Bersama NORAZMAN AMAT
Tarikh : 16/09/2015
Sumber : Utusan Malaysia
SEMUA pasangan suami isteri mengharapkan usia perkahwinan mereka sampai ke akhir hayat, namun sekiranya perceraian berlaku, pasti ada hikmah di sebalik apa yang terjadi. - GAMBAR HIASAN
MALAM itu Ramli cukup gelisah. Apa yang dibuatnya serba tak kena. Duduk salah, berdiri salah, baring salah, semuanya jadi serba salah. Sepucuk nota yang ditinggalkan isterinya di atas meja sisi katil, dibaca berkali-kali. Bagaikan tidak mahu mempercayainya. Tapi segala-galanya sudah terlambat.
Ramlah, isteri yang hidup 35 tahun bersamanya meninggalkannya terkontang-kanting. Hidupnya kosong. Paling membuatkan hatinya menjadi hiba apabila dua anak mereka turut serta meninggalkan rumah. Alasan yang ditinggalkan cukup mudah. “Kita dah tak sehaluan!”.
Ternyata simbahan cahaya bulan terang yang menerjah masuk ke kamar tidur Ramli malam itu tidak sedikit pun menampakkan keindahannya. Berkali-kali Ramli memicit telefon bimbitnya dengan harapan agar dapat bercakap dengan Ramlah. Tapi hampa. Yang ada hanya suara supaya meninggalkan pesanan.
Ramlah seolah-olah sudah berpatah arang dengannya. Ramli bingung. Apa yang telah dia lakukan selama ini terhadap Ramlah dan anak-anak sehingga mereka semua meninggalkannya begitu sahaja. Tiada ribut, tiada taufan, tiba-tiba ia berlaku. Kalau nak dikatakan dia telah melakukan kesalahan besar, baru minggu lepas dia meraikan persaraannya bersama Ramlah dan anak-anak.
Bahkan dia juga dengan rasa bangganya telah menyerahkan sebahagian wang faedah persaraan yang diperolehnya kepada Ramlah dan anak-anak. “Biar semua merasa,” kata Ramli tanpa menaruh sebarang syak wasangka. Baginya selama ini Ramlah dan anak-anak sudah cukup banyak berkorban untuknya. Dan inilah masanya untuk dia meluangkan masa sepenuhnya kepada keluarga setelah dihimpit kesibukan bekerja. Bahkan Ramli juga bercadang membawa isteri dan anak-anak menunaikan umrah.
Tetapi segala-galanya berubah sekelip mata. Air mata Ramli akhirnya tumpah. Dia tidak faham kenapa Ramlah melakukannya sedemikian. Kenapa tidak daripada dulu lagi Ramlah meninggalkannya kalau benar Ramlah membencinya? Kenapa sekarang? Paling membingungkan Ramli, apa kesalahannya sehingga dihukum demikian rupa? Dia tidak tahu apa yang Ramlah mahukan. Apakah kerana memperoleh duit yang banyak, Ramlah tergamak meninggalkannya? Apakah tidak cukup apa yang telah diberikan kepada Ramlah selama ini? Memang, Ramli benar-benar bingung dengan tindakan Ramlah.
PANDANGAN KAUNSELOR
Langit tidak selalunya cerah. Ada kalanya mendung malahan sesekali ribut melanda. Demikian juga alam perkahwinan yang tidak lekang dengan masalah suami dan isteri. Hidup berpasangan walaupun memakan puluhan tahun pasti akan diuji dengan pelbagai cubaan dan ujian. Kisah Baiti Jannati minggu ini merupakan sekelumit kisah yang berlaku kepada pasangan yang berumahtangga tetapi tidak sampai ke penghujungnya.
Semua pasangan suami isteri mengharapkan usia perkahwinan mereka akan sampai ke akhir hayat. Namun siapa tahu takdir dan ketentuan Ilahi. Yang pasti ada hikmah di sebalik apa yang terjadi.
Pengalaman menjalankan sesi kaunseling kes seperti yang dipaparkan ini amat menyayat hati kaunselor kerana pada saat usia di penghujung nyawa berlaku perpisahan yang tidak dijangka. Bayangkan betapa sedihnya hati seorang suami apabila tergamak seorang isteri menuntut cerai selepas mendapat wang faedah persaraan suami yang bekerja puluhan tahun.
Harapan suami yang ingin memberi sepenuh perhatian kepada keluarga sebaik sahaja pencen, rupanya tinggal impian. Bahkan hasrat suami untuk bersama-sama mengerjakan umrah dan melawat beberapa negara yang diidamkan selama ini berkecai begitu sahaja. Hati semakin dirobek apabila tindakan si isteri turut mendapat sokongan daripada anak-anak yang bersekongkol.
Inilah hakikat kehidupan yang memberi seribu pengajaran buat insan. Walaupun perkahwinan itu merupakan sebuah perkongsian daripada pelbagai perkara seperti susah dan senang namun tidak semua pasangan mempunyai andaian yang sama.
Walaupun pahit untuk ditelan namun ada hikmah yang tersirat daripada Allah untuk difahami. Allah berfirman: “Sungguh Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, dan Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan Dia pasti mengetahui orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 3)
Justeru, dalam menghadapi ujian rumahtangga, kesabaran dan penerimaan terhadap ketentuan Allah amat diperlukan. Walau sesukar mana manusia diuji pasti Allah tidak membiarkan mereka begitu sahaja. Sesuai dengan sifat Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang, Allah akan mengurniakan kelebihan kepada mereka yang dikehendaki-Nya.
Ketahuilah, Allah tidak sesekali menimpakan ujian kecuali sesuai kemampuan hamba-Nya. “Allah tidak membebani seseorang kecuali dengan apa yang dia mampu.” (Al-Baqarah: 286). Allah juga berfirman, “Tiada satu musibah yang menimpa di bumi dan dirimu melainkan telah tertulis dalam kitab (Loh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sungguh demikian itu mudah bagi Allah, supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang hilang daripadamu dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu.” (Al-Hadid: 22-23)
Dalam hal ini Nabi SAW juga meninggalkan pesanan kepada kita betapa musibah yang berlaku bukanlah sebagai hukuman Allah terhadap hamba-Nya tetapi ia lebih kepada memberikan kebaikan yang tidak dirasai kecuali orang yang memahami mesej daripada Allah tentang apa yang terjadi.
Daripada Anas bin Malik, Nabi SAW bersabda, “Apabila Allah menginginkan kebaikan kepada hamba-Nya, disegerakan baginya hukuman di dunia. Dan apabila Allah menginginkan keburukan kepada hamba-Nya, ditahan baginya balasan dosanya hingga akan disempurnakan pada hari kiamat.” (Hasan sahih, riwayat Tirmidzi)
Justeru walaupun pahit untuk ditelan oleh orang yang melaluinya pasti mereka akan memahami betapa setiap ketentuan Allah itu pasti diakhiri dengan kebaikan dan kebajikan. Cuma dengan kelemahan diri, manusia sering menyalah anggap apa yang ditakdirkan sebagai hukuman di atas apa yang telah dilakukan.
Jika dibandingkan ujian yang kita hadapi, tidaklah ia lebih berat daripada apa yang menimpa umat Islam terdahulu, yang digergaji kepalanya hingga terbelah dua, disikat badannya dengan sikat besi sehingga nampak tulangnya, Sumayyah yang ditusuk kemaluannya hingga tembus ke punggungnya oleh Abu Jahal, dan banyak lagi.
Mereka diuji sesuai tahap keimanan dan darjat mereka. Dan kita diuji sesuai tahap keimanan kita. Hendaklah kita bersyukur selama mana ujian itu tidak menimpa agama dan tidak membuat kita berburuk sangka kepada Allah. Sabda Rasulullah, “Janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan berbaik sangka kepada Allah.” (Riwayat Muslim)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan