hati apabila memikirkan anak yang masih kecil.
“Namun, apabila suami sudah bebas daripada tanggungjawab terhadap anak-anak yang sudah dewasa, mereka akan terfikir mengenai rancangan itu semula yang menyebabkan pergaduhan.
“Apabila pergaduhan berterusan sudah tentu keganasan rumah tangga akan timbul secara tidak langsung kerana keinginan suami terhalang.
“Dengan wang simpanan, pencen atau KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) yang diperoleh selepas bersara, suami akan mula memikirkan keinginan yang belum dicapai selama ini dan mula memenuhinya termasuk mungkin berkahwin lain,” katanya.
Faktor lain jelas Hushim, adalah krisis pertengahan umur yang kebiasaannya dialami warga emas yang membuatkan mereka berfikir sejauh mana sudah berjaya sebagai insan, ibu atau bapa apabila mencecah usia tua.
“Sekiranya mereka tidak gembira dengan apa yang dicapai, mereka akan memperbaikinya serta mula mencari kebahagiaan itu dan begitu sebaliknya.
“Jika mereka tidak bahagia dengan perkahwinan dibina selama ini misalnya, mereka akan mencari pasangan baru dan berkahwin untuk mendapatkan kebahagiaan,” tambahnya.
Sebenarnya, jelas Hushim, jika mengikut peringkat perkembangan keluarga yang normal, seseorang itu perlu menyediakan diri dengan ilmu akhirat apabila sudah tua supaya menjadi insan lebih baik.
Penyesuaian gaya hidup selepas bersara
Apabila warga emas sudah mula bersara, mereka sepatutnya perlu menyesuaikan diri dengan keadaan semasa yang dialami.
Ini termasuklah pandai menguruskan emosi dan bertindak bijak menangani dan mengawal emosi agar tidak selalu marah, sedih, rasa tidak berguna atau apa sahaja. Ini termasuklah bijak menangani dan menguruskan kemarahan dalam diri.
Kata Hushim, sekiranya tidak bijak mengawal kemarahan itu yang terjadinya kes memukul isteri.
“Sebenarnya orang yang bersara dan warga emas adalah insan yang amat memberi manfaat kepada negara kerana mempunyai pengalaman yang menarik dalam hidup mereka yang boleh dijadikan teladan. Golongan ini juga sebenarnya perlu banyak berkomunikasi dengan cara yang lebih harmoni dan bijak.
“Warga emas juga perlu mempunyai tabiat pengurusan wang persaraan yang baik agar duit tidak habis apabila bersara serta kalau boleh jauhi daripada menghadapi masalah kesihatan yang kronik dengan menjalani kehidupan yang sihat serta jaga pemakanan,” katanya.
Hushim juga menasihatkan anak-anak agar tidak meletakkan anak-anak mereka untuk dijaga oleh ibu bapa mereka atas faktor usia yang lanjut dan kepenatan yang akan membawa kepada cepat marah.
Begitu juga sepatutnya apabila sudah bersara, warga emas perlu kenal pasti aktiviti yang menjadikan mereka sibuk kerana warga emas pada hari ini mereka lebih aktif, sihat dan berdaya saing berbanding usia mereka.
“Dicadangkan mereka menyertai aktiviti badan-badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan untuk rumah-rumah anak yatim, buat perniagaan inap desa, dan sebagainya, selain memperbanyakkan amalan,” katanya.
Info
Kes-kes keganasan rumah tangga dari Januari hingga Ogos tahun ini:
- Sebanyak 3,343 kes keganasan dilaporkan dengan 2,528 melibatkan wanita.
- Sebanyak 1, 127 berumur antara 26 hingga 35 tahun.
- Sebanyak 750 kes melibatkan mereka yang berumur 36 hingga 45 tahun.
- Sebanyak 615 kes membabitkan usia di bawah 25 tahun.
- Sebanyak 572 kes melibatkan mereka yang berumur 46 hingga 59 tahun.
- Sebanyak 279 kes melibatkan warga emas 60 tahun ke atas.
- Statistik tahun lalu menunjukkan terdapat 4,807 kes keganasan rumah tangga dilaporkan dengan 3,545 daripadanya melibatkan wanita berbanding 4,123 kes pada tahun 2013 iaitu 3,055 kes melibatkan wanita.
- Keganasan rumah tangga melibatkan:
- Penderaan fizikal, mental, seksual dan ekonomi yang menyebabkan mangsa mengalami trauma.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan